Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kawalan keselamatan dipertingkat di kawasan flat Halimah Yacob di Yishun

Perubahan sedang dijalankan di Yishun Avenue 4, di mana bakal Presiden Singapura Halimah Yacob sudah menetap selama lebih dua puluh tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
Kawalan keselamatan dipertingkat di kawasan flat Halimah Yacob di Yishun

Cik Halimah Yacob dan suaminya, Mohamed Abdullah Alhabshee (Gambar: Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 13 Sep 2017 10:11PM Dikemas Kini : 19 Sep 2017 04:42PM

SINGAPURA: Perubahan sedang dijalankan di Yishun Avenue 4, di mana bakal Presiden Singapura Halimah Yacob sudah menetap selama lebih dua puluh tahun.

Semasa Mediacorp tiba di blok HDB Cik Halimah hari ini (13 Sep), beberapa jam selepas beliau diisytiharkan sebagai bakal Presiden, pegawai polis boleh dilihat berada di sana.

Cat merah kelihatan di tempat meletak kereta, bermakna ia dikhususkan buat kenderaan polis dan di bahagian luar flat Cik Halimah dua pegawai sedang melakukan pemeriksaan ke atas sesiapa saja yang mahu memasuki kawasan itu.

Di blok bertentangan pula, lebih ramai pegawai berpakaian berseragam dilihat sedang melakukan rondaan.

Cik Halimah akan mengangkat sumpah jawatan sebagai Presiden kelapan Singapura di Istana malam esok (14 Sep). Sebelum ini beliau pernah mengatakan bahawa beliau mahu terus menetap di flat jumbonya di Yishun, yang disifatkan oleh suaminya, Encik Mohamed Abdullah Alhabshee, sebagai "sebesar 'penthouse'".

Siang tadi, Cik Halimah tertawa apabila ditanya oleh wartawan tentang di mana beliau akan tinggal. "Saya masih tinggal di Yishun, seperti yang anda boleh lihat."

Jiran tetangga Cik Halimah masih cuba membiasakan diri mereka dengan perubahan, di mana seorang Presiden akan tinggal berdekatan. Mereka juga yakin bahawa Cik Halimah akan terus menjadi seorang jiran yang merendah diri seperti yang mereka kenali selama ini.

"Sama ada anda muda, tua atau seorang budak kecil, beliau akan tetap berbual dengan anda, malah beliau sendiri akan memulakan perbualan terlebih dahulu," kata Cik Irene Song, 64 tahun. Beliau berkata selagi Cik Halimah gembira tinggal di rumahnya itu, mereka tidak mempunyai sebarang bantahan.

Apabila ditanya tentang kawalan keselamatan apabila beliau terus menetap di Yishun, Cik Halimah berkata: "Saya akan menyerahkan isu-isu keselamatan kepada jabatan keselamatan. Saya rasa mereka tahu bagaimana untuk mengawal kawasan tersebut, tetapi saya rasa ia adalah tempat yang sangat selesa. Saya sudah tinggal di sana bertahun-tahun."

Beberapa jiran memberitahu Mediacorp mereka sering melihat Cik Halimah menaiki tangga untuk pulang ke rumahnya di tingkat enam, dan tidak menggunakan lif.

Bakal Presiden itu turut berkata beliau melakukan senaman selama 45 minit setiap pagi. Walaupun beliau masih belum mahu berpindah ke Istana, tidak lama lagi beliau mungkin akan dilihat berjalan-jalan pekarangannya yang luas.

Beliau memberitahu para wartawan: "Saya rasa pekarangan Istana sangat luas, jadi ia membolehkan saya berjalan-jalan dan bersenam dan menjaga kesihatan diri." 

Sumber : CNA/UR/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan