Skip to main content

Iklan

Iklan

Ini dia 12 lagu baru Hari Raya tahun 2017 – Yang mana jadi pilihan anda?

Ini dia 12 buah lagu yang boleh anda mainkan sewaktu melakukan persiapan di rumah atau ketika dalam perjalanan untuk menziarahi sanak-saudara. Mari kita ikuti satu persatu.

Anggaran Waktu Membaca:
Ini dia 12 lagu baru Hari Raya tahun 2017 – Yang mana jadi pilihan anda?

Lagu 'Esok Hari Raya'. (Gambar: Petikan skrin dari video Youtube)

BERITAMediacorp: Hari Raya Aidilfitri bakal menjelang tiba dua hari lagi. Pelbagai lagu Hari Raya juga sudahpun rancak diputarkan di radio.

Daripada lagu-lagu klasik seperti Selamat Hari Raya oleh Saloma, Dendang Perantau nyanyian P Ramlee, Satu Hari Di Hari Raya dendangan M Nasir, Suasana Hari Raya oleh Anuar Zain dan Elina sehinggalah Sesuci Lebaran oleh Siti Nurhaliza, lirik bagi lagu-lagu Raya moden mahupun klasik pastinya sudah melekat di minda. Malah, boleh dikatakan, Hari Raya tidak berseri tanpa lagu Raya.

Namun, jika anda kepingin mendengar lagu-lagu Raya yang baru atau alternatif dengan sentuhan terkini dari Singapura, Malaysia dan Indonesia, BERITAMediacorp ada senarainya!

Ini dia 12 buah lagu yang boleh anda mainkan sewaktu melakukan persiapan di rumah atau ketika dalam perjalanan untuk menziarahi sanak-saudara. Mari kita ikuti satu persatu.

LAGU YANG SEMARAKKAN SEMANGAT RAYA

1. Lebaran Terindah

Menampilkan lima artis yang kian meningkat naik, Lebaran Terindah mengekalkan irama Melayu selain menyampaikan lirik yang bermakna. Gabungan Wany Hasrita, Ernie Zakri, Wani, Tajul, Syed Shamim dan Haqiem Rusli juga memberikan suatu kesegaran dengan dinamik suara yang berbeza.

Meskipun baru diterbitkan awal bulan Jun ini, video tersebut sudahpun ditonton lebih satu juta kali di Youtube. Yang pasti, Lebaran Terindah adalah antara lagu baru yang ‘wajib dengar’ tahun ini.

2. Murni Lebaran

Akhirnya! Pasangan adik-beradik tempatan yang berbakat ini menghasilkan juga lagu Raya secara duet. Dengan suara Elfee Ismail yang lunak dan suara abangnya, Eiss, yang mempunyai sentuhan rock, Lagu Murni Lebaran adalah antara lagu baru yang terbaik yang dinyanyikan oleh anak jati Singapura tahun ini.

Turut digubah oleh Pak Ngah dari Malaysia, kami menyertakan pautan lagu ini di sini. Yang pasti, jangan lupa untuk membuat permintaan lagu di stesen radio tempatan, Warna dan Ria!

3. Raya Nusantara

Pastinya lagu yang paling menarik tahun ini kerana ia menggabungkan artis dari 3 negara! Raya Nusantara menampilkan Sufi Rashid dari Singapura, Siti Nordiana dan Ismail Izzani dari Malaysia, serta Rizky Febian dan Fatin Shidqia dari Indonesia.

Seronok juga apabila melihat mereka menonjolkan sikap gotong-royong dan satu hati dalam video muziknya. Rasa-rasanya ini juga adalah lagu Hari Raya pertama yang memperkenalkan usaha menggabungkan penyanyi dari 3 negara. Pendekatan yang unik!

4. Esok Hari Raya

Lagu Raya ala Dangdut! Berbeza dari irama Melayu yang sering ditampilkan, Esok Hari Raya memberikan sedikit kelainan dengan rentak lagu yang ‘catchy’. Bagaimanapun, liriknya tetap menepati makna untuk pulang beraya di samping keluarga.

Meskipun memberikan sentuhan yang lebih santai, ia tetap menarik perhatian dan masih akan dapat memeriahkan suasana menjelang Hari Raya ini.

5. Samba Di Hari Raya

Satu lagi usaha baik oleh bakat-bakat Singapura! OutCry, Rahila dan Ismail Gani bergabung untuk menghasilkan lagu Raya yang berentak samba!

Malah, video muziknya juga cukup ceria dan berwarna-warni. Yang pasti, semakin ramai penggiat muzik tanah air yang kini berani keluar dari zon keselesaan mereka. Syabas!

LAGU RAYA YANG DIADAPTASI DARI LAGU POP

6. Assalamualaikum Lebaran

Bagi mereka yang menggemari genre rock, lagu ini pasti menjadi pilihan. Diilhamkan daripada lagu Assalamualaikum Ustazah, Khalifah Band menonjolkan sisi kreatif mereka dengan mengubah lirik lagunya kepada yang berunsur Islam bagi Assalamualaikum Lebaran.

Menceritakan tentang mereka yang pulang ke kampung halaman dan bermaaf-maafan dengan mereka yang tersayang, lagu ini tentunya membangkitkan ‘jiwa’ rock ketika beraya!

7. Raya Yang Dulu

Lagu ini tentunya yang paling comel dalam senarai lagu Raya kami tahun ini. Pernah dipopularkan oleh penyanyi Indonesia, Tegar, lagu Aku Yang Dulu Bukan Yang Sekarang turut dinyanyikan oleh para penyanyi cilik dan diubah suai menjadi Raya Yang Dulu.

Antara bait liriknya: “Raya yang dulu, lain dengan sekarang, dulu meriah sekarang berkurang, dulu dulu dulu banyak meriam, sekarang ianya dilarang”. Comel!

8. Cinta Di Hari Raya

Ingat lagi pada lagu Cinta Tiga Segi? Kini penyanyi Saleem kembali dengan memberikan sentuhan Lebaran pada lagu ikoniknya itu, dengan judul Cinta Di Hari Raya.

Berbanding mengeluhkan cinta tiga segi yang dialami, kini lagu ini menceritakan tentang kekasih hati yang jauh di perantauan. Walau apa pun, suara Saleem yang malar segar tetap seronok untuk didengar.

LAGU RAYA GAYA SI JEJAKA

9. Kasih Lebaran

Penyanyi yang popular dengan lagu Terakhir ini juga muncul dengan lagu Raya tahun ini. Dengan rentak lagu pantas, Sufian Suhaimi berikan sedikit kelainan daripada lagu-lagunya yang sebelum ini berentak agak perlahan.

Walaupun Kasih Lebaran mempunyai makna yang agak hiba, ia tetap menggambarkan kemanisan Hari Raya yang bakal disambut kelak.

10. Rindu Di Pagi Raya

Seorang lagi bakat yang sudah lama mengukir nama dalam persada seni tempatan. Man Toyak tetap menampilkan identitinya tersendiri dengan lagu berentak ‘slow rock’.

Malah, Rindu Di Pagi Raya juga ditujukan khas buat keluarga dan sahabat handai seorang kapten penyelam skuba yang sudahpun meninggal dunia. Ia juga dapat dihayati oleh mereka yang kehilangan orang yang tersayang.

11. Sinar Syawal

Pertama kali dikenali melalui nyanyiannya di aplikasi Smule, Khai Bahar kini tampil dengan lagu Raya berjudul Sinar Syawal.

Berkonsep moden dan mempunyai rentak perlahan, lagu ini juga mengisahkan tentang seorang anak yang seakan-akan mencari ‘sinar’ Raya dengan memohon keampunan daripada ibu tercinta.

12. Lara Dalam Kerinduan

Meskipun masih disifatkan sebagai seorang penyanyi baru, Aiman Tino jelas sudahpun mempunyai jumlah pengikut yang ramai. Malah, lagu Raya beliau ini juga sudah meraih lebih 2.2 juta tontonan sejak dimuat naik awal bulan lalu!

Berbeza dari lagu-lagu yang merindukan kekasih hati, Aiman menceritakan tentang rindu seorang anak kepada ayahnya, dan betapa sedihnya Raya tanpa kehadiran bapa yang tersayang.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan