Skip to main content

Iklan

Iklan

Lee Kuan Yew: Pemimpin yang tekankan kewibawaan, disiplin diri

Encik Lee Kuan Yew terkenal sebagai seorang yang menetapkan taraf yang tinggi – bukan sahaja untuk orang lain, tapi juga untuk dirinya sendiri.

Anggaran Waktu Membaca:
Lee Kuan Yew: Pemimpin yang tekankan kewibawaan, disiplin diri

Encik Lee Kuan Yew berucap semasa rapat PAP di Hougang pada 1996. (Gambar: AFP/ ROSLAN RAHMAN)

Diterbitkan : 06 Apr 2015 11:47AM Dikemas Kini : 06 Apr 2015 12:12PM

SINGAPURA: Encik Lee Kuan Yew terkenal sebagai seorang yang menetapkan taraf yang tinggi – bukan sahaja untuk orang lain, tapi juga untuk dirinya sendiri.

Keazamannya untuk menguasai bahasa selain Bahasa Inggeris, menjadi bukti. Terdorong untuk berhubung dengan para pengundi Cina, beliau mempelajari Bahasa Mandarin dan meneruskan usaha itu sehingga usia 90an tahun.

Dr Chew Cheng Hai ialah salah seorang guru bahasa Cina Encik Lee. “Beliau akan mengulangi esei yang saya baca. Ini adalah cara mempelajari sesebuah bahasa. Bila beliau tersalah menyebut sepatah perkataan, saya akan membetulkannya dan beliau cuba lagi. Saya akan beritahu jika struktur ayatnya salah. Beliau akan merakamnya dan belajar dari situ. Pendek kata, beliau seorang pelajar yang serius,” ujar Dr Chew.

Penguasaan Bahasa Melayu Encik Lee juga sangat baik. Sebagai seorang Peranakan, beliau fasih berbahasa Melayu dan bertutur seperti orang Melayu. Namun, beliau tetap mempelajarinya untuk menjadi lebih baik.

Adik Encik Lee, Cik Monica Lee, berkata pada 2012: “Abang saya selalu sibuk tentang bahasa. Mulanya, Hokkien, kemudian Melayu, selepas itu, Mandarin. Bila kami bercuti ke Cameron Highlands pun, beliau bangun jam 6.00 pagi dan berlatih.”

Encik Lee juga disiplin tentang kesihatan. Beliau makan ringan lima kali sehari dan sering bersenam.

Mantan Ketua Pegawai Pelaburan Kumpulan GIC, Ng Kok Song, yang juga pembimbing meditasi Encik Lee, berkata: “Beliau kata, setiap hari di pejabat, saya tidak hanya duduk buat sekian lama. Saya akan bangun dan pergi ke basikal senaman. Saya akan mendengar berita di radio BBC sambil berbasikal. Itulah cara saya jaga berat badan.”

TEKANKAN KEWIBAWAAN

Selain disiplin, Encik Lee juga memberi penekanan kepada kewibawaan. Beliau mengingatkan pasukannya jangan sesekali ambil mudah sesuatu perkara. Mereka tahu akibatnya jika mereka melanggar batasan yang ditetapkan Encik Lee.

Menteri Kanan Emeritus, Goh Chok Tong, berkata: “Salah satu nasihat beliau, bukan saja kepada saya tapi menteri-menteri lain juga – jangan diperhambakan dengan harta benda. Dalam erti kata lain, anda mesti jaga tingkah laku supaya musuh anda tidak boleh ambil kesempatan ke atas skandal-skandal untuk memusnahkan anda.”

Encik Lee mempunyai gaya hidup yang sederhana dan berjimat cermat – nilai-nilai yang mempengaruhi cara beliau hidup serta menguruskan pemerintahannya.

Mantan Menteri Negara Kanan, Sidek Saniff teringat semasa beliau perlu ke China ketika suhu 18 darjah bawah sifar. Encik Lee bertanya sama ada beliau ada pakaian sejuk.

“Beliau tanya sama ada saya mempunyai but berjalan di salji. Saya kata, ya, saya perlu berbelanja $400 atau $500 untuk membelinya.

“Jangan membazir, kata beliau. Chok Tong ada but yang baik. Walaupun Goh Chok Tong jauh lebih tinggi daripada saya. Saya akhirnya ke China dengan jaket dan but yang dipinjam,” ujar Encik Sidek.

Dalam merancang masa depan Singapura, Encik Lee tidak terdorong oleh ideologi tegar. Beliau bersedia merubah pendiriannya jika ia perlu.

Seperti merubah dasar perancangan keluarga untuk beranak dua sahaja, serta membenarkan kasino beroperasi dalam pusat peranginan bersepadu.

Keazaman beliau untuk menggerakkan projek-projek atau idea yang beliau fikir sangat berharga, kadangkala membuat orang lain mempunyai tanggapan yang salah mengenai Encik Lee.

Mantan Setiausaha Tetap Singapura, Eddie Teo, berkata: “Ada salah tanggapan bahawa Encik Lee tidak suka mendengar pandangan orang lain dan beliau dikelilingi orang-orang pak turut di Kabinet dan sektor awam.

“Sebenarnya, jika anda bersetuju dengan segala pandangannya, beliau tidak akan menghormati anda dan menganggap anda kurang berguna kerana beliau mahu mendengar pandangan yang bercanggahan. Beliau menghormati pandangan yang berbeza jika anda memberi sebab-sebab yang munasabah.”

Pemimpin pembangkang biasanya tidak bersetuju dengan Encik Lee, tapi memuji beliau atas pencapaiannya.

Setiausaha Agung Parti Pekerja, Low Thia Kiang, berkata pada 2013: “Warisan yang telah ditinggalkan Encik Lee untuk Singapura adalah perpaduan sosial. Kita telah berjaya, dari zaman ke zaman, yakni semua kaum, tanpa mengira bahasa atau agama, dapat hidup bersama secara aman. Bukan itu sahaja, kita juga sudah mula melihat perpaduan serta identiti nasional itu mula berkembang, tanpa mengira kaum. Saya rasa itu satu pencapaian yang besar.”

CARI BAKAT-BAKAT UNTUK PEMIMPIN MASA DEPAN

Dengan minat yang mendalam untuk memastikan Singapura kekal relevan, Encik Lee selalu terdorong untuk mencari bakat-bakat yang tepat untuk para pemimpin Singapura pada masa depan.

Hakikat bahawa Singapura sudah menyaksikan dua perubahan generasi pemerintah dengan jayanya, menjadi bukti ketelitian Encik Lee dalam merancang barisan pemimpin pelapis.

Timbalan Perdana Menteri Teo Chee Hean teringat kali pertama beliau menemui Encik Lee. Encik Teo menceritakan: “Ia kekal dalam ingatan saya. Ketika itu, saya berusia 18 tahun. Saya dan rakan sekerja, Peter Ho baru sahaja dikerahkan sebagai Pegawai Infantri.

“Pada suatu hari, kami disuruh melapor diri di Istana. Selepas menunggu seketika, kami diberitahu PM (Perdana Menteri) hendak berjumpa kami. Sebelum dapat berfikir panjang, kami sudah berada di hadapannya.

“Beliau berkata: ‘Saya hendak anda mencuba tentera laut. Anda akan mencubanya, bukan?’ Sebagai pemuda berusia 18 tahun, apa yang mampu kami katakan. Kami berdua berkata, ya tuan.

“Beliau seorang PM dan pasti ada banyak perkara yang difikirkannya. Tapi beliau beri perhatian pembangunan tentera laut. Beliau memanggil dua pemuda berusia 18 tahun untuk cuba memenuhi keperluan pengelolaan tentera laut. Saya rasa itu sangat luar biasa.”

Juga yang selalu di fikiran Encik Lee ialah kesejahteraan rakyat Singapura – kebanyakan yang beliau lakukan adalah untuk mempertingkatkan kehidupan mereka.

AKRAB DENGAN PEMIMPIN AKAR UMBI

Encik Lee menjadi Anggota Parlimen Tanjong Pagar sejak 1955. Sepanjang 50 tahun, beliau sudah menjalin hubungan yang akrab dengan para pemimpin akar umbi serta penduduknya.

Para ahli kawasan undinya tahu mereka dapat berjumpa dengan beliau sekurang-kurangnya untuk tiga perayaan setahun – Hari Kebangsaan, Tahun Baru Cina dan Hari Menanam Pokok.

Walaupun sakit, Encik Lee tetap menghadirkan diri. Mereka menyambut beliau dengan mesra, menghargai kepayahannya untuk hadir.

Mantan Menteri Negara, Profesor Madya Koo Tsai Kee, berkata pada 2013: “Semua orang menyayangi, memuja beliau. Beliau seperti bintang besar di sini, bukan bintang seperti di wayang gambar tapi seorang pemimpin yang penyayang kerana orang ramai rasa, disebabkan Lee Kuan Yew lah, hidup mereka senang di Singapura.”

Di kawasan Pinnacle, dahulunya terdapat dua blok lama. Aktivis akar umbi Choo Whye Foo teringat satu insiden puluhan tahun lalu apabila flat-flat itu dibangunkan, yang mencerminkan perwatakan Encik Lee.

“Salah seorang daripada kami berjumpa dengan beliau dan bertanya sama ada kami boleh diberi keutamaan untuk flat-flat itu. Beliau berkata, flat-flat itu dibina untuk rakyat. Jika ia dibina untuk para anggota parti, parti tiada masa depan. Apakah orang ramai akan mempercayai kita? Beliau tidak bertindak untuk kepentingan sendiri,” ujar Encik Choo.

Mantan Setiausaha Peribadi Kanan kepada Encik Lee, Encik Lim Siong Guan, berkata: “Beliau bersusah payah untuk mengambil endah tentang duduk perkara. Orang ramai akan menulis kepadanya dan beliau akan menjawabnya.

“Beliau akan cari dan berhubung dengan mereka yang telah berkhidmat pada masa lampau. Jika beliau dengar ada yang sakit, beliau akan menulis nota kepadanya. Itulah sentuhan peribadi beliau.”

Ramai daripada warga tua Singapura menganggap Encik Lee sebagai bapa pengasas negara ini, setelah melihat beliau berjaya membawa mereka keluar daripada masa-masa sukar.

BIMBANG GOLONGAN BELIA AMBIL MUDAH KEJAYAAN

Namun Encik Lee bimbang belia hari ini, yang tidak melalui zaman-zaman mencabar itu, akan mengambil mudah sekitaran unik Singapura masa kini.

Bercakap kepada para belia di forum Channel NewsAsia pada 2006, Encik Lee berkata: “Penting untuk orang seperti anda dan generasi anda untuk memahami, ia bukan sekadar mengundi atau tidak mengundi.

"Politik berkaitan dengan kehidupan anda, pekerjaan anda, rumah anda, penjagaan kesihatan anda, masa depan anak-anak anda. Sekiranya sesuatu yang buruk berlaku. Anda tidak perlu belajar sains politik untuk tahu sesuatu yang buruk sudah berlaku, bukan?”

Siswazah Muhammad Farouq Osman sekali sahaja bertemu dengan Encik Lee, semasa satu forum yang diadakan di Universiti Teknologi Nanyang pada 2011.

Encik Farouq mendapat inspirasi, semasa di maktab rendah lagi, untuk menulis kepada Encik Lee selepas membaca memoirnya.

“Saya terpegun dengan kekuatan perwatakan dan ketegasan personalitinya. Walaupun saya tidak setuju dengan semua perkara dalam memoirnya, saya rasa inilah tokoh yang telah banyak menyumbang kepada Singapura, yang mendedikasikan hidupnya kepada Singapura. Saya hendak menulis surat untuk berterima kasih kepada beliau,” ujar Encik Farouq.

Encik Lee selalu memikirkan tentang masa depan. Beliau dan pasukannya bekerja keras untuk memastikan kejayaan Singapura.

AMBIL BERAT PEMIMPIN PELAPIS

Encik Lee mengambil berat tentang pemimpin pelapis. Beliau percaya kejayaan seseorang itu diukur oleh kejayaan penggantinya.

Encik Lee berkata pada 1986: “Dan perkara yang paling sukar sekali ialah bagaimana untuk menguruskan peralihan ini. Ia bukan sekadar memerintah. Untuk memerintah memang mudah. Tapi untuk membiarkan generasi kedua memimpin, itu sangat sukar, sangat mencabar, kerana jika perkara buruk berlaku, saya masih bertanggungjawab. Jika bola terus masuk gawang, saya adalah penjaga gawangnya.”

Setibanya Pilihan Raya Umum 1988, ia menjadi jelas beliau mahu menyerahkan pemerintahan kepada generasi pemimpin seterusnya.

Presiden Tony Tan Keng Yam berkata Encik Lee tidak tamak kuasa. “Beliau melakarkan peralihan kepimpinan, dan setelah bersedia, beliau memberi laluan kepada PM baru untuk mengambil alih dan memastikan Singapura sentiasa ada pucuk pimpinan. Jadi bila beliau meninggal dunia, tiada kekosongan dalam kepimpinan Singapura,” ujarnya.

Dalam satu rapat PAP semasa Pilihan Raya Umum 1988, Encik Lee berkata: “Kali ini anda mengundi bukan untuk mengadili prestasi saya kerana bukan saya yang membuat keputusan. Anda mengundi untuk menilai prestasi Goh Chok Tong dan rakan-rakan sekerjanya.

“Selama empat tahun, mereka membuat semua keputusan penting, Ya, saya mempengerusikan sidang kabinet, tapi bila saya tidak setuju dengan mereka, saya tidak menyanggah keputusan-keputusan itu.”

Pada 28 November 1990, Encik Lee berundur daripada jawatan Perdana Menteri. Sungguhpun masih berupaya memimpin negara, beliau memilih untuk memberi laluan kepada generasi yang lebih muda, pimpinan Goh Chok Tong.

Encik Goh berkata: “Saya menganggapnya seorang guru yang baik kerana beliau mahu menteri-menteri muda berjaya. Dan oleh kerana saya dipilih oleh menteri-menteri muda sebagai pengganti kepada Encik Lee Kuan Yew, beliau telah membantu saya belajar sebanyak mungkin, dan mungkin mempengaruhi saya, jadi bila saya menjadi Perana Menteri, saya boleh meneruskan dasar-dasarnya, dan bertukar-tukar pandangan.

“Kami menjalin satu hubungan yang selesa dan apabila saya menjadi Perdana Menteri, beliau menghormati saya sebagaimana beliau patut menghormati seorang Perdana Menteri.”

Encik Lee yang pertama di kalangan generasi pemimpin-pemimpin politik, yang berjaya menyahut cabaran kepimpinan dan yang terakhir melepaskan tanggungjawab itu.

Selepas berundur sebagai Perdana Menteri, Encik Lee terus menjadi anggota kabinet untuk beberapa tahun lagi, pertama sebagai Menteri Kanan dan kemudian sebagai Menteri Pembimbing bila anak beliau, Lee Hsien Loong mengambil alih sebagai Perdana Menteri.

DIKAGUMI PARA PEMIMPIN DUNIA

Dalam peranan-peranan barunya, Encik Lee terus aktif dalam arena antarabangsa, memperjuangkan Singapura ke mana sahaja beliau pergi, walaupun setelah berundur daripada kabinet pada 2011.

Ramai pemimpin sejagat begitu kagum dengan ketokohannya. Mantan Perdana Menteri Britain, Tony Blair, berkata: “Pemikiran beliau memang jelas dan saya rasa satu ciri terpenting yang saya pelajari ialah perlunya analisis tepat. Ketepikan dogma, ketepikan itu semua. Ketepikan pandangan sayap kiri atau kanan.

“Perkara pertama yang anda perlu lakukan ialah – apakah yang akan memberi perbezaan kepada negara anda dan meningkatkannya. Sebab itu saya fikir walaupun beliau pemimpin abad ke-20, beliau adalah guru abad ke-21.”

Permaisuri Thailand, Maha Chakri Sirindhorn, berkata pada 2013: “Beliau seorang guru yang bagus. Apabila saya bertemu dengannya, saya akan mengeluarkan buku catatan saya dan menulis apa yang beliau kata. Beliau tidak tersinggung. Bahkan beliau bertutur dengan lebih jelas dan perlahan, jadi saya boleh catat semua. Inilah sifat seorang guru.”

Mantan Canselor Jerman, Helmut Schmidt, berkata: “Beliau tersendiri. Sangat pantas berfikir, minda analitik, rumusannya tajam. Sebaliknya dalam bidang pekerjaan beliau, beliau sangat pragmatik, tidak dipacu oleh sebarang ideologi. Beliau seorang yang berpandukan pertimbangan akal daripada ideologi.”

Walau apa pun keadaan pada masa depan, Encik Lee sudah mencatat sejarah. Beliau sudah menjalani kehidupan yang menakjubkan, menilai keadaannya secara objektif dan realistik dan teguh pada nilai dan kepercayaannya.

Beliau pernah berkata: “Mengapa saya perlu hidup sekali lagi? Saya mungkin tidak
bernasib baik pada kali kedua dalam banyak perkara. Apa yang boleh saya katakan, saya sudah melakukan yang terbaik. Pendapat orang lain, saya serahkan kepada mereka.”

Mengenai apakah pencapaian beliau, Encik Lee hanya menjawab: “Semua hasil kerja yang dapat saya tunjukkan ialah Singapura. Singapura masih lagi berjalan.”

Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata tentang ayahnya: “Apakah yang kita akan rindu mengenai beliau? Saya rasa bukanlah terlalu banyak perkara, tapi saya rasa perkara yang utama adalah, dengan beliau, anda tidak akan rasa kekosongan.

“Anda akan baik-baik sahaja dan anda akan mengatasinya. Dan itulah keyakinan dan kepercayaan yang kita ada pada beliau kerana pengalamannya, apa yang telah beliau lalui, sumbangannya – ia bukan sesuatu yang anda boleh samakan dengan orang lain. Beliau unik dan telah memainkan peranan yang unik di Singapura dan saya rasa kita beruntung dengan adanya beliau.”

Jika rakyat mengimbas kembali kelahiran negara ini, mereka akan akur bahawa nasib tidak menyebelahi mereka. Sebaliknya, ia hasil kerja keras seorang tokoh, dengan keberanian dan ketabahan untuk mencapai sesuatu yang mustahil.

Encik Lee pernah berkata pada 1988: “Anda mesti bersedia untuk mengalami patah tulang dan pertumpahan darah. Kadangkala, tiada jalan keluar.”

SATUKAN NEGARA DENGAN SEBUAH IMPIAN

Beliau menyatukan negara dengan sebuah impian. Ujar Encik Lee pada 1996: “30 tahun lalu, rakan-rakan sekerja saya yang masih muda dan yang masih kabur tentang masa depan, menetapkan ikrar kita. Kami tidak pandang ke dalam sahaja dan akan terlepas melihat pelangi di langit. Kami kejar pelangi itu dan itulah cara kami membangunkan Singapura pada masa kini.”

Encik Lee berkata “Saya tidak boleh katakan saya merancang kehidupan saya. Sebab itu saya rasa kehidupan adalah pengembaraan yang hebat, menarik, tidak menentu, dan kadang kala menggembirakan.”

Hakikatnya, kebijaksanaan politik beliaulah yang membolehkan rakyat Singapura menjadi sebahagian daripada perjalanan yang mencabar tetapi memberi ganjaran, harapan dan penemuan.

Semangat keberanian beliau yang terus memberi inspirasi kepada rakyat, tua dan muda, untuk membawa negara ke arah masa depan yang lebih bermakna.

Sebuah negara yang baru bertapak, pernah terkapar-kapar, kini berkedudukan sebagai antara negara paling moden di dunia, semuanya dicapai semasa hayat seorang pemimpin yang tidak pernah menyerah kalah.

Seperti kata Encik Lee sendiri: “Bagi yang muda, langit semakin cerah. Ada pelangi yang indah menyusul mereka yang ada semangat mengembara. Dan terdapat banyak kekayaan di kaki pelangi itu. Bagi yang muda dan yang tidak terlalu tua, saya seru, carilah ufuk itu, kejar pelangi tersebut dan pergi nikmatinya.”

Saksikan lebih banyak video ucapan belasungkawa dan dokumentari khas mengenai mendiang Encik Lee Kuan Yew di wadah eksklusif kami.

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan