Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemilihan Halimah Yacob tolak beberapa stereotaip tentang S'pura

Pemilihan Cik Halimah menyanggah beberapa stereotaip tentang Singapura, kata pengamat politik dari ISEAS - Institut Yusof Ishak.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 13 Sep 2017 07:40PM Dikemas Kini : 19 Sep 2017 04:41PM

SINGAPURA: Pemilihan Cik Halimah menyanggah beberapa stereotaip tentang Singapura, kata pengamat politik dari ISEAS - Institut Yusof Ishak.

Zamil institut tersebut, Dr Norshahril Saat berkata, pertama ialah ia menyanggah persepsi tentang Singapura sebagai sebuah negara majoriti Cina.

Dr Noorshahril berkata pelantikan Cik Halimah - seorang muslim - sebagai Presiden juga menunjukkan bahawa agama bukan satu faktor yang boleh menghalang seseorang daripada memegang jawatan tertinggi negara.

Bahkan, ucapan kemenangan Cik Halimah yang menyatakan bahawa beliau bukan Presiden hanya untuk orang Melayu - meski dipilih dalam Pilihan Raya khusus untuk calon Melayu - menunjukkan bahawa beliau Presiden yang berjiwa rakyat.

"Apa yang berlaku ini menunjukkan seorang presiden Melayu boleh diterima dalam masyarakat, boleh diterima oleh pemerintah untuk memegang jawatan tertinggi. Kita tahu jawatan presiden ini walaupun bukan satu jawatan yang politik tapi memainkan satu simbol yang besar," kata Dr Norshahril.

Beliau memberikan contoh Perbarisan Hari Kebangsaan di mana panji-panji negara itu memberikan tabik hormat kepada seorang Presiden.

"Dan untuk melihat seorang Presiden Melayu yang boleh mengamalkan agamanya sendiri, ini satu tanda simbolik yang besar, dan kita boleh memberikan contoh kepada rantau ini, kepada negara-negara di luar sana bahawa walaupun Singapura sebuah negara yang sekular tetapi seseorang itu boleh mengamalkan agamanya dengan bebas," tambah pakar politik itu.

Dr Norshahril turut berpendapat bahawa walaupun mandat tidak berlaku secara langsung, namun secara tidak langsung, Cik Halimah mempunyai mandat berdasarkan kriteria-kriteria yang ditetapkan oleh pemerintah yang dipilih oleh rakyat.

"Jadi, saya fikir mandat itu ada walaupun tidak secara langsung," kata Dr Noorshahril. 

Sumber : BERITA Mediacorp/SU/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan