Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

30 belia bukan Islam berpuasa demi amal

Belia-belia ini merupakan Duta Belia Keharmonian Kaum (RHYA) dari CDC Tenggara, dan mereka bersama-sama 24 rakan-rakan Muslim mereka untuk berpuasa Ramadan ini sambil melakukan kerja-kerja kemasyarakatan.

Anggaran Waktu Membaca:
30 belia bukan Islam berpuasa demi amal

Menteri Negara Kanan, Kementerian Pertahanan & Kementerian Ehwal Luar Dr Mohamad Maliki Osman bersama para belia acara itu. (Gambar: BERITAMediacorp)

SINGAPURA: Seramai 30 belia bukan Islam cuba berpuasa selama empat hari demi tujuan amal, sambil meningkatkan persefahaman antara kaum.

Ini dilakukan di bawah siri acara “Raikan Perayaan Kita”, yang sampai kemuncaknya hari ini (16 Jun).

Belia-belia ini merupakan Duta Belia Keharmonian Kaum (RHYA) dari CDC Tenggara, dan mereka bersama-sama 24 rakan-rakan Muslim mereka untuk berpuasa Ramadan ini sambil melakukan kerja-kerja kemasyarakatan.

Usaha mereka juga mendapat sokongan daripada pihak korporat – syarikat Milo mengikrarkan untuk menderma minuman sebanyak 7,200 cawan bagi warga susah.

GOTONG ROYONG BERAMAL SAMBIL BERLAPAR

Walaupun ini merupakan pengalaman pertama berpuasa bagi kebanyakan mereka, rasa lapar, dahaga dan kekurangan tenaga tidak menghalang belia-belia ini daripada mengerjakan kerja-kerja amal sepanjang hari ini.

Pada awal pagi ini mereka bersama 24 Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah turun padang memberi belon-belon dengan mesej kedamaian kepada masyarakat umum.

Di bahagian petang pula, mereka menyingsing lengan untuk membungkus bubur untuk diagih-agihkan di Masjid Al-Taqwa.

“Pukul 5.00 petang sahaja, saya sudah berasa amat lapar. Namun bila saya melihat rakan-rakan Muslim saya berpuasa, dan ingat yang mereka berpuasa sebulan, ia memberi saya semangat untuk terus berpuasa,” kongsi Lim Yong Zheng, 18 tahun, dari Maktab Rendah Tampines.

MENGGALAK PERSEFAHAMAN ANTARA KAUM

Di acara hari ini juga, para belia menghadiri sesi perkongsian dan soal jawab oleh Masjid Al-Taqwa, di mana mereka mendalami serba sedikit tentang Ramadan dan Islam secara amnya.

“Saya mendapati rakan-rakan bukan Islam ini benar-benar ingin mengetahui tentang agama islam dan juga agama-agam lain, dan ini membuat saya lebih ingin mengetahui mereka juga,” kongsi Zakiyyah Mazouq, 19 tahun, daripada Madrasah Al-Ma’rif.

Zakiyyah menambah, beliau kadang-kala tidak mendapat menjawab soalan-soalan yang diajukan oleh rakan-rakannya, dan ini mendorongnya untuk terus lebih mendalami agama sendiri.

“Dalam masa yang sama, saya ingin beritahu mereka (rakan-rakan bukan Muslim) untuk terus bertanya rakan-rakan Muslim mereka jika mereka mempunyai sebarang soalan, dan jangan menyimpan sebarang salah faham,” tambah Zakiyyah.

Lim, yang merupakan seorang ‘freethinker’, turut berkongsi pendapat Zakiyyah tentang pentingnya saling mengenali budaya satu sama lain, terutamanya pada usia yang muda ini.

“Kadangkala kita diberitahu stereotaip daripada ibu bapa atau generasi lama yang mungkin kurang bersikap terbuka. Jadi pada usia muda ini, amat penting untuk kita memupuk pemahaman silang budaya agar salah tanggapan ini tidak diwarisi kepada anak-anak kita pula,” kata Lim.

PERPADUAN KALANGAN BELIA GENTING BAGI MASA DEPAN

Menteri Negara Kanan, Kementerian Pertahanan & Kementerian Ehwal Luar Dr Mohamad Maliki Osman, menekankan kepentingan generasi muda sekarang benar-benar mendalami sifat perpaduan antara kaum.

Ini adalah kerana generasi ini dilahirkan dalam suasana yang agak aman, dan “tidak mengenali apa itu rusuhan kaum”. Ini menyebabkan mereka mungkin mengambil mudah hubungan harmoni antara kaum yang dibina saban tahun.

Tambah Dr Maliki, yang juga Datuk Bandar CDC Tenggara, belia merupakan pemimpin masa depan negara. Maka itu ia menjadi lebih penting bagi mereka memegang teguh kepada peri perlu adanya hubungan baik antara kaum. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan