Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MDA arah laman Middle Ground padamkan laporan yang langgar peraturan pilihan raya

Laman sosiopolitik, The Middle Ground (TMG), diarahkan menarik balik sebuah laporan yang antara lain meninjau 50 penduduk tentang parti manakah yang mungkin mereka undi, menjelang pilihan raya kecil Bukit Batok esok (7 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
MDA arah laman Middle Ground padamkan laporan yang langgar peraturan pilihan raya

Petikan gambar dari laman The Middle Ground yang mengumumkan laporan ini akan dipadam.

Diterbitkan : 06 May 2016 05:13PM Dikemas Kini : 06 May 2016 08:09PM

SINGAPURA: Laman sosiopolitik, The Middle Ground (TMG), diarahkan menarik balik sebuah laporan yang antara lain meninjau 50 penduduk tentang parti manakah yang mungkin mereka undi, menjelang pilihan raya kecil Bukit Batok esok (7 Mei).

Apabila dihubungi Mediacorp, Penguasa Pembangunan Media (MDA) mengesahkan bahawa ia mengeluarkan arahan itu hari ini bagi pihak Jabatan Pilihan Raya (ELD), kerana laporan itu melanggar Akta Pilihan Raya Parlimen.

Akta itu melarang sebarang penerbitan tinjauan tentang pilihan raya sebaik sahaja writ pilihan raya dikeluarkan dan sehingga pengundian ditutup.

Dalam laporannya bertajuk "BB BE: 50 voters in Bukit Batok" bertarikh 5 Mei, para wartawan TMG meninjau 50 penduduk tentang pendapat mereka, termasuk tentang parti manakah yang mungkin akan diundi mereka, dan mengapa.

Laman TMG mengumumkan bahawa arahan itu dikeluarkan terhadap pihaknya pada 11.00 pagi tadi. Ia mulanya menyatakan laporan itu akan dipadamkan selewat-lewatnya pada 2.30 petang. Namun, pada 1.40 petang, TMG menyatakan ia diarahkan MDA supaya menarik balik laporan itu serta merta.

"Kami menanyakan para penduduk Bukit Batok sejak seminggu lalu tentang bagaimana mereka akan mengundi. Tidak ramai yang memberikan jawapan. Bahkan, kebanyakan mereka bercakap tentang Anggota Parlimen jenis apa yang mereka mahu dipilih," menurut TMG di lamannya.

"Kami tidak berniat ia dijadikan tinjauan pilihan raya. Pemerintah fikir ia tinjauan sedemikian. Mungkin ya, mungkin tidak - jika anda bertanya kepada kami, kami juga tidak 100 peratus pasti, jadi ini sebabnya kami terus mengekalkannya sehingga sekitar sejam sebelum waktu yang ditetapkan MDA," menurut TMG lagi.

TMG menyatakan ia merancang untuk menerbitkan kembali artikel itu di lamannya selepas Hari Mengundi.

Seksyen 78C (1) Akta tersebut menyatakan bahawa "tiada sesiapa dibenarkan menerbitkan atau mengizinkan atau menyebabkan penerbitan keputusan sebarang tinjauan pilihan raya semasa tempoh bermula dari hari writ pilihan raya dikeluarkan untuk pilihan raya, dan sehingga semua tempat mengundi ditutup pada hari mengundi pada pilihan raya."

Sesiapa yang melanggar peraturan itu boleh didenda sehingga S$1,500 dan/atau dipenjara sehingga 12 bulan.

Sumber : Today/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan