Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dr Yaacob: Kepimpinan kukuh, kerja keras bentuk kemajuan dan kejayaan masyarakat Melayu

Dr Yaacob berkata demikian semasa berucap dalam bahasa Inggeris di majlis perjumpaan tahunan Hari Raya untuk para pemimpin masyarakat dan perwakilan asing.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 15 Jul 2016 08:40PM Dikemas Kini : 15 Jul 2016 10:47PM

SINGAPURA: Kejayaan yang kita nikmati sekarang, menurut Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, bukan terjadi secara kebetulan.

Kepimpinan yang kukuh, berkebolehan serta kerja keras bertahun-tahun dan kegigihan generasi perintis yang tidak mudah mengalah, mengubah keadaan sukar menjadi kemajuan dan kejayaan untuk masyarakat Melayu/Islam Singapura.

Dr Yaacob berkata demikian semasa berucap dalam bahasa Inggeris di majlis perjumpaan tahunan Hari Raya untuk para pemimpin masyarakat dan perwakilan asing, hari ini (15 Julai) di mana beliau juga mengumumkan beberapa inisiatif.

Seperti generasi perintis Singapura kita menurut Dr Yaacob, juga harus memastikan masa depan masyarakat Melayu/Islam terus cerah.

Menurut Dr Yaacob, sekitaran sejagat yang semakin berpecah belah dan berat sebelah memaksa kita agar cepat menyesuaikan diri dan memastikan mutu kepimpinan yang baik.

Kita juga perlukan para pemimpin generasi baru yang komited untuk membantu masyarakat mengharungi cabaran-cabaran masa depan.

Untuk memupuk pucuk pimpinan generasi baru, program Inkubator Kepimpinan anjuran Kelab MENDAKI akan diluaskan untuk menyertakan skim mentor yang akan menggandingkan golongan karyawan muda dengan para pemimpin masyarakat yang berpengalaman.

Sebagai mentor, para pemimpin masyarakat boleh berkongsi pengalaman dan pendapat selain memberikan inspirasi kepada golongan muda.

Ini diharap akan mencetuskan idea-idea baru tentang cara terbaik memajukan masyarakat.

Sedang kita maju ke hadapan, Dr Yaacob mengingatkan adalah penting juga usaha memanfaatkan pengalaman dan kejayaan generasi lama.

Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) bersama Arkib Negara Singapura (NAS) telah menjalankan wawancara lisan bersama hampir 400 personaliti tempatan seperti mantan Presiden Jamiyah, Abu Bakar Maidin.

Semua wawancara itu akan dibahagikan mengikut tema-tema relevan agar dapat memberikan pemahaman lebih mendalam tentang sejarah dan legasi masyarakat kita.

Dr Yaacob juga berkata amat penting bagi para pemimpin agama Singapura pada masa depan, memahami sekitaran sosio-sejarah tempatan.

Untuk itu, satu pertimbangan sedang dibuat bagi penubuhan sebuah kolej Islam untuk melatih generasi baru asatizah tempatan.

Dr Yaacob berkata perlu ada para pemimpin agama yang berasaskan konteks berbilang agama dan kaum di sini serta prihatin akan kebimbangan masyarakat Melayu Islam tempatan.

Namun banyak faktor perlu diambil kira seperti penakatan kolej itu dalam pasaran yang kecil seperti Singapura dan keupayaan menarik tenaga pengajar yang diperlukan.

MUIS akan menjalankan satu tinjauan terhadap rancangan tersebut.

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan