Skip to main content

Iklan

Iklan

Mahasiswa muslim NTU tunjuk sikap peduli dengan manfaat cuti sekolah dengan amal jariah

Persatuan Muslim Universiti Teknologi Nanyang (NTUMS) mengambil kesempatan cuti pertengahan penggal ini untuk meningkatkan lagi kerja-kerja amal jariah sepanjang Ramadan. 

Anggaran Waktu Membaca:
Mahasiswa muslim NTU tunjuk sikap peduli dengan manfaat cuti sekolah dengan amal jariah

Persatuan Muslim Universiti Teknologi Nanyang (NTUMS) meningkatkan lagi kerja-kerja amal jariah sepanjang Ramadan. (Gambar: Fariza Abdul Aziz)

SINGAPURA: Persatuan Muslim Universiti Teknologi Nanyang (NTUMS) mengambil kesempatan cuti pertengahan penggal ini untuk meningkatkan lagi kerja-kerja amal jariah sepanjang Ramadan.

Ini dilakukan dengan menimba pengalaman agensi bantuan kemanusiaan setempat, Global Ehsan Relief (GER).

BUAT KUNJUNGAN ISTIMEWA DARI RUMAH KE RUMAH

Habuan berisi barangan dapur tersusun rapi di kolong blok kawasan Jalan Kukoh, menanti 31 keluarga susah yang menetap di sana.

Meskipun cuaca terik, ia langsung tidak menghambat semangat 27 ahli NTUMS untuk menyempurnakan niat mereka.

Malah, masing-masing ghairah untuk bersua muka dengan para penerima menerusi kunjungan dari rumah ke rumah.

Usaha murni mereka ini turut disertai 12 kanak-kanak dari salah sebuah rumah kebajikan di Singapura.

Salah seorang mahasiswa NTU yang merupakan ahli NTUMS, Muhammad Faiz Baharom, berkata: "Bagi kami pelajar-pelajar NTU, ia memberi kesempatan yang amat baik untuk kami bekerjasama dengan anak-anak ini kerana sebagai apa yang dikatakan, sebaik-baik manusia adalah mereka yang bermanfaat kepada orang lain."

"Dengan itu, bagi anak-anak ini yang kurang berupaya, lebih baik mereka meraih pengalaman untuk membantu orang yang lebih kurang berkemampuan daripada mereka juga," ujar beliau lanjut.

Jumlah habuan yang diagihkan bernilai sekitar S$1,500, semuanya hasil daripada pengumpulan dana menerusi jualan amal yang dijalankan kumpulan mahasiswa ini sendiri.

Derma yang dikumpulkan diserahkan kepada Global Ehsan Relief, selaku penasihat inisiatif amal jariah ini.

(Gambar-gambar: Fariza Abdul Aziz)

RANCANG KERJASAMA BAGI INISIATIF LUAR NEGARA

Pengurus projek dan pengumpulan derma Global Ehsan Relief, Md Faisal Ayub, berkata ia adalah satu usaha di mana pihaknya dapat berkolaborasi dengan NTUMS, selain mendidik dan kongsi pengalaman.

"Ada dalam projek kita nak bawa mereka ke sana (luar negara) dan ini adalah salah satu permulaan yang baik untuk mereka bermula, mendapat sedikit pengalaman bagaimana hendak bekerjasama dan menyumbang kepada masyarakat," kongsi Encik Md Faisal lagi.

Global Ehsan Relief dengan kerjasama beberapa agensi bantuan antarabangsa membantu ribuan fakir miskin di lebih 20 negara.

Dalam usaha menggalak golongan muda turun padang untuk melakukan kegiatan kebajikan, satu lawatan amal ke luar negara sedang dirancang dalam tahap seterusnya kerjasama dengan para mahasiswa ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan