Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Hampir 200 juta umat Islam di India sambut Aidilfitri hari ini

Kawasan membeli-belah yang popular dalam kalangan masyarakat Islam, terutama di Bazar Sadar dan Masjid Jama di bandar lama Delhi, penuh sesak dengan ribuan manusia sejak solat Jumaat.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 18 Jul 2015 02:49PM Dikemas Kini : 18 Jul 2015 08:55PM

NEW DELHI: Hujan lebat yang melanda New Delhi pada lewat petang tidak mematahkan semangat masyarakat Islam yang sibuk membeli-belah pada saat akhir, ketika kira-kira 200 juta umat Islam di India bersiap sedia untuk menyambut Aidilfitri pada hari Sabtu (18 Julai).

Kawasan membeli-belah yang popular dalam kalangan masyarakat Islam, terutama di Bazar Sadar dan Masjid Jama di bandar lama Delhi, penuh sesak dengan ribuan manusia sejak solat Jumaat.

Cuti hujung minggu yang panjang juga menyaksikan warga Delhi pulang ke kampung halaman masing-masing, menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk di laluan utama dan di stesen kereta api.

NAIB PRESIDEN INDIA BERI UCAPAN AIDILFITRI

Antara yang terawal mengucapkan salam Aidilfitri ialah Naib Presiden India, M.Hamid Ansari.

Dengan tulus ikhlas, beliau mengucapkan salam Aidilfitri kepada semua umat Islam menjelang hari lebaran itu yang menandakan berakhirnya bulan Ramadan yang mulia.

"Perayaan ini menandakan ekspresi tradisi persaudaraan dan persefahaman antara rakyat dan mengukuhkan lagi semangat kasih sayang, amalan bersedekah dan kemurahan hati," kata Encik Ansari.

Umat Islam di India adalah ketiga terbesar di dunia selepas Indonesia dan Pakistan, yang mewakili 15% daripada keseluruhan rakyat negara berkenaan. 

AIDILFITRI DI KEM PELARIAN JORDAN

Kanak-kanak Syria di kem pelarian di Jordan pula memanjatkan doa agar keamanan kembali pulih di tanah air mereka.

Sempena Aidilfitri ini, mereka juga berdoa agar dapat bersatu semula dengan anggota keluarga yang terpisah.

Meskipun hidup dalam keadaan serba kekurangan, sebagai kanak-kanak, keriangan tetap terpancar di wajah mereka apabila berkumpul beramai-ramai. 

AIDILFITRI DI NEW YORK, AMERIKA SYARIKAT

Sambutan Aidilfitri di New York, Amerika Syarikat lebih meriah tahun ini.

Pada Mac lalu, Datuk Bandar, Bill de Blasio menjadikan New York metropolis pertama di Amerika menguatkuasakan cuti sekolah semasa Aidilfitri serta Hari Raya Aidiladha.

Masjid-masjid dibanjiri jemaah untuk menunaikan solat sunat hari raya serta mendengar khutbah. 

Sumber : Bernama/Agensi Berita/is
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan