Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Piala FA: Khairul Amri buru gol awal berdepan Kelantan

Penyerang berbisa pasukan SingaXII, Khairul Amri, berhasrat untuk menjaringkan gol awal di perlawanan pusingan akhir Piala FA Malaysia menentang Kelantan di Stadium Bukit Jalil, esok.

Anggaran Waktu Membaca:
Piala FA: Khairul Amri buru gol awal berdepan Kelantan

Pemain bola sepak Singapura, Khairul Amri (kanan). (Gambar fail: AFP/ROSLAN RAHMAN)

Diterbitkan : 22 May 2015 11:00PM Dikemas Kini : 24 May 2015 04:40PM

KUALA LUMPUR: Penyerang berbisa pasukan SingaXII, Khairul Amri, berhasrat untuk menjaringkan gol awal di perlawanan pusingan akhir Piala FA Malaysia menentang Kelantan di Stadium Bukit Jalil pada hari Sabtu (22 Mei).

Pemain Singapura berusia 30 tahun itu berkata jaringan awal itu dapat meningkatkan motivasi skuad muda negara republik itu, sekaligus mencerahkan peluang menjulang Piala FA buat pertama kali.

"Kita perlu berhati-hati untuk 15 hingga 20 minit pertama kerana bukan sahaja Kelantan, malah kebanyakan pasukan dari Malaysia sukar dihadapi pada beberapa minit awal perlawanan.

"Kami akan cuba menyusup ke kawasan pintu gol Kelantan untuk mendapat satu atau dua gol," kata Khairul Amri selepas sesi latihan SingaXII di stadium tersebut, hari ini.

SAFUWAN YAKIN SINGA DAPAT JULANG PIALA FA

Sementara itu, pemain pertahanan SingaXII, Safuwan Baharudin yakin skuad kendalian Fandi Ahmad itu berpeluang menjulang Piala FA sekiranya memberikan
fokus sepenuhnya pada perlawanan itu.

Safuwan kembali beraksi setelah mengalami kecederaan tulang belakang yang serius ketika menyertai pasukan Liga Australia, Melbourne City, secara pinjaman.

"Kami akan berganding bahu dan sentiasa bermotivasi melakukan yang terbaik.

"Untuk esok saya mahu memberikan yang terbaik untuk negara dan gabungan antara pemain muda dan berpengalaman mampu membuahkan kejayaan," ujarnya.

MAHU PASTIKAN PIALA FA KEKAL DI M'SIA

Dalam pada itu, kapten skuad 'The Red Warriors', Mohd Badhri Mohd Radzi menggesa rakan sepasukan untuk memberikan persembahan terbaik bagi memastikan Piala FA yang diperkenalkan pada 1990, kekal di bumi Malaysia.

"Kami harap Kelantan menjuarai Piala FA edisi tahun ini. Kita juga berharap piala ini kekal di bumi Malaysia kerana ia melibatkan maruah negara," katanya.

Mohd Badri, yang mesra dengan panggilan 'Piya' di kalangan rakan sepasukan, berharap dapat kembali menemui semula sentuhan ajaibnya pada perlawanan malam esok (Sabtu), setelah mempamerkan aksi hambar bersama Kelantan pada saingan Liga Super musim ini.

Pemain pertahanan, Nik Shahrul Azim Abdul Halim pula yakin skuad kendalian Mohd Azraai Khor Abdullah dapat muncul juara jika dapat mengekalkan prestasi semasa yang dipamerkan pada tiga perlawanan terakhir.

"Kita dah bersedia untuk perlawanan ini sejak tiga empat hari yang lalu dan bermula hari ini, kita akan memberikan fokus penuh. Saya berharap pemain kita dapat bermain lebih baik daripada perlawanan-perlawanan sebelum ini.

"Pasukan LionsXII memang laju dan pantas, jadi kita kena halang pemain berbisa LionsXII seperti Khairul Amri," katanya.  

Sumber : Bernama/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan