Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Badan korporat juga hulur sumbangan kepada keluarga susah sempena Ramadan

Malah jenama-jenama besar tidak ketinggalan menghulurkan bantuan bagi menyeramarakkan lagi suasana Hari Raya yang bakal menjelang. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sepanjang bulan Ramadan ini, pelbagai pihak tampil memberi sumbangan kepada golongan memerlukan.

Malah jenama-jenama besar tidak ketinggalan menghulurkan bantuan bagi menyeramarakkan lagi suasana Hari Raya yang bakal menjelang.

HABUAN PERKAKAS RUMAH SUMBANGAN COURTS

Jika selalunya habuan Hari Raya datang dalam bentuk keperluan asas, kuih-muih juga wang tunai, namun lain pula yang menanti Cik Leha Mohd.

Ibu tunggal ini beraya dengan sofa, almari dan ketuhar elektrik baru, hasil sumbangan daripada syarikat perkakas rumah dan elektrik Courts.

"Dulu saya tidak ada rumah sendiri, tidak ada barang-barang ini semua. Jadi sekarang saya baru dapat rumah dan baru dapat barang-barang ini semua. Kalau nak mengharapkan sendiri memang tidak boleh," luah beliau.

Cik Leha di kalangan 20 keluarga Muslim berpendapatan rendah di bawah CDC Timur Laut yang menerima pelbagai perkakas rumah bernilai $20,000 secara keseluruhannya.

Usaha sedemikian merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat Courts.

Naib Pengerusi CDC Timur Laut Shamsul Kamar berkata: "Saya rasa dengan sumbangan dari Courts Singapura, ia akan memeriahkan lagi suasana keluarga apabila mereka menyambut Hari Raya. Saya harap mereka akan dapat mengeratkan lagi hubungan keluarga antara satu sama lain."

KERJASAMA MILO DAN TAA

Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar Dr Mohd Maliki Osman dengan duta Milo, Fandi Ahmad, memberi habuan. (Gambar: Facebook/ Milo Singapore)

Jenama MILO Singapore juga tidak ketinggalan dalam menyebarkan keihsanan kepada golongan memerlukan.

Sebuah kempen Ramadan diadakan bagi memastikan keluarga kurang berkemampuan dapat menikmati juadah sahur yang menyihatkan.

Bagi setiap $30 yang dibelanjakan bagi produk MILO, syarikat tersebut mendermakan sebuah pek makanan dan minuman sahur untuk sebuah keluarga.

Majlis pengagihannya turut dihadiri Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar Dr Mohd Maliki Osman.

"Kerana di bulan Ramadan kita juga digalakkan untuk memastikan kesihatan kita terus terjaga, jangan sampai puasa memudaratkan kesihatan kita. Dan MILO sebagai korporat yang mengadakan ataupun memberi produk-produk kesihatan juga dapat memberikan nilai yang penting untuk masyarakat Islam kita," ujar beliau.

Sekitar 1,000 pek diagihkan oleh duta MILO, Fandi Ahmad.

"Saya rasa dapat membantu orang-orang yang memerlukan, beri mereka sokongan moral dan mudah-mudahan dengan adanya Tabung Amal Aidilfitri ini dapat membantu mereka memberi sesuap nasi kepada yang memerlukan," kata Fandi Ahmad.

Kempen Ramadan ini merupakan satu kerjasama antara MILO Singapore dengan Tabung Amal Aidilfitri. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan