Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Peminta sedekah kumpul lebih S$250 juta setiap tahun di Arab Saudi

Dengan berpakaian serba hitam dan menggendong seorang bayi di ribanya, seorang wanita duduk sambil menghulurkan kotak kadbod di luar pintu sebuah masjid di Arab Saudi.

Anggaran Waktu Membaca:
Peminta sedekah kumpul lebih S$250 juta setiap tahun di Arab Saudi

Wanita mengemis di tepi jalan di Riyadh. (Gambar fail: AFP/STR)

Diterbitkan : 26 Jun 2016 01:15AM Dikemas Kini : 26 Jun 2016 02:13AM

RIYADH: Dengan berpakaian serba hitam dan menggendong seorang bayi di ribanya, seorang wanita duduk sambil menghulurkan kotak kadbod di luar pintu sebuah masjid di Arab Saudi.

Wanita itu berkata beliau dari daerah selatan Arab Saudi berhampiran sempadan Yaman, dan mengemis setiap hari di luar masjid itu yang terletak di kejiranan Riyadh yang dihuni pekerja asing.

Ramai lelaki Asia Selatan yang mengunjungi masjid itu merupakan pekerja buruh bergaji rendah, namun mereka masih mendermakan satu riyal untuk wanita itu. Kotak itu dengan pantas dipenuhi wang setelah para jemaah masing-masing mendermakan syiling satu riyal untuk pengemis itu.

Amalan menderma merupakan antara prinsip utama bulan suci Ramadan. Setiap Ramadan, yang bermula pada 6 Jun tahun ini, ramai pengemis mengemis di tepi jalan Saudi.

Namun tahun ini, sebuah badan kebajikan utama menggesa rakyat Saudi supaya tidak memberi sedekah kepada pengemis.

KES MENGEMIS NAIK 50% DALAM RAMADAN

Alwaleed Philantrophies, cabang kebajikan perniagaan ahli niaga hartawan Saudi, Putera Alwaleed bin Talal, menyatakan kegiatan mengemis ada kaitan dengan "geng-geng jalanan" dan penyalahgunaan dadah.

"Kes-kes mengemis naik 50 peratus pada bulan Ramadan," menurut pertubuhan itu dalam kenyataannya bagi mengumumkan kempennya itu, sambil memberi amaran bahawa memberikan pengemis wang hanya memburukkan lagi masalah itu.

Menurutnya, hakikatnya, pengemis jalanan terlibat dengan kegiatan seperti berpura-pura sebagai orang kurang upaya dan mempergunakan kanak-kanak, dan lebih 700 juta riyal (S$252 juta) diraih setiap tahun di Arab Saudi hasil kegiatan mengemis.

Kempen itu juga menyediakan sebuah laman untuk membimbing orang ramai tentang badan-badan kebajikan yang sah.

SAUDI TANGKAP 8,000 PENGEMIS

Di satu kawasan lain di Riyadh, kanak-kanak lelaki yang membawa bahan cuci dan alat untuk membersihkan cermin depan kereta menawarkan khidmat mereka di lampu-lampu trafik dalam satu lagi cara mengemis.

Kanak-kanak dari Asia Selatan, Afrika Timur dan Yaman "dipaksa membuat kerja buruh sebagai pengemis dan penjual jalanan, kegiatan yang dimudahkan oleh geng-geng jenayah," menurut Laporan Pemerdagangan Manusia Jabatan Negara Amerika Syarikat 2015 tentang Arab Saudi.

Pada 2014, pihak berkuasa Saudi menangkap lebih 8,000 orang kerana mengemis - 70 peratus daripada mereka adalah warga asing.

Namun, antara April dengan Disember pada tahun itu, hanya seorang yang didapati bersalah memaksa orang lain mengemis, menurut laporan AS itu.

Kemunculan begitu ramai pengemis warga asing sebahagiannya kerana Saudi merupakan destinasi bagi jemaah haji dan umrah.

Jutaan jemaah haji dan umrah dari seluruh dunia mengunjungi Arab Saudi setiap tahun, terutama pada bulan Ramadan.

Dana kanak-kanak PBB (UNICEF) menyatakan ramai keluarga miskin yang memasuki Saudi dengan visa haji atau umrah kekal di negara itu secara haram dan menjadi pengemis, atau meninggalkan kanak-kanak mereka di sana untuk mengemis dan mengirimkan wang ke negara asal mereka.

Ramai pengemis dilihat di Makkah dan Masjidil Haram. Mereka kebanyakannya wanita Arab, Asia atau Afrika dan biasanya ditemani oleh kanak-kanak.

'ORANG RAMAI SUKA MEMBERI'

Seorang pengemis berhampiran Masjidil Haram, Um Mohammed, memberitahu AFP bahawa beliau datang dari Chad tujuh tahun lalu untuk ibadah haji. Namun beliau tidak pulang ke negara asalnya setelah itu.

"Orang-orang yang baik hati suka menderma kepada orang yang miskin dan memerlukan. Kami orang miskin. Kami mengambil apa yang perlu untuk terus bertahan di sini dan mengirimkan bakinya kepada keluarga di Chad," katanya.

Kata Umm Mohammed, beliau menerima 30-60 riyal (S$7 sehingga S$11) pada hari biasa. Dalam sebulan, beliau boleh menerima sehingga 5,000 riyal (S$1,800), atau lebih daripada itu semasa musim haji dan umrah.

Arab News melaporkan pihaknya memberkas 90 pengemis termasuk 34 kanak-kanak pada empat hari pertama Ramadan.

Sumber : AFP/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan