Skip to main content

Iklan

Iklan

Lebih 400 anggota keluarga berkumpul, mungkin antara perjumpaan Hari Raya terbesar rantau ini

Mereka merupakan keturunan dari keluarga besar Mohd Diah (Kartubi), dan ini suatu tradisi yang dimulakan sejak 50 tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 400 anggota keluarga berkumpul, mungkin antara perjumpaan Hari Raya terbesar rantau ini

Keluarga besar Mohd Diah (Kartubi) dalam perjumpuan Hari Raya kali ini. (Gambar: Mohamed Zain)

SINGAPURA: Ini satu acara berjalan Hari Raya yang luar biasa. Manakan tidak, lebih 400 anggota keluarga ini berkumpul untuk saling bertemu dan bermaaf-maafan.

Mereka merupakan keturunan dari keluarga besar Mohd Diah (Kartubi), dan ini suatu tradisi yang dimulakan sejak 50 tahun lalu. Perjumpaan itu juga mengumpulkan anggota keluarga dari lingkungan usia empat bulan hingga 91 tahun!

BERITAMediacorp difahamkan, perjumpaan ini merangkumi lebih 80 buah keluarga kesemuanya, termasuk 22 buah keluarga dari generasi kedua.

Malah, bagi perjumpaan kali ini keturunan Mohd Diah (Kartubi) dari Malaysia turut mengambil cuti untuk menghadiri perjumpaan tersebut.

Dengan begitu ramainya orang yang ada pertalian saudara itu berkumpul di satu tempat, ini mungkin Perjumpaan Hari Raya keluarga yang terbesar bukan sahaja di Singapura, malah juga mungkin antara yang terbesar di rantau ini!

Pertemuan tersebut diadakan di sebuah restoran di SAFRA Toa Pyoh hari ini (10 Julai).

BERMULA SEBAGAI PERJUMPAAN AMBIL GAMBAR

Encik Mohamed Zain Mohamed yang berusia 44 tahun dan bertugas sebagai seorang guru merupakan salah seorang penganjur utama serta cicit Mohd Diah (Kartubi), berkata ini kali kelapan perjumpaan keluarga besar-besaran itu dianjurkan.

Tradisi itu dimulakan sendiri oleh Haji Sulaiman anak lelaki Mohd Diah sebagai satu sesi bergambar keluarga.

Ia kemudian menjadi satu pertemuan kenduri sebelum menjadi acara Perjumpaan Hari Raya pada 1998. Setiap satu perjumpaan itu membawa kenangan manis dan rasa kemeriahan yang tidak dijangka mereka, kata Encik Zain.

BARULAH 'KENAL SEDARA'

"Pernah berlaku, ada daripada anggota kami baru mendapat tahu bahawa mereka sebenarnya bersaudara. Walhal bersekolah di tempat yang sama," kata Haji Zain yang turut mengatakan perkara sebegitulah yang menyuntik rasa kekeluargaan di antara mereka.

"Ada daripada kami juga tidak menggunakan perjumpaan ini sebagai alasan tidak berkunjung lagi semasa Hari Raya ini. Ini kerana kami tahu ramai orang tua kami yang mengharap-harapkan kedatangan kami. Perjumpaan ini juga satu wadah mengubati rindu," cerita Encik Zain kepada BERITAMediacorp.

PERJUMPAAN IKUT TREND, HIP, TEKNOLOGI JADI SENJATA

Apabila ditanya, bukankah berinteraksi atau mengirimkan khabar kepada mereka yang jauh melalui platform-platform media sosial lebih mudah?

Haji Zain menjawab, mereka tidak menjadikan teknologi sebagai satu alasan untuk tidak bertemu. Tetapi sebaliknya satu senjata untuk merealisasikan perjumpaan tersebut.

"Kami tidak pernah berjumpa semasa merancangkan perjumpaan ini," kata beliau.

"Malah, teknologi bantu kami. Kami berbicang di WhatsApp dan ini membolehkan perbincangan diadakan merentas tempat dan masa," jelas beliau lagi.

Semasa perjumpaan itu, anggota penganjur juga menggalakkan para anggota lain untuk menggunakan #hashtag semasa memuatnaikkan gambar atau catatan di laman media sosial mereka.

Ini supaya perjumpaan itu bukan saja mengikut trend, tetapi juga menjadi kenangan manis untuk mereka.

"Pada anggota kami yang tidak dapat bercuti ke sini, kami juga meminta mereka untuk merakamkan video ucapan mereka. Dan video itu ditayangkan secara kejutan bagi para hadirin," kongsi Encik Zain lagi.

Sentuhan peribadi seperti itu, kata beliau, menjadikannya lebih bermakna lagi.

KOS $10,000, PERADUAN ANYAM KETUPAT, CABUTAN BERTUAH

Encik Zain akur ada beberapa cabaran yang dihadapi beliau seperti mencari tempat, kos dan ruang yang sesuai untuk bergambar beramai-ramai kerana itulah tradisi perjumpaan dan keluarga beliau.

Perjumpaan itu juga diwarnai dengan pelbagai aktiviti seperti peraduan menganyam ketupat, kuiz mengenai makanan tradisional dan budaya, silang kata, tazkirah, ucapan ringkas dan cabutan bertuah.

Acara itu juga dapat tajaan para anggota keluarga dan beberapa syarikat yang memberi produk-produk kesihatan dan pakej cuti sebagai hadiah dalam aktiviti-aktiviti yang diadakan.

Walaupun secara keseluruhan lebih $10,000 dibelanjakan untuk menghidupkan terus tradisi unik itu, Haji Zain berkata: "Apabila ia tidak diadakan setiap tahun, perasaan rindu terubat di kalangan kami, wajah sanak saudara pada hari gembira ini, saya rasa wang ringgit itu tiada nilai berbanding pertalian silaturahim."

Semua itu tidak berakhir dengan pertemuan dan bergambar. Malah 'jawatankuasa penganjur' juga membukukan gambar-gambar yang diambil, dan buku album gambar tersebut kemudian dijual kepada para anggota keluarga besar Mohd Diah (Kartubi).

Itulah satu lagi keunikan Perjumpaan Hari Raya keluarga Singapura ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan