Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bagaimanakah suasana sambutan Hari Raya di Darul Islah dan Darul Ma'wa?

Bagaimanakah suasana sambutan Hari Raya di Darul Islah dan Darul Ma'wa?

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Wartawan BERITAMediaCorp, Fadli Idris berkunjung ke Rumah Peralihan Jamiyah, Darul Islah serta Rumah Tumpangan Kanak-Kanak Jamiyah, Darul Ma'wa untuk melihat sambutan Hari Raya di sana yang jarang diketahui.

Rumah Peralihan Jamiyah atau Darul Islah, mempunyai sekitar 70 penghuni di bawah jagaannya untuk membantu mereka kembali ke pangkuan masyarakat.

Hari Raya ini, seperti tahun-tahun sebelumnya, mereka sambut dengan para anggota keluarga dan kakitangan Darul Islah.

Menurut pihak Darul Islah, para penghuni diberi kepercayaan untuk meluangkan masa bersama keluarga mereka pada hari raya ini.

"Jika kita lihat dari segi profil penghuni Darul Islah, agak berbeza. Pada suatu masa, usia mereka lebih tua tetapi sekarang, apa yang kami lihat lebih muda, yang mempunyai masa depan. Jadi struktur-struktur yang kami adakan adalah seperti latihan di mana kami menyediakan mereka untuk mendapatkan kerja," kata Pengerusi, Darul Islah, Dr Isa Hassan, yang juga Naib Presiden III, Jamiyah.

Sejurus selepas jamuan hari raya, Darul Islah mengadakan sesi memohon maaf bagi para penghuni bersama keluarga mereka.

Di sebalik keceriaan meraikan hari raya kesayuan turut menyelubungi suasana sesi berkenaan.

Salah seorang penghuni yang dahulunya pernah terjerumus dalam kegelapan ialah Ijal, bukan nama sebenar, yang kini diberikan peluang kedua.

"Apa yang paling penting saya rasa ialah disiplin. Saya pernah ingat nak berubah selepas saya menjalani hukuman selama 10 tahun. Saya tinggalkan banyak gejala. Namun, saya tidak berdisiplin. Selepas bertahun-tahun, hari raya kali ini, saya rasa bersyukur walaupun tidak semeriah tetapi tetap bersama anggota keluarga," kata Ijal (bukan nama sebenar).

Bagi seorang penghuni baru, dia berasa sangat bertuah dapat meraikan Hari Raya dengan keluarganya kali ini.

"Saya rasa gembira dan bersyukur kerana setelah dua tahun meninggalkan keluarga, saya kini dapat bersama mereka walaupun saya baru berada di sini selama empat hari," kata Is (bukan nama sebenar).

Rumah Tumpangan Kanak-Kanak Jamiyah Darul Ma'wa pula memastikan anak-anak yang berada di sini tidak terlepas peluang meraikan hari raya seperti kanak-kanak biasa.

Pengerusi, Darul Ma'wa, Mohd Yunos Mohd Shariff, yang juga Naib Presiden II, Jamiyah berkata: "Tiap-tiap tahun, Darul Ma'wa meraikan hari raya puasa dengan menyediakan anak-anak rumah tumpangan ini dengan pakaian-pakaian yang baru supaya mereka dapat merasakan suasana berhari raya seperti juga dengan anak-anak kami masing-masing."

Setiap Syawal, Cik Fatimah Ismail, seorang pegawai kebajikan di Darul Ma'wa, tidak lepas menawarkan dirinya untuk menjaga anak-anak yang tidak mempunyai keluarga agar dapat menyambut hari raya di rumahnya sendiri.

Beliau yang sudah berkhidmat selama 18 tahun di Jamiyah, berpendapat bahawa kanak-kanak tersebut harus diberikan pendedahan meraikan hari raya.

Cik Fatimah berkata: Ini bukan pertama kali, saya membawa kanak-kanak dari Darul Ma'wa pulang ke rumah saya untuk menyambut hari raya.^ Kalau tak salah, sudah 10 kali, saya membawa mereka pulang dari rumah tumpangan Darul Ma'wa sejak di Ching Cheng Avenue hingga kini di Guillemard Crescent.

Semua usaha yang dilakukan itu diharap dapat memberi harapan kepada setiap penghuni untuk berusaha memiliki masa depan yang cerah. 

Sumber : BERITA Mediacorp/is
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan