Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Tahukah anda mengenai evolusi lagu Hari Raya?

Dipercayai sebanyak 350 lagu raya dihasilkan antara tahun 30an hingga 70an dan diharapkan khazanah lagu-lagu raya Melayu dapat terus diperkayakan dengan sumbangan daripada generasi seterusnya. 

Anggaran Waktu Membaca:
Tahukah anda mengenai evolusi lagu Hari Raya?

Penulis lirik veteran Encik Yusnor Ef. (Gambar: Facebook/ Yusnor Ef)

BERITAMediacorp: Sambutan Syawal pastinya tidak lengkap jika tidak diiringi dengan lagu-lagu hari raya.

Namun tahukah anda sejak bila lagu-lagu raya mula dihasilkan?

BERITAMediacorp singkap sejenak evolusi lagu-lagu raya Melayu dalam laporan ini.

LAGU PERTAMA DIRAKAM

Diterbitkan pada tahun 1936, lagu berjudul ‘Selamat Hari Raya’ dinyanyikan oleh, Allahyarhamha Aminah Nani, seorang penyanyi bangsawan yang juga dikenali sebagai Miss Aminah dikatakan adalah lagu hari raya pertama yang pernah dirakamkan di rantau ini.

"Sejak tahun 30an, lagu raya ini sudah ada dan ketika itu, ia banyak menceritakan apa yang saya ingat, tentang suasana kampung berhari raya.

"Ada lirik itu pernah saya dengar, masak dodol di malam hari raya, kacau wajik di malam hari raya; siapkan ketupat untuk hari raya; liriknya semua menceritakan mengenai suasana di hari raya yang akan mereka sambut," ujar penulis lirik veteran Encik Yusnor Ef.

Zaman silih berganti - begitu juga dengan corak penceritaan serta rentak irama lagu-lagu raya yang menyusul selepas itu.

"Lama kelamaan, temanya sudah bertukar, masih tentang hari raya tetapi menceritakan tentang kesedihan, kehilangan bapa, ibu; bagaimana anak yatim berhari raya. Temanya itu dah rencam, sudah bermacam-macam.

"Jadi bila sudah masuk tahun 60an, akhir 50an - lebih ramai lagi, lebih banyak lagi pencipta-pencipta dan penulis-penulis lirik menghasilkan lagu-lagu raya yang ala moden," tambah beliau.

ADA JUGA LAGU LAMA DIGUBAH SEMULA

Ini termasuklah lagu-lagu lama yang digubah semula.

Penulis blog 'wadahseniku' Ukhti Aminah berkata: "Contohnya ‘Dendang Perantau”. P Ramlee telah membawa versi asalnya menggunakan orkestra ‘Malay Film Productions’ kalau tak silap saya. Dan pada tahun 60an, ia diolah, diubah mengikut kesesuaian, masa zaman itu kan Pop Yeye, dan kalau kita dengar dekat radio sekarang, itulah yang orang tahu. Padahal asalnya adalah orkestra."

Lagu ‘Aidilfitri’ yang dicipta sepenuhnya oleh Allahyarham Zubir Said juga antara karya yang berjaya diberi nafas baru oleh Allahyarham Kassim Masdor dan Yusnor Ef.

"Pak Zubir beritahu saya “Yusnor tukar dulu, jangan rakam. Tunjuk bapa dulu.” Jadi bila kita dah tukar, saya jumpa dia, saya tunjuk dia tengok, dia baca, “Bapa benarkan.” Lepas itu, dia tandatangan dekat situlah, “Bapa benarkan,” kata dia. Itulah yang kita rekod Sanisah itu," tambah Encik Yusnor.

Dan sehingga ke hari ini, lagu-lagu raya lama masih terus diberikan suntikan baru mengikut citarasa masa kini.

Namun ada yang berpendapat, hasilnya tidak bolehlah ‘tersasar’ jauh dari gubahan asal.

"Nak dimodenkan boleh tapi biar sesuai dengan lagu yang lama. Contoh lagu ‘Suara Takbir’ asli, takkan kita nak rockkan? Bunyinya tak sedap kan? Jadi kalau boleh bila kita ubah kepada yang baru itu, biar sedap telinga mendengar.

"Jangan kerana stail, melodi awak tunggang terbalikkan. Melodi awak ubah, nakkan stail awak. Stail boleh tapi melodi itu jangan hilang," tambah beliau.

Dipercayai sebanyak 350 lagu raya dihasilkan antara tahun 30an hingga 70an dan diharapkan khazanah lagu-lagu raya Melayu dapat terus diperkayakan dengan sumbangan daripada generasi seterusnya.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan