Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Malim gunung terharu bertemu semula murid TKPS

Semasa gempa bumi menggegarkan Gunung Kinabalu dua minggu lalu, tiga malim gunung tanpa menghiraukan keselamatan diri sendiri, menyelamatkan seorang murid Sekolah Rendah Tanjong Katong (TKPS).

Anggaran Waktu Membaca:
Malim gunung terharu bertemu semula murid TKPS

Malim gunung Simon dan Rizuan bertemu semula dengan Wafeeq, murid TKPS yang mereka selamatkan. (Gambar: Pichayada Promchertchoo)

Diterbitkan : 17 Jun 2015 11:10PM Dikemas Kini : 18 Jun 2015 12:31AM

SINGAPURA: Semasa gempa bumi menggegarkan Gunung Kinabalu dua minggu lalu, tiga malim gunung tanpa menghiraukan keselamatan diri sendiri, menyelamatkan seorang murid Sekolah Rendah Tanjong Katong (TKPS).

Mereka bertiga yang bersabung nyawa di tengah-tengah bencana alam yang menggerunkan sanggup mengangkat murid yang cedera itu turun ke kaki gunung tersebut - semata-mata dengan harapan agar pelajar itu terselamat daripada bencana dahsyat itu.

Hari ini, ketiga-tiga malim gunung tersebut, yang diangkat sebagai 'hero', akhirnya bertemu semula dengan murid itu, El Wafeeq El Jauzy.

Rizuan Kauhinin, Simon Gohinmin dan Mazlee Liong, yang pertama kali membuat perjalanan ke luar Malaysia semata-mata untuk bertemu dengan Wafeeq, berkata mereka bersyukur kerana diberi peluang untuk berjumpa dengan murid yang mereka selamatkan itu.

"Saat saya berjumpa dengan Wafeeq, saya gembira kerana beliau sihat dan dalam keadaan baik, saya dapat bergambar dengannya, dan saya gembira keadaan beliau kini kembali seperti biasa," kata Encik Rizuan.

HAMPIR MENANGIS BERTEMU SEMULA DENGAN WAFEEQ

Seorang lagi malim gunung, Encik Simon, pula mengakui ia satu detik yang begitu mengharukan baginya. "Saya hampir menangis, kerana ketika Wafeeq berada di Gunung Kinabalu, beliau sakit. Tapi sekarang saya sudah berjumpa dengan Wafeeq, beliau okay, dan saya gembira," kata beliau.

Encik Mazlee pula berkata beliau gementar, gembira dan pada masa yang sama, risau memikirkan tentang pertemuan semula dengan Wafeeq. "Kami tertanya-tanya sama ada Wafeeq masih dalam keadaan trauma atau tidak. Syukur, beliau kini dalam keadaan baik," ujarnya.

Encik Rizuan juga menceritakan bagaimana beliau dipuji orang ramai sebagai 'hero' - seorang rakannya memetik gambar beliau mengendong Wafeeq - dan ini tersebar luas di lelaman media sosial. Namun sebenarnya, gambar itu dipetik untuk menunjukkan ibu saudara Encik Rizuan bahawa beliau masih hidup.

Malim gunung Rizuan Kauhinin mengendong El Wafeeq El Jauzy turun dari Gunung Kinabalu. (Gambar: Laman media sosial)

IKHLAS MEMBANTU

"Selepas itu, saya terus diburu pihak media. Saya takut. Saya bukan artis," kata Encik Rizuan. "Saya hanya membantu orang lain. Saya bukan berbuat begini untuk menjadi idola. Saya ikhlas membantu orang lain."

Encik Rizuan juga berkata bukan beliau saja yang menyelamatkan Wafeeq. Beliau terserempak dengan Wafeeq dan dua lagi malim gunung, yang meminta beliau mengangkat Wafeeq turun dari gunung itu.

Encik Rizuan berjalan kaki sejauh 2 kilometer selama 25 minit, sebelum terjumpa Encik Simon dan Encik Mazlee. Ketiga-tiga mereka membantu untuk membawa Wafeeq ke tempat yang selamat.

"Kami tidak mahu menjadi hero. Kami hanya setakat membantu. Kami membantu seberapa yang mampu. Kami tidak mahu lebih dari itu, kerana ini tugas kami, tanggungjawab kami, nilai-nilai dan prinsip yang kami pegang teguh sebagai malim gunung," Encik Mazlee dengan ikhlas menerangkan.

Ketiga-tiga mereka akan pulang ke Sabah pada Jumaat ini. Mereka akan ditemubual secara langsung dalam rancangan edisi khas "Talking Point" di Saluran 5, 9.30 malam esok.

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan