Skip to main content

Iklan

Iklan

BERITA EKSTRA: Ucapan penuh Presiden Halimah Yacob semasa Upacara Angkat Sumpah Jawatan

Presiden Halimah Yacob secara rasmi dipilih sebagai presiden ke-8 Singapura pada Khamis (14 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 15 Sep 2017 12:27AM Dikemas Kini : 19 Sep 2017 04:35PM

SINGAPURA: Presiden Halimah Yacob secara rasmi dipilih sebagai presiden ke-8 Singapura pada Khamis (14 Sep).

Puan Halimah kemudian menyampaikan ucapan sulung beliau dalam Bahasa Inggeris. Berikut ini kami bawakan terjemahan ucapan beliau pada hari yang bersejarah itu, dalam bahasa Melayu:

Perdana Menteri, Hakim Besar, Undangan yang dihormati serta Tuan-tuan dan Puan-puan.

Saya berasa peluang ini adalah satu penghormatan untuk berkhidmat sebagai Presiden kelapan Singapura. Ia adalah tanggungjawab yang berat dan saya akan melakukan yang terbaik. Saya akan melaksanakan tugas saya dengan tekun demi kepentingan terbaik rakyat Singapura dan Singapura.

Dari lubuk hati saya, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Singapura atas sokongan anda. Saya benar-benar terharu dengan ucapan mulia dan kata-kata perangsang anda. 

Sejak beberapa minggu lalu, saya sudahpun berjumpa dengan ribuan rakyat Singapura dari semua latar belakang, semua peringkat usia dan semua kaum.

Ramai di kalangan anda berkongsi harapan dan impian anda dengan saya bagi Singapura. Saya rasa bertenaga dan terdorong dengan keyakinan dan semangat anda. Kita semua disatukan oleh cinta kita yang mendalam kepada Singapura, keinginan kita untuk melihat Singapura berjaya dan daya ketahanan kita untuk menjadikannya tempat tinggal yang baik bagi semua rakyat Singapura.

Saya mahu terutama sekali menarik perhatian kepada Gerakan Buruh, di mana saya sudah bekerjasama dengannya selama bertahun-tahun lamanya, dan di mana saya banyak mempelajari tentang belas kasihan dan persaudaraan.

Saya tahu bahawa pengajaran ini akan membantu saya dalam peranan baru saya. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pertubuhan masyarakat, sosial dan perniagaan yang sudah bekerjasama dengan saya selama ini. Saya mengalu-alukan perkongsian kita yang berterusan.

Jawatan Presiden adalah jawatan tertinggi di negara ini dan adalah institusi penting dalam demokrasi kita. Ia menyatukan negara dengan mendakapi nilai-nilai yang dikongsikan sebagai satu negara - berbilang kaum, meritokrasi dan pengurusan.

Nilai-nilai ini adalah lebih penting hari ini, yang memberi panduan kepada kita sedang kita mencari haluan kita selanjutnya dalam dunia yang tergugat dan tidak menentu ini. Saya akan menyentuh setiap nilai satu demi satu.

SEMANGAT BERBILANG KAUM

Pertama sekali, semangat berbilang kaum. Presiden pertama kita, Encik Yusof Ishak, bersama bapa-bapa pengasas kita yang lain, menubuhkan asas-asas semangat berbilang kaum semasa beberapa tahun selepas Singapura merdeka. Mereka memahami bahawa semangat berbilang kaum tidak bermakna meminggirkan atau menghapuskan perbezaan antara kumpulan etnik secara paksa.

Sebaliknya, mereka menghargai semangat berbilang kita, dan mengambil langkah-langkah untuk memberi jaminan kepada setiap masyarakat bahawa mereka adalah bahagian yang unik dan bernilai bagi masyarakat kita. Saya gembira bahawa para pemimpin pengasas kita menjangkaui semangat berbilang kaum dalam ikrar negara kita, untuk menanamkannya ke dalam dasar-dasar nasional penting seperti perumahan, pendidikan dan keselamatan.

Dengan asas kukuh ini, kita sudah berjaya membina masyarakat yang pelbagai tetapi kohesif. Saya dibesarkan di Selegie House, dalam kejiranan yang berbilang kaum.

Saya bersekolah di Sekolah Perempuan Cina Singapura, dan mempunyai rakan sedarjah dan rakan-rakan dari semua kaum. Dalam kesatuan-kesatuan, saya berkhidmat kepada para pekerja tanpa mengira kaum mereka.

Sebagai seorang Anggota Parlimen, saya menjaga keperluan rakyat Singapura dari setiap kaum dan agama. saya berbangga bahawa saya berasal dari sebuah negara yang bukan sahaja pelbagai, tetapi menghidupkan semangat kepelbagaian itu setiap hari.

Kita sudah menunjukkan banyak kemajuan dalam membina masyarakat yang berbilang kaum selama bertahun-tahun lamanya, tetapi kita juga tahu bahawa usaha ini adalah kerja yang harus dilakukan dengan terus menerus untuk terus maju. Kita memerlukan tanda-tanda panduan untuk membantu kita dalam perjalanan ini.

Sebagai contoh, (dasar) integrasi bagi perumahan dan sekolah kini adalah sebahagian daripada landskap sosial kita. Jika kita membiarkannya saja, ia mungkin akan mengambil haluan yang berbeza.

Setiap generasi menghadapi cabaran baru kepada semangat berbilang kaum. Setiap generasi mesti mengemas kini institusi kita bagi mengukuhkan nilai-nilai yang kita kongsikan.

Dan setiap generasi memerlukan individu yang benar-benar prihatin tentang semangat berbilang kaum dan perjuangan untuk berpegang teguh dan sedar akan ideal ini.

Oleh itu, saya mengalu-alukan langkah-langkah baru-baru ini bagi melindungi identiti berbilang kaum kita dengan memastikan bahawa Presiden kita akan datang secara tetap dari setiap kumpulan etnik, termasuk kaum minoriti.

Saya tahu bahawa segelintir rakyat Singapura akan memilih untuk mencapai ini tanpa memerlukan Pilihan Raya yang Dikhaskan. Saya menghormati pandangan mereka. Seperti mereka, saya mengalu-alukan datangnya hari di mana kita tidak lagi perlu bergantung kepada Pilihan Raya yang Dikhususkan, dan rakyat Singapura memilih rakyat dari semua kaum secara semula jadi dan secara kerap sebagai Presiden.

Hari ini, saya mahu memberi jaminan kepada semua rakyat Singapura bahawa sebagai Presiden anda, saya akan berkhidmat kepada setiap daripada anda, tanpa mengira kaum, bahasa atau agama.

MERITOKRASI

Meritokrasi adalah satu lagi nilai utama kita. Kami yakin bahawa semua rakyat Singapura harus memiliki peluang untuk meraih pendidikan baik, dan permulaan baik dalam kehidupan, tidak kira siapa ibu bapa anda, atau dari mana asal anda. Kami benar-benar yakin bahawa sesiapa yang bekerja keras harus berpeluang untuk menyedari potensi penuh dirinya dan melakukan sumbangan bermakna kepada masyarakat.

Saya mempunyai keyakinan peribadi yang kukuh mengenai sistem meritokrasi kita, kerana tanpanya, saya tidak akan berada di sini hari ini. Saya kehilangan ayah saya pada usia yang muda; ibu saya membesarkan sendiri empat adik-beradik saya dan saya. Kami sendiri melalui kemiskinan dan kepayahan, bersusah-payah untuk hidup setiap hari.

Mujur, saya membesar di Singapura. Meskipun keluarga saya miskin, saya dapat meraih pendidikan baik dengan bekerja keras, dengan sokongan utuh keluarga, guru dan masyarakat saya. Itu membolehkan saya untuk melancarkan kerjaya saya dalam perkhidmatan awam, dan kemudian membantu mereka yang memerlukan.

Kisah hidup saya bukanlah sesuatu yang luar dari kebiasaan di Singapura. Ramai daripada anda mempunyai kisah yang serupa dengan saya, atau tahu seseorang dengan kisah sedemikian. Ini adalah sesuatu yang istimewa dan bermakna kepada Singapura.

Sebagai Presiden, saya akan melanjutkan kerja cemerlang Presiden SR Nathan dan Presiden Tony Tan. Saya akan menggunakan Cabaran Presiden untuk meningkatkan kehidupan mereka yang kurang bernasib baik dalam masyarakat kita.

Menjangkaui bantuan segera, kita juga mesti membantu keluarga yang memerlukan bagi bersiap sedia untuk cabaran hari esok. Oleh itu, saya mengalu-alukan rancangan pemerintah untuk memberikan permulaan yang baik kepada mereka yang datang dari latar belakang yang sederhana, yang bersedia untuk berjaya dalam sistem meritokrasi kita.

Saya juga mengalu-alukan pelaburan besar dalam meningkatkan kemahiran, untuk membantu ibu bapa mereka menjana lebih pendapatan dan menikmati keselamatan pekerjaan yang lebih baik.

PENGURUSAN

Nilai utama terakhir yang ingin saya sentuh adalah pengurusan. Kita sudah mewarisi bandar yang makmur dan maju, sistem yang bersih dan cekap, dan nilai-nilai kukuh yang dikongsikan.

Bagi semua ini, kita adalah penerima kerja keras generasi-generasi yang lebih awal. Kini adalah tanggungjawab kita untuk mengendalikan negara ini dengan baik, supaya kita boleh menghulurkan negara yang lebih baik, sistem yang lebih bertenaga dan komitmen lebih kukuh kepada nilai-nilai kita kepada generasi-generasi yang akan datang.

Pengurusan termasuklah menjaga satu sama lain, dan bekerja bersama-sama untuk menghuraikan masalah yang kita hadapi. Secara sosial, kita harus menjaga bilangan penduduk yang semakin menua dan keperluan jagaan kesihatan yang kian berkembang.

Secara ekonomi, kita harus mempersiapkan para pekerja dan perniagaan bagi pekerjaan dan peluang. Dan dari segi keselamatan, kita harus menangani kuasa-kuasa yang memecah belahkan kita, di merata dunia, termasuk ancaman berkembar bagi pengganasan pelampau dan Islamofobia.

Tetapi pengurusan juga bermakna merancang untuk masa depan, dan membina bagi generasi akan datang. Kita mesti melabur ke dalam ekonomi dan rakyat kita. Ini termasuk prasarana dan perkakas, tetapi juga pendidikan dan jagaan kesihatan.

Kesemua program dan pelaburan ini akan meningkatkan kehidupan kita, menjadikan kita lebih berdaya hasil dan mencipta lebih banyak peluang untuk generasi kita yang akan datang. Tapi ia juga bernilai berbilion-bilion dolar. Belanjawan akan ketat. Kita perlu mengembangkan ekonomi kita demi menjana lebih banyak sumber agar mampu membiayai program-program dan pelaburan-pelaburan tersebut. Kita juga perlu mengendalikan rizab kita dengan hati-hati.

Presiden memegang kunci kedua kepada rizab kita dan kepada pelantikan-pelantikan utama dalam perkhidmatan awam. Dalam melaksanakan kuasa pelindung saya, saya akan menggunakan penilaian saya secara bebas, merujuk kepada para anggota Majlis Penasihat Presiden dan bekerja rapat dengan Perdana Menteri dan Pemerintah.

Rizab negara kita dikumpulkan menerusi kerja keras dan pengemudian berhati-hati oleh pemerintah yang silih berganti dan generasi demi generasi rakyat Singapura. Pendapatan dari rizab tersebut adalah satu sumber penting pendapatan Pemerintah. Tapi rizab tersebut tidak boleh digunakan, kecuali bagi sebab-sebab sangat baik.

Perkhidmatan awam kita yang jujur dan berkebolehan adalah satu aset berharga yang membolehkan kita untuk bekerja dengan baik sebagai sebuah negara, dan berdiri sama tinggi di peringkat antarabangsa berbanding pesaing-pesaing yang lebih besar dan lebih berupaya.

Saya akan menjalankan tugas saya demi memastikan bahawa pelantikan-pelantikan baru bagi jawatan-jawatan penting memenuhi piawai tinggi dari segi integriti dan kebolehan. Perkhidmatan awam mesti mengekalkan mutu dan kedudukannya yang tinggi demi terus memberi khidmat yang baik kepada Singapura.

RUMUSAN

Tuan-tuan dan Puan-puan. Dalam peranan saya sebelum ini, saya sudah menyaksikan betapa banyak yang boleh kita capai dengan bekerjasama. Kini, sebagai Presiden, tugas saya adalah untuk menyatukan rakyat, untuk mengatasi banyak cabaran yang ada di hadapan kita secara bersama-sama.

Saya berikrar untuk terus berkhidmat kepada negara kita ini. Saya menyeru semua rakyat Singapura supaya menyertai saya dalam usaha ini. Matlamat kita mestilah demi mewujudkan sebuah Singapura yang lebih baik bagi generasi masa depan. Kita mesti mengukur kejayaan kita bukan sahaja dengan berapa baik pencapaian kita, tetapi sama ada kita mengupaya generasi seterusnya untuk menjadi lebih baik daripada kita.

Marilah kita mengikat diri kita kepada tugasan ini dan secara bersama-sama mencipta masa depan lebih cerah bagi semua rakyat Singapura.

Terima kasih. 

Sumber : BERITA Mediacorp/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan