Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

30 siswa S'pura hulur bantuan bagi pelarian Syria di Jordan sempena Syawal

Tidak pulang ke tanah air untuk menyambut Ramadan dan Syawal, malah berjalan kaki dari rumah ke rumah bagi memberikan makanan asas kepada pelarian-pelarian Syria yang sedang berpuasa di Jordan.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Tidak pulang ke tanah air untuk menyambut Ramadan dan Syawal, malah berjalan kaki dari rumah ke rumah bagi memberikan makanan asas kepada pelarian-pelarian Syria yang sedang berpuasa di Jordan.

Amalan baik inilah yang dilakukan oleh sekumpulan pelajar dan relawan dari Persatuan Pelajar Singapura di Jordan (SIRAJ), selama tiga hari berturut-turut bagi membantu keluarga pelarian Syria di negara tersebut.

SISWA S'PURA DI JORDAN TUNGKUS LUMUS BERI BANTUAN KEPADA PELARIAN SYRIA

Para anggota SIRAJ memulakan projek tersebut dengan meminta bantuan derma daripada keluarga dan saudara-mara mereka dan menggunakan hasil derma untuk membeli makanan asas, seperti minyak, gula, garam, dan beras.

Mereka turut menyumbang wang derma kepada 50 keluarga pelarian Syria dan menganjurkan sesi iftar bersama 110 kanak-kanak dan keluarga mereka.

"Kami mengumpulkan murid-murid sekolah dan mengadakan sesi iftar bersama keluarga-keluarga mereka, dengan turut menyediakan kotak bagi mereka yang diisi dengan minyak, gula, garam dan sebagainya. Bagi acara iftar kami membuat pesanan sebanyak 110 bungkus nasi, yang kami berikan bersama air, kurma dan yoghurt," kata Raja Lutfil Hadi, seorang ahli jawatankuasa SIRAJ, yang juga siswa di Universiti Yarmouk.

Tidak seperti tahun lalu, di mana para siswa daripada persatuan tersebut memberikan bantuan kemanusiaan kepada hampir 20 keluarga di Palestin, tahun ini persatuan tersebut 'menjimatkan kos', dengan memberikan tumpuan ihsan kepada pelarian Syria di Jordan, agar lebih banyak pelarian yang dapat dibantu mereka.

Menurutnya, semua proses projek tersebut dilakukan dengan membuat hubungan bersama pertubuhan bukan pemerintah tempatan bagi memberikan bantuan dengan cara yang betul.

KIRIMKAN KUIH MUIH RAYA BAGI UBATI RINDU PADA ANAK DI PERANTAUAN

Bagi keluarga Lutfil yang buat pertama kalinya menyambut Hari Raya tanpa kehadirannya di Singapura, kesedihan bercampur kebanggaan dapat dirasakan, terutama sekali ibunya.

Untuk mengubati rasa rindu kepada satu-satunya anak lelakinya itu, beliau menerbangkan beberapa botol kuih raya untuk dimakan bersama siswa Singapura lain yang tidak pulang ke tanah air.

"Pastinya hati seorang ibu itu akan merasa kesepian dan sedih, kerana ini merupakan kali pertama kami tidak dapat beraya bersama Lutfil, namun saya rasa bersyukur kerana dia mempunyai semangat seperti itu. Saya berasa begitu bangga, walaupun Lutfil tidak balik, namun dia melakukan sesuatu yang membanggakan dengan menolong orang-orang yang memerlukan," kata Cik Saadiah Md Habib. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan