Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ustazah Nurul Izzah Khamsani asatizah pertama dilantik duta baru Bulan Bahasa

Bulan Bahasa tahun ini akan mengambil pendekatan yang lebih meluas dan dipertingkat.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 29 Jul 2016 10:42PM Dikemas Kini : 02 Sep 2016 12:09PM

SINGAPURA: Bulan Bahasa tahun ini akan mengambil pendekatan yang lebih meluas dan dipertingkat.

Matlamatnya, untuk memberikan pengalaman yang lebih mendalam bukan sahaja kepada masyarakat Melayu tetapi juga golongan bukan Melayu.

Bulan Bahasa 2016 mengekalkan tema tahun lepas yakni Ilmu, Budaya dan Mesra. 

Namun kali ini, kegiatan-kegiatan yang diadakan lebih meluas.

"Tahun ini pendekatannya adalah untuk membina pada usaha-usaha pada tahun-tahun yang lalu. Kita lihat tahun demi tahun bulan Bahasa ini semakin mengembang dan semakin memberikan sesuatu yang bermakna untuk masyarakat kita. Jadi apabila masyarakat kita sudah sekarang kenal kepada konsep Bulan Bahasa dan acara-acara bulan Bahasa, apa yang diharapkan tahun ini adalah usaha-usaha yang dapat memberi pengalaman yang lebih mendalam dan juga sesuatu yang lebih berpanjangan. Jadi diharapkan mereka akan terus mengadakan aktiviti-aktiviti yang di luar bulan Bahasa," Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa 2016, Rahayu Mahzam, memberitahu BERITAMediacorp.

"Program-program pada tahun ini merupakan suatu program penambah nilai daripada program 2015, di mana para penggiat seni, Bahasa dapat juga didedahkan kepada beberapa acara-acara menarik seperti kami ada segmen muzik, di mana Akustikaloka, diketengahkan sebagai suatu segmen untuk menarik ramai artis tempatan, bergabung tenaga dan menampilkan sesuatu yang segar untuk muzik genre mereka diketengahkan," kata Ahli Jawatankuasa Bulan Bahasa 2016 Farizan Md Amin.

Pelbagai aktiviti dan lebih banyak program bakal diadakan sepanjang acara tiga bulan dari 15 Ogos hingga 15 Oktober.

Tahun ini, buat julung-julung kalinya seorang asatizah lulusan Universiti Al-Azhar dilantik menjadi antara tiga duta bahasa baru.

"Penggunaan Bahasa Melayu ini memang sinonim dengan penyampaian ceramah dan juga syarahan agama di masjid-masjid mahupun di mana-mana tempat lapangan kami insyallah sebagai asatizah. Jadi saya rasa para asatizah dan juga penyampai-penyampai yang lain juga harus melestarikan penggunaan Bahasa Melayu dalam penyampaian mereka supaya anak-anak kita, generasi yang akan datang dapat menghargai Bahasa ini sebagai suatu Bahasa yang hidup," Nurul Izzah Khamsani memberitahu BERITAMediacorp.

Dua lagi duta bahasa termasuk pelakon dan penggiat seni Siti Khalijah Zainal serta pengasas dan konduktor Okestra Sri Temasek Megat Muhd Firdaus Mohd.

Identiti visual Bulan Bahasa turut menerima suntikan kreatif baru.

Ia diilhamkan dari sulaman tekat yang bercorak floral, melambangkan kelestarian tradisi Melayu.

Jawatankuasa Bulan Bahasa 2016 turut mendedahkan perincian acara pelancaran Bulan Bahasa yang akan diadakan di Muzium Negara pada 3 dan 4 September ini.

Seluruh muzium akan diisi dengan pelbagai kegiatan bahasa dan budaya Melayu yang boleh disertai orang ramai termasuk golongan bukan Melayu.

Ini termasuk lawatan berpandu, permainan, tarian, pementasan dan juga konsert sebagai acara kemuncak pelancaran Bulan Bahasa. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan