Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bakal AP Melayu baru terharu, lebih bersemangat untuk berkhidmat

Terharu, rendah hati dan lebih bersemangat untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Terharu, rendah hati dan lebih bersemangat untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Itulah gambaran perasaan para bakal Anggota Parlimen (AP) Melayu baru apabila menerima sorakan gemuruh dari para penyokong mereka sebaik sahaja keputusan diumumkan.

Bakal AP GRC Jurong, Rahayu Mahzam, berkata: "Saya sebenarnya benar-benar terharu dan berterima kasih kepada para penduduk Jurong yang sudi memberi peluang kepada saya, muka baru."

Bakal AP GRC Bishan-Toa Payoh, Saktiandi Supaat pula berkata: "Kempen sembilan hari yang lalu agak gigih dari segi bagaimana kita berkempen, terutama sekali kerana GRC Bishan-Toa Payoh diberi cabaran."

Calon PAP, Saktiandi Supaat. (Gambar: Channel NewsAsia)

(Gambar: Channel NewsAsia)

Bagi Encik Amrin Amin, keluarganya menjadi pendorong utama. "Mereka memberi saya banyak sokongan moral dan memberi saya galakan dan sokongan supaya tidak mudah patah hati dan terus mengharumkan nama keluarga, bangsa dan negara," kata bakal AP GRC Sembawang itu.

Calon PAP bagi GRC Sembawang, Encik Amrin Amin, beramah mesra dengan penduduk di Woodlands. (Gambar: Facebook/Amrin Amin)

(Gambar: Facebook)

Calon Parti Tindakan Rakyat (PAP), Encik Shamsul Kamar pula tetap bersyukur kerana diterima baik para penduduk Aljunied, walaupun keputusan tidak menyebelahi pasukannya.

Beliau tetap berasa berbesar hati kerana berjaya merapatkan jurang undi bagi PAP di GRC Aljunied. Pasukan Parti Pekerja (WP) menang tipis dengan 50.95 peratus undi, sementara pasukan PAP meraih 49.05 peratus undi.

"Kita akan terus berkhidmat untuk pengundi-pengundi Aljunied. Program-program yang kita telah lancarkan, kita akan teruskan dan selagi kepimpinan parti kami memberi kepercayaan kepada saya, saya akan masih berada di Aljunied untuk berkhidmat kepada penduduk-penduduk di sana," ujarnya.

PENGALAMAN BERKEMPEN LEBIH BAIK BAGI CALON KALI KEDUA

Bagi calon-calon kali kedua pula, pengalaman berkempen kali ini lebih baik.

Walaupun ini bukan pilihan raya yang pertama bagi kebanyakan calon Melayu PAP, namun bagi bakal AP GRC Ang Mo Kio, Dr Intan Azura Mokhtar serta bakal AP bagi GRC Nee Soon, Profesor Madya Faishal Ibrahim, pengalaman berkempen kali ini adalah satu pengalaman yang cukup berbeza dengan perancangan yang lebih teratur serta pemahaman akan keperluan para penduduk yang lebih baik lagi.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim juga amat mengalu-alukan perlantikan para AP Melayu baru.

"Saya harap mereka boleh bekerjasama dan memberi sumbangan, dan pada masa yang sama mengenal pasti lebih mendalam apakah aspirasi harapan masyarakat kita dan bagaimana memainkan peranan dalam bidang sedemikian," ujarnya.

Namun Dr Yaacob juga menekankan pentingnya untuk mereka melaksanakan tanggungjawab utama mereka iaitu sebagai AP yang baik di GRC masing-masing serta di Parlimen.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan