Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Mungkin rakyat tidak mahu pengaruh WP berkembang lebih daripada yang ada sekarang'

Pengerusi Parti Pekerja (WP), Sylvia Lim berkata mungkin para pengundi sedang cuba menyampaikan satu mesej kepada parti pembangkang.

Anggaran Waktu Membaca:
'Mungkin rakyat tidak mahu pengaruh WP berkembang lebih daripada yang ada sekarang'

Pengerusi WP, Sylvia Lim di Hougang pada 12 September. (Gambar: Gayathiri Chandramohan)

Diterbitkan : 12 Sep 2015 10:10PM Dikemas Kini : 13 Sep 2015 12:23AM

SINGAPURA: Pengerusi Parti Pekerja (WP), Sylvia Lim berkata mungkin para pengundi sedang cuba menyampaikan satu mesej kepada parti pembangkang.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas lebih lanjut hari ini, mengenai peralihan sokongan yang besar kepada Parti Tindakan Rakyat (PAP) dalam pilihan raya semalam.

Bercakap kepada pihak media semasa lawatan bertemu penduduk WP hari ini untuk mengucapkan terima kasih kepada para penyokong di Aljunied, Cik Lim berkata: "Saya tidak pasti sama ada pengundi juga sedang cuba menyampaikan mesej bahawa mereka tidak mahu terlalu banyak Anggota Parlimen pembangkang. Mungkin mereka tidak mahu pengaruh WP berkembang lebih daripada kedudukan kami sekarang."

Beliau menambah: "Terdapat banyak interpretasi, dan tentunya, salah satu perkara yang bermain dalam fikiran orang ramai ialah, hakikat bahawa buat pertama kalinya, kesemua 89 kerusi Parlimen dipertandingkan. Mungkin sesetengah orang rasakan bahawa lambat laun, terdapat risiko PAP tidak dapat membentuk pemerintah."

"Saya rasa kebanyakan rakyat Singapura kemungkinan masih inginkan PAP sebagai pemerintah. Jadi kemungkinan, hakikat bahawa semua kerusi dipertandingkan, menyebabkan sesetengah menolak (kami)."

SYLVIA LIM: AHPETC BUKAN FAKTORNYA

AP GRC Aljunied itu, yang mempertahankan kerusi Parlimennya dengan kemenangan tipis iaitu perbezaan 1.9 peratus undi berbanding PAP, juga menolak andaian bahawa dakwaan mengenai salah urus kewangan majlis bandaran itu memberikan kesan besar terhadap prestasi WP dalam pilihan raya kali ini.

"Statistik tidak menunjukkan demikian. Peralihan undi adalah sekitar 10 peratus terhadap parti yang memerintah, namun anda mendapati bahawa di kawasan-kawasan undi kami, di Hougang, Aljunied, mahupun di Punggol East, (undi yang beralih) adalah sekitar 5 peratus atau kurang daripada itu. Jadi jika isu-isu majlis bandaran menjejas kami, kami akan menyaksikan peralihan undi lebih besar," ujarnya.

Cik Lim berkata WP akan perlu mengkaji lebih teliti keputusan pilihan raya, namun membayangkan, parti itu kemungkinan akan terus berpegang teguh dengan hala tuju dan pendiriannya di Parlimen. 

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan