Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

3 pemimpin Melayu catat prestasi lebih baik berbanding pilihan raya 2011

Ramai yang menggambarkan pilihan raya kali ini sebagai paling sengit, dan bahang persaingannya turut dirasakan para calon Melayu yang bertanding.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 12 Sep 2015 07:32PM Dikemas Kini : 13 Sep 2015 12:26AM

SINGAPURA: Ramai yang menggambarkan pilihan raya kali ini sebagai paling sengit, dan bahang persaingannya turut dirasakan para calon Melayu yang bertanding.

Namun bagi tiga pemimpin Melayu, pasukan mereka masing-masing mencatat prestasi yang lebih baik berbanding Pilihan Raya Umum 2011.

Dalam ucapan kemenangannya, Menteri Perhubungan dan Penerangan merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim berkata pasukannya akan terus bekerjasama untuk menentukan bahawa GRC Jalan Besar akan menjadi tempat idaman bagi semua penduduk di kawasan undi berkenaan.

Dr Yaacob, yang memimpin pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC Jalan Besar menang dengan lebih 67 peratus undi.

"Saya rasa ini menunjukkan bahawa dari segi pasukan PAP, kita telah mendengar apakah keprihatinan masyarakat amnya dan kita telahpun membuat respons yang bersesuaian. Dari segi perumahan yang mereka inginkan, dari segi pekerjaan yang mereka inginkan, dari segi masalah pengangkutan dan masalah kesihatan. Jadi saya rasa kita telah mendengar," ujar beliau.

MANDAT BINA GENERASI PEMIMPIN BARU 'FAKTOR TERBESAR'

Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua Ehwal Luar dan Dalam Negeri, Masagos Zulkifli pula berasa rendah hati dan gembira kerana sokongan padu yang diberikan para penduduk Tampines.

Pasukannya menewaskan Parti Pekerja (WP) di GRC Tampines dengan meraih lebih 70 peratus undi.

"Saya fikir faktor yang terbesar adalah mandat yang diminta oleh Perdana Menteri kita supaya dapat membina generasi pemimpin baru untuk menjadi generasi pelapis demi masa depan Singapura.

"Dan kelihatannya, beliau telah mendapat mandat yang begitu besar sekali dan penduduk-penduduk Singapura semua, rakyat Singapura sedar bahawa ini adalah suatu tugas yang sangat besar demi masa depan kita semua," kata Encik Masagos.

Antara kawasan undi yang diberikan perhatian dalam pilihan raya kali ini ialah GRC East Coast, yang dianggap menghadapi saingan sengit daripada WP.

Namun hakikatnya, pasukan PAP menang lebih 60 peratus undi iaitu prestasi lebih baik berbanding pilihan raya lalu.

KEJAYAAN DI EAST COAST HASIL KERJA KERAS SEPANJANG 4 TAHUN

Salah seorang anggotanya, Menteri Negara Pertahanan merangkap Pembangunan Negara, Dr Mohamad Maliki Osman, berkata kejayaan itu hasil kerja keras pasukan beliau sepanjang empat tahun untuk mendekati penduduk.

"Jadi apabila kami mula bertanding, kami menggunakan kepercayaan ini, kepercayaan yang telah dilaburkan selama empat tahun dan mereka memahami apakah yang telah kami melakukan untuk mereka. Mereka percaya akan kumpulan yang menyediakan diri untuk berkhidmat selama lagi lima tahun kepada mereka," ujarnya.

Ketiga-tiga pemimpin menegaskan bahawa kerja berkhidmat kepada para penduduk bermula hari ini,dan akan berganding bahu dengan rakyat Singapura dalam membina masa depan yang lebih cerah.  

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan