Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rahayu: Teroka media sosial untuk tarik minat terhadap bahasa Melayu

Pendekatan moden seperti penggunaan media sosial perlu diteroka untuk terus menarik minat generasi muda terhadap bahasa Melayu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pendekatan moden seperti penggunaan media sosial perlu diteroka untuk terus menarik minat generasi muda terhadap bahasa Melayu.

Demikian menurut Anggota Parlimen GRC Jurong, Rahayu Mahzam di majlis pelancaran Acara Unggul Bulan Bahasa di GRC itu pagi tadi.

Untuk kedua kalinya, Acara Unggul Bulan Bahasa diadakan di Jurong. Tahun ini, di bawah acara bernama "Bahasaku Gemilang", pelbagai kegiatan bahasa dan budaya Melayu dianjurkan.

Acara anjuran bersama Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) GRC Jurong, Yuhua dan SMC Bukit Batok itu turut dihadiri Pengerusi Majlis Bahasa, Masagos Zulkifli dan Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa, Zaqy Mohamad.

Encik Zaqy Muhammad bersama Encik Masagos Zulkifli di majlis pelancaran Bulan Bahasa di GRC Jurong. (Gamabar: Nurul Khasanah Agost/BERITAMediaCorp)

Encik Zaqy gembira melihat keterlibatan ramainya pelajar dalam acara Bulan Bahasa sejauh ini.

"Sepanjang Bulan Bahasa, kita juga melihat pelbagai sekolah yang menyertai acara kita. Ini memberi mereka dimensi yang lain dalam pembelajaran dan penggunaan bahasa di luar bilik darjah," ujar beliau.

Untuk terus menambat hati generasi muda terhadap bahasa Melayu, Cik Rahayu mencadangkan agar pendekatan yang lebih kreatif digunakan.

"Kita perlu sentiasa fikirkan cara-cara yang baru dan moden untuk terus membuat bahasa Melayu ini relevan kepada generasi yang muda, dan juga mengaitkan balik dengan zaman-zaman lampau dengan adanya pameran dan juga mengetengahkan perkara-perkara yang mereka tidak ketahui," ujar beliau.

Salah satu cara kreatif yang digunakan di acara tersebut adalah menerusi peraduan mengarang lirik lagu.

Keputusan peraduan yang diadakan minggu lalu antara sekolah-sekolah menengah di kawasan utara itu juga diumumkan dalam acara itu. Juaranya - sekumpulan pelajar Sekolah Menengah Hua Yi, yang menerima piala dan baucar $300.

Anggota pasukan yang menang tempat pertama, Syafiqah Jumali, berkata: "Kami mendapat pengalaman untuk mengetahui pelbagai kosa kata Melayu dan itu dapat memperbaiki bahasa kita."

Selain di Jurong, acara Unggul Bulan Bahasa juga diadakan di Nee Soon, Tampines dan Choa Chu Kang.   

Sumber : BERITA Mediacorp/ag/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan