Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pujian bagi para guru atas dedikasi mereka

Ibu bapa para pelajar telah melahirkan penghargaan kepada pihak berkuasa dan guru-guru yang membantu menjaga anak mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 08 Jun 2015 12:47PM Dikemas Kini : 08 Jun 2015 11:05PM

SINGAPURA: Seorang murid Sekolah Rendah Tanjong Katong yang dimasukkan ke hospital di Kota Kinabalu telah dibawa pulang ke Singapura untuk mendapatkan rawatan lanjut hari ini.

Hospital Gleneagles Kota Kinabalu berkata, murid lelaki itu cedera serius di kepala, dada dan otot.

Menurut hospital itu, dia masih dalam keadaan "kritikal tetapi stabil di ICU".

Sementara itu, MOE dalam kenyataannya berkata pihak berkuasa Malaysia telah memberitahu bahawa usaha mencari diteruskan bagi murid Navdeep Singh Jaryal Raj Kumar dan guru Mohammad Ghazi Mohamed.

Malam semalam, Menteri Pendidikan Heng Swee Keat mengunjungi dua pelajar lain yang sedang dirawat di KKH.

Encik Heng diiringi Setiausaha Parlimen Kanan Hawazi Daipi dan beliau berkata kedua-dua pelajar lelaki itu sedang pulih dengan baik.

Kedua-dua pelajar disokong sekumpulan spesialis dan pakar psikologi.

Tambah Encik Heng, ibu bapa pelajar-pelajar tersebut telah melahirkan penghargaan kepada pihak berkuasa dan guru-guru yang membantu untuk menjaga anak mereka.

Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan, Encik Hawazi Daipi berkata: "Simpati kita, seluruh negara dicurahkan kepada mereka dan agensi-agensi kita, kakitangan pemerintah yang terlibat dalam segala cara untuk membantu keluarga itu akan memberikan bantuan yang selayaknya kepada mereka sehingga anggota keluarga dan anak-anak yang terlibat dan guru-guru yang telah pun pulang pulih sedia kala. Ini adalah satu tragedi yang memilukan dan seluruh negara kita memberikan dorongan kepada keluarga untuk mengatasi masa-masa yang sangat memilukan dan hiba ini."

Salah seorang bapa pelajar, Encik Sadri Farick turut memuji dedikasi para guru: "Keberanian, apa yang telah saya dengar daripada anak-anak ini semua, keberanian dan dedikasi guru-guru ini untuk turun kemudian naik semula ke gunung luar biasa. Dari hari pertama mereka pergi guru-guru ini telah berjanji akan menjaga anak-anak kita, mereka telah menjaga anak-anak kita, hingga ada yang kembali ke Rahmatullah."

Sumber : BERITA Mediacorp/nd/hs
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan