Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Flat keluarga Melayu terbakar di Marsiling, semasa waktu sahur

Kejadian kebakaran di Blok 23, Marsiling Drive itu berlaku sekitar 4.30 pagi tadi, dan meranapkan hampir keseluruhan ruang dapur dan ruang tamu flat 3 bilik itu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Tragedi menimpa sebuah keluarga muslim enam hari sebelum menjelangnya Aidilfitri. 

Sebuah keluarga Melayu seramai enam orang di Marsiling tidak dapat menyambut Hari Raya seperti biasa kali ini setelah flat 3-bilik mereka musnah dijilat api, semasa waktu sahur awal pagi tadi (11 Julai).

Kejadian kebakaran di Blok 23, Marsiling Drive itu berlaku sekitar 4.30 pagi tadi, dan meranapkan hampir keseluruhan ruang dapur dan ruang tamu flat 3 bilik itu.

Kesan kebakaran di rumah Cik Azlena. (Gambar: Ihsan Aktivis Akar Umbi Marsiling)

Kesan kebakaran di rumah Cik Azlena. (Gambar: Ihsan Aktivis Akar Umbi Marsiling)

Kebakaran di flat tingkat lima itu dipercayai berlaku semasa kesemua penghuninya sedang tidur. Mujur kesemua mereka, termasuk pemilik rumah itu, Cik Azlena Hamdi berjaya menyelamatkan diri.

Api kebakaran tersebut berpunca dari bahagian dapur, sebelum merebak ke ruang tamu.

Pasukan bomba SCDF segera dikejarkan dan berjaya memadamkan api dalam masa beberapa minit.

Kesan kebakaran di rumah Cik Azlena. (Gambar: Ihsan Aktivis Akar Umbi Marsiling)

Kesan kebakaran di rumah Cik Azlena. (Gambar: Ihsan Aktivis Akar Umbi Marsiling)

AP HAWAZI DAIPI SEGERA HULUR PELBAGAI BANTUAN

Anggota Parlimen kawasan undi itu, Hawazi Daipi dan para aktivis akar umbi berkunjung ke rumah itu pagi tadi untuk bertemu dengan keluarga yang terjejas.

Encik Hawazi memberitahu BERITAMediaCorp, pihak beliau kemudian memberikan habuan $500 kepada Cik Azlena bagi membantu beliau sekeluarga mengharungi masa-masa sukar ini, yang tercetus enam hari sebelum Hari Raya.

AP GRC Sembawang, Hawazi Daipi meninjau kesan kebakaran di rumah Cik Azlena. (Gambar: Ihsan Aktivis Akar Umbi Marsiling)

AP GRC Sembawang, Hawazi Daipi meninjau kesan kebakaran di rumah Cik Azlena. (Gambar: Ihsan Aktivis Akar Umbi Marsiling)

Malah bukan itu sahaja, Encik Hawazi dan pihak Majlis Bandaran dengan kerjasama HDB sudahpun berjaya mendapatkan sebuah flat sewa 2-bilik di Marsiling sebagai tempat penginapan sementara untuk keluarga Cik Azlena.

"Kami juga akan berkunjung ke rumah sementara bagi keluarga tersebut pada hari Isnin ini untuk menghulurkan bantuan yang lain. Pada umumnya kami memberikan bantuan kewangan bagi keluarga yang terjejas oleh kebakaran untuk membantu mereka untuk membeli peralatan-peralatan yang penting," kata Encik Hawazi. 

BERITAMediaCorp difahamkan, kunci rumah sementara itu sudahpun diberikan kepada Cik Azlena.

Pada awalnya, Encik Hawazi merancang membantu supaya flat itu dapat dicat semula seawal esok, agar Cik Azlena sekeluarga masih dapat meraikan Aidilfitri di rumah mereka sendiri.

Bagaimanapun kerosakannya ternyata terlalu teruk dengan siling dan tembok flat terkupas dan perlu kerja baik pulih lebih besar.

Kesan kebakaran di rumah Cik Azlena. (Gambar: Ihsan Aktivis Akar Umbi Marsiling)

Kesan kebakaran di rumah Cik Azlena. (Gambar: Ihsan Aktivis Akar Umbi Marsiling)

Encik Hawazi berkata, pihaknya masih sedia sedia membantu mengecat rumah itu besar kemungkinan selepas Lebaran nanti.

BERITAMediaCorp juga difahamkan, rumah jiran sebelah juga sedikit terjejas dengan kebakaran tersebut dan turut diberikan habuan $300 sebagai bantuan.

MASJID TURUT SINGSING LENGAN MEMBANTU

Dalam pada itu, pihak Masjid An-Nur di kawasan Marsiling itu juga diberitahu dan menghulurkan bantuan dari segi makanan iftar untuk keluarga tersebut, bermula hari ini.

Untuk malam ini, tambah Encik Hawazi lagi, Cik Azlena sekeluarga akan berbuka puasa di rumah seorang jirannya.

Beliau memuji sikap kejiranan yang baik seperti itu.  

Sumber : BERITA Mediacorp/is
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan