Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PERGAS ucapkan tahniah kepada Presiden Halimah; Mufti doakan yang terbaik

"Semoga Allah memberkati setiap langkahnya, dan semoga kita semua terus dinaungi rahmat Allah dan diredhaiNya," kongsi Mufti Dr Fatris.

Anggaran Waktu Membaca:
PERGAS ucapkan tahniah kepada Presiden Halimah; Mufti doakan yang terbaik

Selepas ketibaannya di Istana, Puan Halimah Yacob disambut oleh kawalan kehormatan. (Gambar: Facebook/ Halimah Yacob)

SINGAPURA: Setinggi-tinggi tahniah kepada Puan Halimah Yacob atas pengisytiharan sebagai Presiden wanita pertama dan juga yang kelapan Singapura.

Demikian dinyatakan Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (PERGAS) melalui satu catatan Facebook pada malam semalam.

PERGAS menambah bahawa ia mengharapkan bahawa pemilihan Puan Halimah ke jawatan tertinggi negara itu menjadi satu amal jariah bagi beliau.

"Kami dan sekalian umat Islam sentiasa mendoakan agar Puan diberikan kekuatan, kemudahan dan ketenangan dalam memikul amanah ini. Semoga pelantikan ini menjadi satu amal jariah buat Puan dan tergolong di kalangan orang-orang yang salihin," menurut catatan Facebook berkenaan.

MUFTI DOAKAN YANG TERBAIK BUAT PUAN HALIMAH

Dalam pada itu, Mufti Negara Dr Mohd Fatris Bakaram turut berkongsi pengalaman menarik beliau melalui akaun Facebooknya.

Menurut Mufti Dr Fatris, beliau mengalami kejadian yang menarik pada pagi semalam semasa sedang memandu ke pejabat dari Yishun.

"Sedang saya memandu keluar Yishun menuju ke pejabat pagi ini, kerlingan mata saya di cermin belakang tertumpu kepada sebuah kereta Mercedes putih dengan nombor plet kereta yang lain daripada biasa. SEP 1. Betul-betul di belakang kereta saya.

"Sejurus sebelum keluar ke arah CTE, saya bertukar ke lorong kiri untuk memberi laluan. Ternyata seperti yang saya sangkakan, Puan Presiden Halimah Yacob berada di dalamnya," kongsi beliau.

Mufti Dr Fatris menambah kebetulan semasa itu beliau sedang membaca wirid hariannya iaitu: "Tiada tuhan melainkan Allah Yang Satu, tiada sekutu bagiNya, milikNya segala kerajaan, untukNya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu".

Dengan itu, beliau berkata bahawa beliau tujukan wirid itu dan pengertiannya kepada Puan Halimah sebagai mengiringi hari pertama tugas rasmi Puan Halimah.

"Di sebalik sentimen dan emosi yang bercampur baur di kalangan rakyat di atas perlantikan beliau, saya bermohon kepada Allah, dengan berkat dan berwasilahkan wirid saya tadi, agar beliau dikurniakan Allah pimpinan dan kekuatan untuk menjalankan tugas beratnya dengan baik.

"Semoga Allah memberkati setiap langkahnya, dan semoga kita semua terus dinaungi rahmat Allah dan diredhaiNya," kongsi Mufti Dr Fatris. 

Sumber : BERITA Mediacorp/RU/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan