Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

FOKUS: 2 dekad memperkasa Bahasa Melayu. Apa lagi yang boleh dilakukan?

Sehingga kini sudah hampir tiga dekad Bulan Bahasa dianjurkan Majlis Bahasa Melayu Singapura, MBMS.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sehingga kini sudah hampir tiga dekad Bulan Bahasa dianjurkan Majlis Bahasa Melayu Singapura, MBMS.

Selain menggalak penggunaan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian, ia juga bermatlamat memastikan bahasa dan budaya Melayu terus berakar subur dalam masyarakat Melayu Singapura.

Namun, adakah usaha-usaha selama ini sudah mencukupi dalam menjamin pemerkasaan bahasa kebangsaan Singapura?

Wartawan BERITAMediacorp mengupas keberkesanan usaha-usaha sedia ada.

Pada pertengahan tahun ini, satu lawatan diadakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Bahasa Melayu (MLLPC), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Malaysia.

Perbincangan menyentuh isu peluang serta ruang membentuk laluan kerjasama dalam pendidikan bahasa Melayu, bagi para guru dan pelajar.

PENDAPAT BERCANGGAH TENTANG DEWAN BAHASA, PUSTAKA S'PURA

Usaha tersebut dapat dilihat sebagai kemajuan setapak lagi dalam melestari dan memartabatkan penggunaan bahasa Melayu, di Singapura.

Namun, terdapat percanggahan pendapat apabila isu potensi Singapura menubuhkan Dewan Bahasa dan Pustakanya sendiri.

"Pada pendapat saya, sudah tiba masanya kita ada Dewan Bahasa kita sendiri sebagai rujukan untuk para penulis Singapura, rakyat dan masyarakat kita. Kepada Dewan Bahasa itu untuk isu-isu tentang bahasa, isu-isu ilmu dan ia boleh menjadi sebuah pusat rujukan untuk para penulis lama, para penulis baru untuk mereka rujuk bagaimana hendak menerbitkan karya, bagaimana hendak menyunting karya mereka," penulis Souvenir Dari Angkasa Lepas, Hassan Hasaa'ree memberitahu BERITAMediacorp.

"Sejujurnya, pada pandangan saya, bukan soal tiba masa atau tidak tetapi saya rasa lebih kepada kita seharusnya memanfaatkan badan, pertubuhan yang sedia ada. Sebagai contoh, kita ada Majlis Bahasa Melayu Singapura, jadi mereka sudahpun ada usaha-usaha mereka sendiri. Jadi, jika MBMS boleh lakukan apa yang Dewan Bahasa lakukan, jadi mengapa kita perlu adakan dua pertubuhan yang asing sedangkan kita dapat manfaatkan apa yang sedia ada," kata penulis Rasa, Munirah Jaafar.

PERLU SESUAIKAN DENGAN KONTEKS

Baru-baru ini, ketika ditemui dalam satu acara Bulan Bahasa, Profesor Madya Faishal Ibrahim menjelaskan kepentingan penyesuaian konteks.

"Kita mempunyai pendekatan yang lain dan konteks yang berlainan di mana kita mahu membangunkan dwi-bahasa, di Singapura. Di mana pendekatan bahasa Melayu bukan sahaja dilakarkan pihak-pihak pemerintah ataupun agensi yang sedia ada, tetapi dilakarkan dan juga dikongsi bersama pertubuhan-pertubuhan akar umbi dan pertubuhan-pertubuhan yang lain serta para individu yang tertentu di mana semua memainkan peranan," kata Dr Faishal.

"Jadi, apa yang harus kita lakukan adalah untuk memberikan kepelbagaian kepada masyarakat kita," tambah beliau

Walaupun tiada perancangan menubuhkan Dewan Bahasa dan Pustaka Singapura, keyakinan dalam usaha sedia ada dilahirkan Profesor Madya Faishal Ibrahim.

"Saya rasa yakin kita boleh melakukan yang terbaik. Ini adalah demi, untuk kepentingan masyarakat Melayu kita, di Singapura," ujar Dr Faishal.

Semasa acara pelancaran Bulan Bahasa di Muzium Negara pada awal bulan ini, Pengerusi Bulan Bahasa 2016, Cik Rahayu Mahzam menggariskan harapan penglibatan masyarakat bukan Melayu Singapura dalam meraikan Bahasa Kebangsaan watan.

SOKONG USAHA ADAKAN DUTA BAHASA BUKAN MELAYU

Sejak tahun 2010, para duta Bulan Bahasa dilantik bagi menyokong usaha ini.

Kemungkinan melantik duta Bulan Bahasa bukan Melayu disambut baik, didasari konteks masyarakat majmuk Singapura.

"Singapura ini adalah bangsa yang berbilang kaum. Jadi, setiap bangsa di negara kami ini boleh berbahasa Melayu, Inggeris dan Cina.
Jadi, kalau kita ada orang yang bukan berbangsa Melayu untuk menjadi duta, saya rasa itu adalah satu tujuan yang sangat baik," menurut Duta Bulan Bahasa 2016 Megat Mohd Firdaus Mohd.

"Itu mungkin keputusan yang harus saya serahkan kepada jawatankuasa 2017 mungkin, dan juga Majlis Bahasa. Tetapi, saya rasa itu saranan yang baik kerana kita lihat yang pentingnya adalah cinta pada bahasa, rasa semangatnya, rasa bagaimana untuk kita gunakan aktiviti kita, cara kita sendiri untuk menyampaikan dan memartabatkan bahasa Melayu itu. Jadi, tidak kira bangsa, yang penting adalah cintanya pada bahasa Melayu," Cik Rahayu memberitahu BERITAMediacorp.

BULAN BAHASA TUNJUK PENINGKATAN TAHUN KE TAHUN

Perbandingan kempen Bulan Bahasa tahun demi tahun menunjukkan peningkatan dari segi jumlah peserta, acara yang dijalankan, termasuk, sokongan rakan kerjasama.

Namun, wadah ini masih boleh diperkasa lagi dengan sokongan kuat semua pihak berkepentingan demi manfaat semua.

"Saya rasa di mana kita boleh meningkatkan lagi adalah sokongan dan juga penglibatan daripada masyarakat umum di mana kita mahu juga bukan sahaja anak-anak murid tetapi juga ibu bapa dan datuk nenek dan sebagainya bersama kami," kata Encik Zaqy.

"Saya berharap di mana mendapat sokongan yang lebih mendalam daripada masyarakat Melayu dan juga daripada masyarakat bukan Melayu untuk mencintai bahasa ibunda kita," tambah Encik Zaqy, yang juga merupakan Pengerusi Bulan Bahasa 2015.

"Dalam acara Bulan Bahasa 2016 ini, kawan-kawan saya semua dapat mempelajari tentang adat Melayu, budaya," kata Nur Shahriyah Fatin.

"Di kalangan budaya berbeza di Singapura, terdapat juga pelbagai persamaan. Saya pelajari bagaimana bahasa Melayu merupakan sebahagian jati diri nasional secara keseluruhan. Menerusi pantun, saya belajar bagaimana sastera Melayu diekspresi," menurut Teo Jun Hua.

Walaupun sudah hampir 30 tahun diadakan, wadah yang disediakan Bulan Bahasa kekal relevan.

Malah ada ruang untuk terus dipertingkat dengan sokongan yang lebih mendalam bukan sahaja daripada masyarakat Melayu malah juga daripada masyarakat bukan Melayu.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan