Ramadan & Syawal 2017

Images
  • pasar malam (1)
    Gambar fail: Sebuah gerai menjual kuih Raya di Geylang Serai. (Gambar: Siti Nur Mas Lina, channelnewsasia.com)

Kuih Raya boleh jadi punca sakit perut

PETALING JAYA: Aidilfitri adalah hari kemenangan bagi umat Islam selepas menunaikan ibadah puasa selama sebulan.

Namun, dalam keghairahan untuk menikmati apa jua juadah tanpa penjagaan yang betul boleh memudaratkan kesihatan dan mengakibatkan ketidakselesaan badan, lapor mStar.

BADAN TERKEJUT HANTAR ISYARAT

Perunding kesihatan pemakanan dan kecergasan Kevin Zahari berkata, lazimnya badan akan mengalami kejutan jika pemakanan tidak dikawal dan diambil terlalu kerap semasa menikmati hidangan Hari Raya.

“Badan yang terkejut akan menghantar isyarat seperti masalah penghadaman, keracunan makanan dan kembung perut.

“Tak salah kalau nak makan tapi kena seimbangkan makanan yang diambil. Janganlah tidak beraya pula,” katanya ketika dihubungi mStar Online.

Encik Kevin menambah, pengambilan karbohidrat seperti ketupat dan lemang lebih elok diutamakan sebelum menjamah sajian yang lain.

“Elakkan makan kuih raya sebelum makan makanan berat kerana ia tidak mengenyangkan. Isilah perut dengan protein seperti rendang ataupun lontong.

“Kalau sudah tahu akan beraya di banyak tempat, janganlah pakai baju ketat sangat nanti akan bagi tekanan pada bahagian abdomen. Lagi mudah rasa tak selesa,” katanya.

Beliau berkata: “Beraya tu beraya juga, tapi senaman jangan dilupakan kerana badan sudah makan macam-macam makanan."

3 LANGKAH BERJAGA-JAGA

Sementara itu, bagi seorang Cef Selebriti Kamarul Hasni Che Ros, beliau mengesyorkan agar tiga langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan perkara tidak diingini merosakkan 'mood' perayaan diamalkan.

“Pertama lihat dan pastikan makanan tersebut tidak berubah warna, berlendir, tidak berbuih, tidak ada bendasing seperti rambut, serangga atau kulat.

“Kedua, rasa dulu untuk pastikan makanan tersebut tidak berbau, basi atau busuk.

“Ketiga, cuba hidu sama ada makanan itu masih elok dan jika memang sudah rosak, buang segera dan maklumkan pada tuan rumah,” katanya ketika dihubungi mStar. 

- Agensi berita/nk

Top