Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sambutan Bulan Bahasa di Tampines lebih gah tahun ini

Sambutan Bulan Bahasa di Tampines dijangka lebih gah dan meriah tahun ini dengan penganjuran pelbagai kegiatan kebudayaan dan kesenian, mempamerkan keindahan, semangat serta intipati bahasa Melayu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sambutan Bulan Bahasa di Tampines dijangka lebih gah dan meriah tahun ini dengan penganjuran pelbagai kegiatan kebudayaan dan kesenian, mempamerkan keindahan, semangat serta intipati bahasa Melayu.

Ini merupakan kali kedua GRC Tampines menyertai acara itu yang juga menyaksikan penyertaan lebih banyak kawasan kejiranan tahun ini.

Tahun lalu, acara Bulan Bahasa buat julung-julung kalinya dibawa lebih dekat kepada para penduduk kawasan kejiranan, termasuk mereka yang tinggal di estet perumahan Tampines.

Bagi meneruskan kejayaan tahun lepas, Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Tampines merancang untuk menganjurkan lebih banyak program pada tahun ini yang mampu menarik perhatian orang ramai.

Misalnya, kemuncak majlis pelancaran rasminya nanti bakal menyaksikan persembahan lagu-lagu puitis oleh 'Papa Rok', Ramli Sarip.

Acara yang diberi nama 'Genderang Bahasa dan Budaya' itu juga akan menampilkan sedikit kelainan di mana keseluruh acaranya akan disampaikan oleh sebuah kumpulan dikir barat dan bukan seorang pengacara.

Selain itu, program-program menarik lain menantikan para penduduk mulai 5 September depan. Ini termasuk tayangan filem-filem Melayu, forum bahasa serta pertandingan nyanyian lagu-lagu Melayu untuk kanak-kanak tadika.

Sambutan Bulan Bahasa tahun ini juga lebih meluas, dengan penyertaan dua kawasan kejiranan baru - iaitu Nee Soon dan Chua Chu Kang. Kawasan Jurong yang menyertai sambutan tahun lepas juga akan turut serta dalam kempen tahun ini.

Menteri Masagos Zulkifli yang juga penasihat MAEC Tampines berkata penganjuran program-program bulan bahasa di kawasan-kawasan kejiranan itu diharap dapat menonjolkan budaya serta bahasa Melayu kepada lebih ramai orang.

"Kita mahu supaya masyarakat yang lebih luas dapat menonton bersama ciri-ciri budaya, bahasa orang Melayu yang santun, baik dan meriah supaya mereka juga merasakan bahawa ini adalah satu daripada ciri hidup di Singapura," ujar Encik Masagos, Menteri di Pejabat Perdana Menteri.

Bahasa Melayu juga, tambah beliau, bukan sekadar wadah untuk berkomunikasi tetapi juga penuh dengan nilai-nilai murni yang perlu disemat dalam diri generasi akan datang.

Majlis pelancaran Bulan Bahasa di Tampines,Genderang Bahasa dan Budaya, akan berlangsung pada 6 September di Community Plaza. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan