Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Anak Melayu ambil peluang trend khidmat hantar makanan sempena Ramadan dengan cipta apps baru

Khidmat penghantaran makanan ke rumah kini semakin mendapat tempat untuk membeli juadah iftar dan sahur, semasa bulan Ramadan ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Khidmat penghantaran makanan ke rumah kini semakin mendapat tempat untuk membeli juadah iftar dan sahur, semasa bulan Ramadan ini.

Trend ini dimanfaatkan beberapa anak Melayu/Islam untuk membangunkan aplikasi atau apps baru, khusus untuk makanan halal.

Apakah ciri-ciri menarik apps tersebut berbanding apps yang sedia ada?

Wartawan Taufiq Hussein Zalizan turun padang bertemu dengan beberapa pemain pasaran untuk menerangkannya.

APLIKASI POPULAR TAPI ADA PENGGUNA 'SERIK'

Apps penghantaran makanan sememangnya kian popular di kalangan ramai pengguna. Namun ada segolongan masyarakat yang nampaknya 'serik' untuk menggunakannya.

Penghantaran makanan kadang-kadang hanya tiba selepas waktu iftar.

"Tahun lepas pernah pakai, tapi makanan sampai lambat," ujar salah seorang pengguna yang BERITAMediacorp temui.

Masalah itulah yang kini cuba ditangani beberapa syarikat baru Melayu/Islam.

Antaranya, aplikasi e-dagang KassimBaba yang baru sahaja dilancarkan dua bulan lalu dan kini melancarkan khidmat penghantaran makanan.

"Kita memang faham ada masalah tentang masa dan penghantaran tepat waktu untuk berbuka. Jadi apa yang kita lakukan, semasa Ramadan sahaja, untuk penghantaran hari itu, kita tutup pada pukul dua ataupun pukul tiga.

"Jadi kita ada masa untuk bilang restoran yang akan masak, untuk beri mereka jangka masa yang cukup," kata Cik Haryani Othman, Pengarah Pemasaran KassimBaba.

Poster applikasi KassimBaba. (Gambar: Facebook/ KassimBaba)

STRATEGI HANTAR KE 'SERATA NEGARA' BERBALOI

App KassimBaba, juga menghantar ke serata Singapura. Ini berbeza daripada sesetengah aplikasi lain yang hanya menghantar ke kawasan terdekat sahaja.

Menurut KassimBaba, jumlah pesanan melonjak sehingga 10 kali ganda Ramadan ini, terutamanya pada hujung minggu.

"Semasa kita mulakan sebelum bulan puasa, mungkin satu hari pada hujung minggu kita dapat 20, 30 pesanan untuk hantaran. Tapi pada Ramadan, beratus (pesanan). Pada hujung minggu kadang-kadang kita hantar sampai 200 lebih rumah," kongsi Cik Haryani kepada BERITAMediacorp.

PERMINTAAN TINGGI TIDAK MEMERANJATKAN

Khidmat hantar makanan syarikat Foodpanda. (Gambar: Foodpanda)

Syarikat Foodpanda menyatakan permintaan penghantaran makanan halal secara amnya meningkat tiga kali ganda sejak 2015, dengan pesanan pada bulan Ramadan pula melonjak 30% berbanding bulan-bulan lain.

BZR adalah satu lagi app ciptaan anak Melayu/Islam, yang boleh dimanfaatkan peniaga makanan kecil-kecilan dari rumah.

Ia digunakan peniaga yang juga suri rumah seperti Cik Siti Nurazimah. Yang pasti, ia memudahkan urusan pentadbiran perniagaannya.

"Kalau dulu kakak harus sendiri layan emel, sendiri cari orang hantar, sambil buat tempahan, tapi sekarang kakak cuma tumpukan membuat tempahan orang.

"Jadi kakak tak perlu bimbang dah jawab emel ke, boleh dapat khidmat penghantaran ke tak, tapi sekarang semua sudah diatur oleh BZR, jadi mudah kerja saya," kata pemilik perniagaan rumah 'Mak Mona Burger' Siti Nurazimah.

Berbeza daripada kebanyakan aplikasi lain, BZR yang juga dilancarkan sekitar dua bulan lalu, hanya mengambil pesanan makanan halal bagi peniaga dari rumah.

Selain mengembangkan perniagaan-perniagaan kecil, tujuan BZR adalah untuk memberikan pilihan makanan yang berlainan bagi para pembeli.

Ternyata strategi tersebut membuahkan hasil.

Applikasi BZR. (Gambar: Facebook/ BZR.Sg)

Encik Azizul Kamal Shah, Pengasas Bersama BZR, memberitahu BERITAMediacorp, para peniaga yang menyertai BZR, ada yang menyediakan menu khas untuk Ramadan.

"Bagi pembeli pula kami dapat banyak permintaan untuk penghantaran waktu berbuka. Alhamdullilah, setelah kami membuka slot hantaran untuk waktu Iftar, ia mendapat sambutan yang agak baik, dua kali ganda atau lebih daripada slot biasa," kongsi beliau lagi.

Walau apa pun aplikasi yang menjadi pilihan, tabiat pembelian masyarakat Melayu/Islam dijangka akan terus berubah mengikut peredaran inovasi. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan