Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PAP: "Satu kemenangan yang baik" dan "mandat yang kuat" daripada para pengundi untuk Murali

Para pemimpin PAP yang membantu kempen Encik Murali Pillai di Bukit Batok, menyifatkan kemenangan beliau sebagai "satu kemenangan yang baik" dan "mandat yang kuat" daripada para pengundi.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Para pemimpin PAP yang membantu kempen Encik Murali Pillai di Bukit Batok, menyifatkan kemenangan beliau sebagai "satu kemenangan yang baik" dan "mandat yang kuat" daripada para pengundi.

Timbalan Perdana Menteri Tharman Shanmugaratnam pula berkata, prestasi Encik Murali "lebih baik daripada jangkaan" beliau.

Ini meskipun pencabarnya, Dr Chee Soon Juan dari SDP berjaya meraih sekitar 39 peratus undi - iaitu lebih 12 peratusan mata lebih banyak berbanding pilihan raya umum tahun lalu.

Encik Murali mendapat sekitar 61 peratus undi, sedangkan semasa pilihan raya umum, PAP mendapat sekitar sekitar 73 peratus undi.

BUKTI CALON MINORITI BOLEH MENANG

Setelah dengan rasmi diisytiharkan sebagai pemenang dan dipilih rakyat untuk menjadi Anggota Parlimen Bukit Batok, Encik Murali keluar daripada Cawangan PAP Bukit Batok untuk bertemu para penyokongnya.

Kemenangan ini juga satu hadiah Hari Ibu untuk ibunya yang juga mengiringi perjuangan beliau semalam.

Isteri dan dua orang anak beliau juga datang memberikan sokongan.

Yang pasti, kemenangan Encik Murali juga membuktikan bahawa seorang calon minoriti, boleh menang di kawasan undi perseorangan, walaupun adanya desas desus semasa berkempen yang mahu orang Cina mengundi orang Cina.

JANJI KHIDMAT UNTUK SEMUA TANPA MENGIRA WARNA POLITIK

Dalam sidang media yang diadakan lewat malam semalam, Encik Murali menekankan bahawa beliau akan berkhidmat untuk semua orang, tanpa mengira apa warna politik mereka.

"Terima kasih kepada penduduk-penduduk Bukit Batok di atas sokongan anda. Kita akan bekerjasama untuk menjadikan Bukit Batok kediaman yang lebih baik dengan masa depan yang cerah. Sekali lagi, terima kasih atas sokongan anda," kata beliau dalam bahasa Melayu.

Encik Murali juga berkata, beliau berasa "rendah diri" dengan kemenangan ini dan mengaku bahawa SDP berjaya menjalankan satu kempen yang dianjurkan dengan baik.

SATU PERTARUNGAN YANG BAGUS

Tumpuan kemudian beralih kepada beberapa anggota kabinet yang turut menemani Encik Murali.

Cik Grace Fu berkata, bagi pihak PAP, mereka sangat gembira dengan keputusan pilihan raya.

"Ia satu pertarungan yang bagus, ia satu kemenangan yang baik, jadi kami sangat gembira bahawa para penduduk, pengundi Bukit Batok memilih Encik Murali. Kami percaya, beliaulah orang yang tepat," kata Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) Grace Fu.

Mereka juga ditanya penilaian mereka tentang prestasi PAP kali ini, memandangkan peratusan undi yang diterimanya merosot dua angka kali ini.

CHAN CHUN SING: PILIHAN RAYA KECIL MENCABAR DI MANA-MANA PUN

"Dalam sebuah pilihan raya kecil, dalam sebarang pilihan raya kecil, ia memang sangat sukar. Jika anda lihat rekod kesemua pilihan raya kecil, sama ada di Singapura atau atau di negara lain. Ia selalunya sangat sengit bagi parti bertahan. Hari ini kami sangat terdorong dengan keputusannya. Kami tidak pernah ambil mudah sesebuah pilihan raya. Jadi ini bukan sesuatu yang anda boleh bandingkan dengan keputusan Pilihan Raya Umum," jelas Menteri di Pejabat Perdana Menteri Chan Chun Sing.

Para Menteri dan AP PAP nampaknya juga belum bersedia untuk menawarkan sebab-sebabnya, mengapa Dr Chee mampu mendapat sekitar 39 peratus undi, iaitu yang terbanyak pernah didapatkannya dalam satu-satu pilihan raya.

"Perinciannya belum kami dapati dan keputusan ini perlu kami analisis. Tetapi secara amnya memandangkan ini adalah pilihan raya kecil dan ianya berlaku atas sebab-sebab yang tertentu, ini saya rasa adalah keputusan yang agak baik dan akan kami renungkan.

"Kami tentu sekali kami akan terus memperbaiki dan meningkatkan usaha kami dalam masyarakat dalam menjaga keprihatinan dan memberi khidmat yang baik untuk penduduk di Jurong dan juga di Bukit Batok," ujar Anggota Parlimen, GRC Jurong Rahayu Mahzam.

SELEPAS 4 DEKAD, PAP AKHIRNYA MENANG PILIHAN RAYA KECIL

PAP sememangnya tidak pernah memenangi pilihan raya kecil, sejak hampir empat dekad lalu.

Namun demikian, kemenangan semalam, memecahkan kemarau tersebut dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam ulasan beliau menyatakan, para penduduk Bukit Batok sudah memilih seorang AP yang komited, boleh dipercayai dan bersedia bekerja keras.

Dalam komen beliau pula, DPM Tharman berpuas hati dengan prestasi Encik Murali.

"Prestasi beliau lebih baik daripada jangkaan saya. Saya rasa prestasi beliau sangat baik," kata Timbalan Perdana Menteri Tharman Shanmugaratnam.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ag
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan