Skip to main content

Iklan

Iklan

Keluarga Allahyarham Zulkefli beraya tanpa ayah tercinta

Namun tahun ini, isteri serta empat orang anaknya terpaksa beraya tanpa Allahyarham yang meninggal dunia dalam kejadian langgar lari di Johor Bahru.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Hari Raya adalah masa untuk mempererat hubungan dan meluangkan masa bersama keluarga.

Namun, apabila orang yang tersayang pergi buat selamanya, apakah Aidilfitri mampu membawa sinar kegembiraan?

"Dia pergi pasar, tanya saya nak masak apa, saya masak," kata Cik Rohaya sambil menangis. Beliau adalah isteri kepada Allahyarham Zulkefli Yusop.

Begitulah rutin Zulkefli Yusop setiap kali menjelangnya Syawal.

Namun tahun ini, isteri serta empat orang anaknya terpaksa beraya tanpa Allahyarham yang meninggal dunia dalam kejadian langgar lari di Johor Bahru sehari sebelum Ramadan tahun ini.

Mujur, ramai orang sedia membantu - dari mengecat rumah, membeli sofa dan meja makan baru, membeli pakaian anak-anak hinggakan memasak juadah Hari Raya.

Malah dua hari menjelang Syawal, Cik Rohaya dikejutkan dengan kunjungan istimewa Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar yang membawa cenderahati untuknya sekeluarga.

"Beliau kata,'Kita dalam perjalanan.' Jadi apabila dah sampai saya tengok kerabat raja Johor. Tak sangka mereka sudi singgah ke rumah saya," tambah Cik Rohaya.

Lazimnya setiap Syawal tiba, mereka sekeluarga akan ke Johor Bahru untuk ke rumah nenek, namun tahun ini, berlainan sekali.

"Bezalah, tak bergerak, duduk rumah saja. Budak-budak pun faham," ujar beliau lagi.

Segala bantuan yang diberi pasti meringankan beban yang dipikul keluarga ini.

"Saya berbesar hati sangat, terima kasih banyak-banyak sebab menolong saya walaupun saya tak kenal mereka, mereka pun tak kenal saya," ucap Cik Rohaya.

Namun ia tidak mungkin dapat mengurangkan rasa sebak dan rindu mengenang pemergian orang yang dikasihi.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan