Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Nilai budaya dapat diterapkan dalam anak-anak jika bahasa Melayu digunakan di rumah: Masagos

Nilai-nilai budaya Melayu yang baik dapat diterapkan dalam diri anak-anak sekiranya bahasa Melayu digunakan di rumah, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri Masagos Zulkifli.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Nilai-nilai budaya Melayu yang baik dapat diterapkan dalam diri anak-anak sekiranya bahasa Melayu digunakan di rumah.

Demikian pendapat Menteri di Pejabat Perdana Menteri Masagos Zulkifli semasa ditemui di majlis pelancaran "Genderang Bahasa dan Budaya 2015" di Tampines malam semalam.

Sebelum acara bermula, para hadirin dijamu dengan makanan tradisional Melayu seperti nasi lemak dan sate selain air batu kampung.

Di samping itu, hadirin seramai sekitar 1,000 orang ini juga berpeluang mempelajari seni orang Melayu seperti membuat bunga rampai dan bermain kompang.

Turut meluangkan masa untuk acara ini ialah para penasihat pertumbuhan akar umbi Tampines termasuk tetamu terhormat Menteri Pendidikan Heng Swee Keat.

Sekitar jam 8 malam, beliau melancarkan "Genderang Bahasa dan Budaya 2015" yang kemudiannya disusuli dengan selingan persembahan oleh artis-artis tempatan.

Seorang lagi penasihat pertumbuhan akar umbi Tampines yang juga merupakan Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura, Masagos Zulkifli berpendapat bahasa Melayu masih lagi relevan kerana pengaruh dan penggunaannya di nusantara ini.

"Kita orang Melayu haruslah menjadi mereka yang meningkatkan lagi penggunaan bahasa Melayu. Kalau bahasa Melayu mekar dan digunakan oleh orang Melayu sendiri, saya pasti ia juga akan menarik minat lebih ramai orang untuk mempelajarinya dan ia sangat terkesan, berkesan kerana ia digunakan di seluruh nusantara kita," kata Encik Masagos.

Di bawah Acara Unggul Bulan Bahasa di Tampines, pelbagai kegiatan menarik akan diadakan dalam masa sebulan ini termasuk maraton menulis skrip.

Pengerusi Jawatankuasa Peganjuran Genderang Bahasa dan Budaya 2015, Nadiputra berkata: "Kami akan mengadakan Maraton Naskah bererti peraduan menulis skrip daripada 9 pagi hingga 9 malam pada 19 September. Itu menguji lagi kekuatan ataupun ketahanan serta kemampuan para aktivis teater kita dalam melahirkan naskah teater di Singapura."

Selain Tampines, acara-acara Unggul Bulan Bahasa tahun ini juga akan diadakan di kawasan Nee Soon, Jurong dan Choa Chu Kang.  

Sumber : BERITA Mediacorp/is
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan