Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Media sosial ada pengaruh dalam Pilihan Raya Kecil Bukit Batok

Pilihan Raya Kecil mungkin bermula secara rasmi pada 27 April lalu apabila Encik Murali Pillai dari Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan Dr Chee Soon Juan Parti Demokratik Singapura (SDP) disahkan sebagai calon.

Anggaran Waktu Membaca:
Media sosial ada pengaruh dalam Pilihan Raya Kecil Bukit Batok

Laman Facebook calon-calon Pilihan Raya Kecil Bukit Batok. (Gambar: Raj Nadarajan/TODAY)

Diterbitkan : 02 May 2016 02:57PM Dikemas Kini : 02 May 2016 02:59PM

SINGAPURA: Pilihan Raya Kecil mungkin bermula secara rasmi pada 27 April lalu apabila Encik Murali Pillai dari Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan Dr Chee Soon Juan Parti Demokratik Singapura (SDP) disahkan sebagai calon.

Namun, persaingan antara kedua-dua calon sudahpun bermula beberapa minggu lebih awal di media sosial, khususnya di laman Facebook di mana mereka kerap memuat naik gambar-gambar, video malah komentar secara 'langsung'.

Dr Chee memulakan kempen tidak rasminya kurang 12 jam setelah perletakan jawatan bekas Anggota Parlimen (AP) Bukit Batok David Ong, pada sebelah petang 12 Mac.

Pada sebelah pagi keesokan harinya Dr Chee bersama pasukan SDP mengadakan sesi bertemu penduduk di kawasan undi SMC itu.

Dua jam kemudian, sebuah video tentang lawatan bertemu penduduk itu dimuat naik ke laman Faebooknya dan juga SDP, mencetuskan spekulasi bahawa anggota mapan dari parti pembangkang itu akan bertanding.

PENDEKATAN BERBEZA

Dr Chee, 53 tahun, terus menerus membayangkan bahawa beliau akan bertanding di laman Facebook, seperti memuat naik gambar-gambar sesi bertemu penduduk dan mengambil bahagian dalam gerakan menderma darah, sebelum pencalonannya pada 20 Mac.

Encik Murali, seorang peguam, pernah bertanding dalam Pilihan Raya Umum (GE) 2015 sebagai sebahagian daripada pasukan PAP yang kalah tipis di GRC Aljunied.

Beliau mula aktif di media sosial bagi Pilihan Raya Kecil Bukit Batok pada 24 Mac, tiga hari setelah diumumkan sebagai calon partinya untuk pilihan raya kecil itu.

Meskipun tarikh pilihan raya kecil belum diumumkan, Encik Murali juga memanfaatkan laman Facebook untuk memperkukuh pengaruh dan kehadirannya serta menyebarkan mesej kempen.

Sejauh ini, Encik Murali dan Dr Chee mengambil pendekatan yang amat berbeza di media sosial.

Dr Chee yang mempunyai jumlah 'pengikut' yang lebih besar, sering menggunakan media sosial untuk mempercepat proses mendampingi pengundi.

Encik Murali pula mengambil pendekatan yang lebih santai, tanpa menggunakan ciri video 'secara langsung', dengan memilih video dan gambar-gambar yang membantu menonjolkan caranya yang lebih bersederhana.

Namun persoalannya ialah, sama ada kegiatan-kegiatan di media sosial akan mempengaruhi 25,727 pengundi yang layak mengundi di Bukit Batok pada 7 Mei nanti?

KESAN BELUM PASTI

Kempen di media sosial oleh PAP dan parti-parti pembangkang semasa GE 2015 dianggap jauh lebih baik berbanding pilihan raya sebelumnya.

Namun, satu tinjauan oleh Institut Kajian Dasar (IPS) yang dijalankan ke atas 2,000 pengundi setelah pilihan raya tahun lalu, menunjukkan bahawa media sosial hanya meninggalkan kesan yang kecil.

Saluran media utama, yang menjadi rujukan lebih ramai pengundi dan lebih diyakini, dianggap memainkan peranan lebih besar, menurut para pakar.

Menerusi satu sesi wawancara dengan seorang zamil kanan penyelidikan IPS, Dr Gillian Koh memberitahu bahawa dalam Pilihan Raya Kecil Bukit Batok, media sosial masih tidak akan meninggalkan kesan besar.

Tinjauan pasca GE 2015 mendapati, para pengundi yang menggunakan media sosial untuk membentuk pendapat politik tidak diwakili secukupnya di kawasan undi Bukit Batok.

Dr Chee sendiri pernah menyuarakan rasa kurang pasti sama ada usahanya di media sosial akan membuahkan hasil.

Kebanyakan penduduk Bukit Batok yang ditanya tentang kebiasaan media sosial mereka pada minggu lalu memberitahu Mediacorp bahawa mereka tidak membaca secara aktif catatan-catatan Encik Murali mahupun Dr Chee.

KEBANYAKAN PENDUDUK LEBIH PERCAYAI MEDIA UTAMA

Mereka menambah bahawa undian mereka adalah berdasarkan apa yang dibaca menerusi saluran berita utama dan apa yang diperhatikan semasa tempoh berkempen.

Namun begitu, mesej-mesej Dr Chee dan Encik Murali tidak sia-sia.

Sesetengah penduduk Bukit Batok seperti jurutera Nor Mohammad Azmi, 35 tahun, berkata mereka kini semakin mengetahui tentang mesej-mesej daripada kedua-dua calon di laman Facebook, meskipun mereka tidak mengikutinya secara aktif.

Sungguhpun demikian, pengundi warga tua tidak mengikuti secara langsung kempen kedua-dua calon di media sosial, para pakar berkata masih ada kemungkinan mereka dipengaruhi oleh anak atau cucu mereka yang kerap menggunakan media sosial.

Sumber : Today/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan