Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jumlah Melayu/Islam yang ke klinik lonjak hingga 30% selepas seminggu beraya

Bilangan anggota masyarakat Melayu/Islam yang mendapatkan rawatan di klinik-klinik, melonjak antara 10 peratus hingga 30 peratus selepas seminggu berhari raya. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bilangan anggota masyarakat Melayu/Islam yang mendapatkan rawatan di klinik-klinik, melonjak antara 10 peratus hingga 30 peratus selepas seminggu berhari raya. Ini berbanding puratanya pada hari-hari biasa.

Dalam perkataan lain, lebih ramai orang Melayu/Islam berjumpa doktor bagi penyakit seperti batuk, sakit tekak, selesema dan sakit perut, setelah lima atau tujuh hari berlebaran.

Demikian pandangan para doktor perubatan yang ditinjau BERITAMediacorp berhubung fenomena 'pasca Hari Raya' itu.

Selepas sebulan berpuasa yang merehatkan perut dan mengawal pemakanan, kemeriahan Hari Raya lazimnya disambut dengan pelbagai makanan dan juga minuman-minuman bergas dan manis-manis.

Hari ini (14 Julai) sudah masuk minggu kedua bulan Syawal, namun nampaknya lebih ramai orang Melayu akan berhari raya pula di klinik-klinik.

Dr Muhammad Iqbal Abdullah dari Senja Gateway Family Clinic berkata, bilangan anggota masyarakat Melayu/Islam yang mendapatkan rawatan di klinik-klinik selepas seminggu berhari raya, meningkat hampir 10 atau 20 peratus, iaitu lebih tinggi daripada biasa.

Dr Saiful Nizam Subari dari MyHealth Medical Centre pula berkata, jumlah itu meningkat sekitar 10 peratus "kalau untuk minggu pertama."

Biasanya, menurut mereka, kes-kes itu berkaitan dengan jangkitan atau penyakit saluran pernafasan atas, dan juga berkaitan sakit perut seperti gastrik atau buang-buang air.

DOKTOR: ELAK MAKAN MINUM SECARA TIDAK TERKAWAL

Para doktor memberi amaran bahawa perbuatan makan minum secara tidak terkawal yang seolah-olah 'balas dendam' selepas sebulan berpuasa, dan perbuatan makan pelbagai macam juadah, serta ditambah dengan penat berhari raya hingga larut malam, boleh menjejas sistem kekebalan tubuh.

Bahkan, jika pemerhatian Dr Saiful Nizam dijadikan sandaran, lebih ramai lagi orang Melayu/Islam diramal dibelenggu 'sakit Hari Raya' pada hari-hari mendatang.

Dr Saiful Nizam Subari dari MyHealth Medical Centre.

Dr Saiful Nizam Subari dari MyHealth Medical Centre.

Kata beliau: "Biasanya saya menjangka untuk melihat kemuncaknya (jumlah pesakit) mungkin pada minggu kedua atau minggu ketiga selepas hari raya.

"Jadi ini mungkin disebabkan oleh perbuatan kunjung mengunjung dan sebagainya, dan proses dan masa yang diperlukan untuk penyakit itu menular."

Dr Muhammad Iqbal pula melihat satu lagi trend, iaitu para pesakit lazimnya bersesak-sesak ke klinik pada hari Isnin dan Selasa selepas hujung minggu pertama Lebaran.

Dr Muhammad Iqbal Abdullah dari Senja Gateway Family Clinic. 

Dr Muhammad Iqbal Abdullah dari Senja Gateway Family Clinic. 

Kata beliau: "Rumah terbuka diadakan pada hari Sabtu dan Ahad, jadi mereka mengunjungi 10 hingga 20 rumah setiap hari.

"Jadi hari Isnin, mereka terus kena ciri birit, penat dan sebagainya. Jadi saya rasa itu sebab kebanyakan orang jatuh sakit pada hari Isnin. Dan juga kadang-kadang klinik tidak buka pada hari Ahad, jadi mereka hanya ke doktor pada hari Isnin."

GEJALA "OVER RAYA"

Malah ada doktor yang menyifatkan gejala itu sebagai "over Raya" atau terlebih berHari Raya. Lantaran itu, mereka menggalak masyarakat supaya mengambil sikap berpada-pada.

Walaupun para doktor akur pentingnya budaya kunjung mengunjung semasa Syawal, mereka juga menarik perhatian bahawa kegiatan seperti itu juga boleh menjadi kenderaan untuk 'berkongsi' penyakit.

NASIHAT DOTOR: BERSIHKAN TANGAN, JUADAH SIHAT

Jadi apakah yang boleh anda lakukan?

Dr Saiful Nizam berkata: "Contohnya, semasa kita berjabat tangan, mungkin kalau kita nak cuci tangan di depan orang itu, kita tak selesa lah kan.

"Tapi mungkin kita boleh berbuat sesuatu. Cuci tangan pakai steril yang mungkin kita boleh gunakan selepas kita keluar daripada rumah itu dan sebagainya."

Ditanya harapan beliau tentang antara huraian kepada fenomena 'pasca Hari Raya' ini, Dr Iqbal pula berkata, antara lain masyarakat perlu menyajikan lebih banyak juadah sihat semasa Hari Raya.

"Sepatutnya lebih ramai penyedia makanan yang memberikan masakan-masakan yang lebih berkhasiat yang kurang gula dan kurang lemaknya. Saya rasa lebih banyaklah penyedia yang harus menyediakan juadah-juadah ini," kata beliau.

Pendek kata, pilihan untuk tidak 'beraya' dengan doktor di klinik, terletak di tangan yang empunya diri. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan