Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pilihan Raya Umum: Halimah Yacob dan muka baru Kahar Hassan mula berkempen di Aljunied?

Dengan genderang pilihan raya kini semakin kuat kedengaran, bakat-bakat yang dikatakan berpotensi menjadi calon terus menjadi tumpuan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 30 Jul 2015 08:32PM Dikemas Kini : 31 Jul 2015 02:22PM

SINGAPURA: Dengan genderang pilihan raya kini semakin kuat kedengaran, bakat-bakat yang dikatakan berpotensi menjadi calon terus menjadi tumpuan.

Malam semalam, beberapa daripada mereka daripada PAP, kelihatan di GRC Aljunied, menghadiri satu majlis perjumpaan Hari Raya.

Mereka termasuk Encik Kahar Hassan, yang aktif di kawasan Kaki Bukit dan disebut-sebut mungkin menjadi calon PAP di GRC pembangkang itu.

Majlis perjumpaan Hari Raya ini dianjurkan badan akar umbi PAP, iaitu Jawatankuasa Penyelaras Kegiatan Melayu, bahagian Aljunied dan Hougang.

Ia dihadiri seramai 1,200 orang penduduk di GRC yang dikuasai Parti Pekerja ini.

Jika ucapan Pengerusi PAP bagi Kaki Bukit, Encik Kahar Hassan dijadikan ukuran, pasukan PAP di GRC ini nampaknya sedang meningkatkan rentak kempennya.

"Kita tak seperti negara-negara lain yang kadang-kadang tak sempat hendak Beraya. Kita boleh Beraya dengan senang hati sebab kita punya kepimpinan yang prihatin tentang adat, agama, bahasa kita. Inilah kehidupan majmuk di Singapura yang sudah 50 tahun berhasil kerana kepimpinan," kata Penasihat Jawatankuasa Penyelaras Kegiatan Melayu Aljunied-Hougang, Encik Kahar Hassan.

Selain Encik Kahar, juga kelihatan di sini ialah Pengerusi PAP bagi Serangoon, Chan Hui Yuh, Pengerusi PAP Paya Lebar, Muralidharan Pillai dan Pengerusi PAP bagi Eunos, Chua Eng Leong.

Juga tampil termasuklah mantan AP GRC Aljunied, Encik Zainul Abidin Rasheed.

Encik Chua berkata pasukan PAP itu sedang bekerja keras di peringkat akar umbi untuk memberikan bantuan kepada golongan memerlukan.

Tetamu terhormat majlis ini Cik Halimah Yacob ditanya strategi PAP bagi GRC Jurong dan Aljunied untuk pilihan raya akan datang.

Cik Halimah berkata beliau yakin pasukan PAP di Aljunied sudah bekerja keras dan memberikan yang terbaik untuk para penduduk.

"Saya ingin menegaskan bahawa matlamat kita adalah untuk meningkatkan kehidupan, memperbaiki kehidupan rakyat dan itu merupakan matlamat bukan sahaja matlamat jangka pendek tetapi matlamat jangka panjang. Kita mahu melihat kebaikan bukan sahaja kepada mereka yang ada pada hari ini, juga kepada anak-anak mereka, cucu-cucu mereka pada masa depan," jelas Cik Halimah.

Ditanya di mana beliau mungkin dikerahkan nanti, Cik Halimah menjawab, terpulanglah kepada parti untuk buat keputusannya. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ag
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan