Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Piala FA M'sia: Penyokong Singa akan diberi perlindungan polis

Warga Singapura yang menonton perlawanan Piala FA Malaysia pusingan akhir di Kuala Lumpur esok, akan mendapat perlindungan pegawai polis yang mengiringi mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Piala FA M'sia: Penyokong Singa akan diberi perlindungan polis

Stadium Bukit Jalil di Kuala Lumpur, Malaysia. (Gambar: AFP /Tengku Bahar)

Diterbitkan : 22 May 2015 06:20PM Dikemas Kini : 24 May 2015 04:41PM

SINGAPURA: Warga Singapura yang menonton perlawanan Piala FA Malaysia pusingan akhir di Kuala Lumpur esok, akan mendapat perlindungan pegawai polis yang mengiringi mereka.

Bahkan, satu ruang khas juga akan disediakan untuk mereka di Stadium Bukit Jalil. Demikian menurut Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) dalam satu kenyataan hari ini.

FAS mengatakan langkah-langkah keselamatan tersebut diatur sendiri oleh pihak berkuasa di Malaysia untuk memastikan para peminat bola sepak dapat menonton perlawanan itu dengan selamat dan seronok.

Minggu lalu, para penyokong Terengganu bertindak ganas di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Terengganu, setelah SingaXII menang mengikut agregat dan melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala FA Malaysia.

Polis Malaysia menasihati bas-bas pesiaran yang membawa para peminat bola sepak, supaya memasuki Stadium Bukit Jalil menerusi pintu masuk Kompleks Sukan Negara, Perbadanan Stadium Malaysia, sebelum berhenti di tempat letak kereta D dan E untuk para peminat turun dari bas.

Para pegawai polis kemudian akan mengiringi para peminat bola sepak itu masuk ke stadium, menurut FAS.

FAS menambah bahawa bas-bas yang diletakkan di tempat letak kenderaan tidak akan dibenarkan keluar dari tempat itu. Para peminat juga tidak akan dibenarkan keluar daripada stadium itu selepas memasukinya.

SingaXII akan berdepan dengan Kelantan di perlawanan akhir Piala FA Malaysia, esok (23 Mei).

Empat bas dari kumpulan peminat Singapore Die Hard Fans akan ke Kuala Lumpur untuk menonton perlawanan tersebut pada 10.00 malam ini (22 Mei).

Lagi 26 bas daripada kumpulan itu akan ke Kuala Lumpur pada 7.30 pagi ini daripada Perkampungan Geylang Serai.

Keseluruhannya, 1,200 penyokong Singapura dari kedua-dua rombongan tersebut akan menonton perlawanan berkenaan.

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan