Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dr Faishal: Banyak usaha dilakarkan untuk masyarakatkan bahasa, budaya Melayu

Acara serta kegiatan yang lebih pelbagai dan bermutu antara sebab utama Bulan Bahasa tahun ini mendapat penyertaan yang memberangsangkan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 05 Nov 2015 08:39PM Dikemas Kini : 05 Nov 2015 10:56PM

SINGAPURA: Acara serta kegiatan yang lebih pelbagai dan bermutu antara sebab utama Bulan Bahasa tahun ini mendapat penyertaan yang memberangsangkan.

Pengerusi Bulan Bahasa, Encik Zaqy Mohamad, memberikan penilaiannya itu sambil berkata kejayaan itu menunjukkan objektif jawatankuasanya mahu memasyarakatkan penggunaan bahasa Melayu sudah tercapai.

Beliau ditemui semalam di Majlis Penghargaan Bulan Bahasa 2015.

Bulan Bahasa tahun ini yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Encik Lee Hsien Loong, terbukti mendapat sambutan paling hangat sejak ia diperkenalkan lima tahun lalu.

Bilangan peserta bagi acara-acaranya bertambah seganda tahun ini kepada hampir 44,000 orang, berbanding sekitar 22,000 pada tahun lepas.

Jumlah acara dalam kempen tahun ini, yang turut diadakan di kawasan-kawasan kejiranan seperti Tampines, Nee Soon, Jurong dan Chua Chu Kang, juga bertambah kira-kira 40 peratus kepada 105 acara.

Menurut Encik Zaqy Mohamad tambahan dari segi bilangan serta kepelbagaian acara tahun ini berjaya menarik lebih ramai peserta dari pelbagai lapisan masyarakat.

"Jumlah yang berganda ini saya rasa telah menunjukkan bahawa prestasi bulan bahasa telah meningkat dari tahun ke tahun dan kali ini kita melihat objektif kita tercapai di mana kita telah memasyarakatkan lagi Bulan Bahasa kepada masyarakat kita, bukan sahaja kegiatan-kegiatan diadakan di kawasan bandar tapi juga disemarakkan lagi di estet-estet perumahan," jelas Encik Zaqy.

Jumlah sekolah yang aktif dalam kegiatan-kegiatan Bulan Bahasa tahun ini juga meningkat kepada 47, berbanding 39, tahun lalu.

Memandang ke hadapan, Encik Zaqy berharap lebih ramai pelajar dapat disertakan dalam kempen Bulan Bahasa akan datang.

Beliau juga ingin melihat lebih banyak idea serta elemen-elemen baru diperkenalkan tahun depan bagi menyebar luaskan lagi mesej penggunaan bahasa Melayu.

Di acara semalam, Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Masagos Zulkifli, turut mengumumkan pengundurannya selaku Pengerusi MBMS.

Jawatannya akan diambil alih Setiausaha Parlimen bagi Pengangkutan merangkap Kesihatan, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

"Kalau kita lihat, banyak usaha telah dilakarkan untuk memasyarakatkan bahasa dan juga budaya Melayu. Jadi saya harap kita akan terus mendapatkan sokongan daripada masyarakat untuk meningkatkan lagi tahap dan daya masyarakat kita untuk menghayati, mengguna bahasa dan juga kesusasteraan serta budaya Melayu kita," ujar Dr Faishal.

Bulan Bahasa 2016 akan dilancarkan pada 3 September tahun depan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ag
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan