Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

S'pura sumbang 300 buku kepada Perpustakaan Negara M'sia sempena SG50

Buku-buku itu diserahkan kepada Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Nafisah Ahmad oleh Pesuruhjaya Tinggi Singapura di Malaysia,  Vanu Gopala Menon.

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura sumbang 300 buku kepada Perpustakaan Negara M'sia sempena SG50

Perpustakaan Negara Malaysia. (Gambar: Facebook/Perpustakaan Negara Malaysia)

Diterbitkan : 28 Aug 2015 10:18AM Dikemas Kini : 28 Aug 2015 10:50AM

KUALA LUMPUR: Singapura menyumbang 300 buku pelbagai tajuk berkaitan negara itu kepada Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) sebagai sebahagian kerjasama yang terjalin antara perpustakaan nasional Malaysia dan Singapura.

Buku-buku itu yang tajuknya merangkumi seni bina, biodiversiti, pembangunan ekonomi, sejarah dan kesusasteraan Singapura diserahkan kepada Ketua Pengarah PNM Nafisah Ahmad oleh Pesuruhjaya Tinggi Singapura di Malaysia Vanu Gopala Menon pada hari Khamis (27 Ogos).

Vanu Gopala berkata kerjasama kukuh antara kedua-dua perpustakaan itu amat penting kerana ia menyatukan rakyat melalui perkongsian sejarah, budaya dan berkongsi kenangan yang dirakamkan dalam buku dan kandungan digital.

"Perpustakaan memainkan peranan penting dalam penyebaran maklumat mengenai kedua-dua negara kerana buku adalah platform yang akan membantu rakyat mengenali cara hidup satu sama lain dengan lebih baik," katanya semasa berucap pada upacara 'Singapore 50: Gift of Books Ceremony' di Kuala Lumpur.

Majlis itu sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-50 Singapura dan dan ulang tahun ke-50 hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura.

Sementara itu, Nafisah berkata inisiatif yang diambil oleh Lembaga Perpustakaan Kebangsaan (NLB) Singapura dengan menyumbang buku tentang Singapura atau karya penulis Singapura kepada PNM akan mengukuhkan lagi persahabatan dan pemahaman mendalam kedua-dua negara.

"Inisiatif yang dijalankan oleh NLB dalam mempromosikan maklumat mengenai Singapura melalui projek ini akan membantu inisiatif yang diambil oleh Perpustakaan Negara Malaysia ke arah mempromosi maklumat mengenai negara-negara anggota ASEAN," katanya.

Sehingga kini, PNM mempunyai 3,517 buku mengenai Singapura.
 

Sumber : Bernama/is
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan