Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bayi Syawal Luar Biasa: 1 dilahirkan dalam kereta di AYE; 1 'beraya sakan' sebelum ke hospital

Kemeriahan sambutan Aidilfitri tahun ini boleh dikatakan 'menakjubkan' bagi dua buah keluarga, dek kelahiran bayi Hari Raya mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Bayi Syawal Luar Biasa: 1 dilahirkan dalam kereta di AYE; 1 'beraya sakan' sebelum ke hospital

Firyal Addeena (kiri), bayi pasangan Dewi Haryanti Hussein dan Mohammed Aizad Mohtar (kanan).

SINGAPURA: Kemeriahan sambutan Aidilfitri tahun ini boleh dikatakan 'menakjubkan' bagi dua buah keluarga, dek kelahiran bayi Hari Raya mereka.

Tambah luar biasa dan manis lagi, kelahiran kedua-dua bayi bertuah itu tidak dijangkakan oleh keluarga masing-masing yang ghairah jalan Raya, meskipun ibu masing-masing sedang sarat hamil.

Semasa dihubungi, ibu bapa kedua-dua bayi itu berkongsi secara eksklusif kepada portal berita BERITAMediacorp pengalaman lucu dan pastinya tidak akan dapat mereka lupakan semasa menyambut bayi Aidilfitri masing-masing.

DOA MAHU KENDALI KELAHIRAN BAYI SENDIRI DIMAKBUL

Bagi pasangan Muhammad Khidhir Abdul Hamid, 32 tahun, dan Siti Aishah Ali Akbar, 31 tahun, kehadiran cahaya mata ketiga mereka pada pagi 1 Syawal sesuatu yang amat bermakna.

Menurut Cik Siti Aishah, beliau sering berdoa agar diberi peluang untuk melalui pengalaman bersalin yang memperkasa diri beliau.

"Dalam bulan puasa saya berdoa kerana saya inginkan proses kelahiran yang memperkasa diri, yang keadaannya dapat saya sendiri kawal. Semasa mengerjakan umrah juga kami berdoa. Alhamdulillah, berkat doa, saya dapat apa yang saya mahukan. Tambahan lagi pada hari baik, bulan baik," kata ibu kepada seorang lagi anak perempuan, berusia lapan tahun dan seorang anak lelaki berusia tiga tahun.

Encik Muhammad Khidhir berkata, menurut doktor isteri beliau dijangka melahirkan bayi mereka pada 6 Julai.

Maka, pasangan itu keluar untuk berkunjung ke rumah saudara-mara mereka seperti biasa, sebelum Cik Siti Aishah tiba-tiba berasa tidak selesa dan semakin sakit.

(Gambar ihsan: Muhammad KhidhirAbdul Hamid)

(Gambar ihsan: Muhammad KhidhirAbdul Hamid)

"ADA SESUATU PECAH", KEMUDIAN "BUNYI BAYI MENANGIS"

Istimewanya bayi perempuan itu yang diberi nama Firyal Addeena, dilahirkan di dalam kereta semasa di jalan susur keluar di Ekspreswe Ayer Rajah (AYE), sekitar 10 minit sebelum tiba di pekarangan hospital.

"Sepanjang jalan ke Hospital Universiti Nasional (NUH), isteri saya yang kesakitan tiba-tiba berkata 'ada sesuatu pecah'. Saya ingatkan tempat berpaut (di bahagian atas pintu kereta) yang pecah. Kemudian isteri saya kata 'beliau tidak boleh tahan'.

"Pada waktu itu saya masih yakin akan sempat sampai ke hospital kerana saya sudah nampak logonya. Tiba-tiba saya terdengar bunyi bayi menangis! Waktu itu juga saya memang sudah tidak boleh berfikir. Tak tahu mana nak keluar, mana (bangunan) A&E hospital. Semuanya hilang (dari dalam fikiran)," cerita Encik Muhammad Khidhir dengan penuh semangat kepada wartawan BERITAMediacorp sambil tertawa kelucuan.

TADAH TANGAN SAMBUT BAYI DALAM KERETA

Walaupun tidak berpengalaman menyambut kelahiran bayi secara sendiri, melalui gerak naluri beliau, Cik Siti Aishah dapat menadah tangan dan menyambut bayi seberat 2.71 kilogram itu.

Pasangan itu tiba di NUH, sekitar pukul 11.55 pagi.

Ternyata pengalaman tersebut, menurut Encik Muhammad Khidhir, akan menjadi kenangan manis yang akan diceritakan berulang-kali setiap kali tiba Syawal pada masa-masa akan datang.

(Gambar ihsan: Muhammad KhidhirAbdul Hamid)

(Gambar ihsan: Muhammad KhidhirAbdul Hamid)

HOSPITAL MOUNT ELIZABETH DESTINASI TERAKHIR PADA HARI RAYA PERTAMA

Satu lagi pasangan pasangan suami isteri yang turut menyambut kelahiran bayi Syawal dengan ceritanya yang tersendiri dan boleh membuatkan anda tersenyum, ialah Dewi Haryanti Hussein, 32 tahun, dan Mohammed Aizad Mohtar, 33 tahun.

Cik Dewi yang dijadual melahirkan cahaya mata kedua pada 1 Julai, langsung tidak terfikir akan 'berkunjung' ke Hospital Mount Elizabeth sebagai destinasi terakhir pada hari pertama Hari Raya, iaitu 25 Jun lalu.

"Persiapan kami sebelum itu lebih kepada nak sambut Hari Raya. Baju raya semua kami sudah beli. Malah kami beli dua tiga pasang untuk raya pertama dan kedua!" Cik Dewi memberitahu BERITAMediacorp sambil tertawa.

(Gambar ihsan: Dewi Haryanti Hussein)

(Gambar ihsan: Dewi Haryanti Hussein)

Beliau mula berasa sakit sekitar pukul 6.00 petang dan kemudian memaklumkannya kepada suami beliau.

"Selepas maghrib, sakitnya lebih kerap. Jadi saya beritahu suami yang kita tak boleh teruskan berjalan dan saya mesti ke hospital," kata Cik Dewi yang mempunyai seorang lagi anak lelaki berusia dua tahun.

Dalam kesakitan hendak melahirkan bayi, kata Cik Dewi, beliau dan suami yang sedang berada di kawasan Teban, sempat pulang ke rumah mereka di Tampines terlebih dahulu untuk menyalin pakaian sebelum bergegas ke hospital yang terletak di Novena!

"Suami saya menyuarakan rasa kurang selesa untuk ke hospital dengan berpakaian baju Melayu, berkain samping dan bersongkok, bila saya fikirkan semula memang akan kelihatan agak lucu. Jadi kami pulang ke rumah terlebih dahulu untuk menyalin pakaian," ujar Cik Dewi kepada BERITAMediacorp menceritakan detik-detik luar biasa dalam kehidupan mereka itu.

(Gambar ihsan: Dewi Haryanti Hussein)

(Gambar ihsan: Dewi Haryanti Hussein)

Bayi pasangan itu, yang belum lagi diberikan nama, dilahirkan enam minit sebelum pukul 12.00 tengah malam pada 26 Jun.

"Pada Hari Raya kedua, ramai saudara-mara yang datang ke hospital dengan berpakaian Hari Raya. Nasib baik kami sudah siap sedia dengan duit 'collection'," gurau Cik Dewi, yang berdoa agar bayi lelakinya itu membesar dengan sihat dan menjadi anak yang soleh. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan