Dewan Rakyat bertafakur seminit bagi mangsa gempa Sabah
Persidangan Dewan Rakyat yang memulakan mesyuarat hari ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa tragedi gempa bumi yang melanda Sabah pada Jumaat lepas.
KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat yang memulakan mesyuarat hari ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa tragedi gempa bumi yang melanda Sabah pada Jumaat lepas.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ismail Mohamed Said menzahirkan rasa sedih dan simpati tidak terhingga kepada keluarga dan mangsa yang terlibat.
"Dewan Rakyat mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan serta berharap usaha mencari, menyelamat dan membantu mangsa yang masih hilang dipermudah.
"Dewan juga berharap keluarga mangsa kekal tabah dan cekal dalam mengharungi dugaan ini," katanya sebelum sesi persidangan bermula.
Datuk Ismail kemudian meminta anggota Parlimen berdiri dan menghadiahkan bacaan al-Fatihah dan bertafakur selama seminit.
Gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Rikter yang berlaku di Ranau pada 7.15 pagi Jumaat itu turut dirasai di kawasan lain seperti Tambunan, Tuaran, Kota
Kinabalu dan Kota Belud.
Setakat semalam, bencana alam itu meragut 16 nyawa, termasuk lapan warga Singapura yang mendaki Gunung Kinabalu. Dua lagi mangsa, seorang murid dan guru rakyat Singapura, masih hilang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.