Skip to main content

Iklan

Iklan

Dr Chee: Kami sarankan alternatif bukan setakat bantah demi kepentingan pembangkang

 Dr Chee Soon Juan sarankan alternatif bukan setakat bantah demi kepentingan pembangkang.

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Chee: Kami sarankan alternatif bukan setakat bantah demi kepentingan pembangkang

Setiausaha Agung SDP, Dr Chee Soon Juan. (Gambar: Xabryna Kek)

Diterbitkan : 05 May 2016 11:49PM Dikemas Kini : 05 May 2016 11:52PM

SINGAPURA: Mengadakan rapat terakhirya malam ini (5 Mei) bagi Pilihan Raya Kecil Bukit Batok di tanah lapang dekat Taman Perusahaan Bukit Batok A adalah Parti Demokratik Singapura (SDP).

Calonnya, Dr Chee Soon Juan memberikan respons beliau kepada kenyataan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) semalam (4 Mei) yang menyatakan pemimpin SDP itu tersalah tafsir data pekerjaan dan memberi gambaran yang mencemaskan tentang pasaran pekerjaan bagi rakyat Singapura.

"Kementerian Tenaga Manusia mempersoalkan kenyataan saya, dengan mengatakan bilangan pekerjaan yang diwujudkan untuk penduduk tempatan adalah 100, seperti yang saya nyatakan. Sebaliknya ia 700, kata mereka. Tetapi 100 adalah bilangan yang dinyatakan oleh Lim Swee Say, menteri tenaga manusia," kata Dr Chee.

"Jika pihak kementerian dan menterinya tidak dapat menyatakan yang betul, jangan menyalahkan saya. Jadi sekarang perangkaannya adalah 700. Bukan 100 pekerjaan yang dinyatakan oleh pemerintah, yang diwujudkan untuk rakyat tempatan di Singapura tahun lalu. Betul ke? 700? Dan anda mahu menjadikan ini satu isu? Biar saya beri perspektifnya," jelasnya.

Dr Chee juga mempersoalkan tentang berapa banyak pekerjaan jika jumlahnya 700.

"Pada 2014, tahun sebelumnya, bilangan pekerjaan untuk penduduk tempatan berkembang 96,000. Pada 2015, ia meningkat hanya 700. Ini kemerosotan 99 peratus. Menjunam 99 peratus dan anda hendak bergaduh dengan saya? Bahawa ia 700 bukan 100? Patutkah kita menghela nafas lega dan meraikannya?" tambah Dr Chee.

Dalam rapat tersebut, Dr Chee juga berhujah bahawa kawasan undi Bukit Batok memerlukan kepimpinan yang cekap untuk menguruskan ehwalnya.

Pilihan raya kecil ini tegas beliau, merupakan peluang terbaik bagi penduduk Bukit Batok untuk memilih sebuah parti yang cekap bagi mewakili mereka di Parlimen.

"Saya juga mahu beritahu anda, bahawa SDP bukan sahaja sebuah parti yang cekap tetapi juga bertanggungjawab. Jika PAP bertindak bagi kepentingan rakyat Singapura, SDP tidak akan gentar untuk mengalu-alukannya dan menyokongnya," kata Dr Chee.

"Contohnya, PAP mahu membina pusat-pusat jagaan warga tua di estet Toh Yi beberapa tahun lalu. Pemerintah mahu memasang panel-panel suria di bumbung-bumbung flat HDB dan baru-baru ini MOE menyatakan kanak-kanak harus terlibat dalam membersihkan bilik darjah dan sekitarannya. SDP menyokong inisiatif-inisiatif PAP ini dan kami menyatakannya secara terbuka."

"Itulah tanda sebuah parti yang cekap, membina dan bertanggungjawab.Kami menolak dasar-dasar yang buruk untuk rakyat dan menyokong jika ianya baik dan apabila kami mengkritik dasar-dasar PAP, kami tidak berhenti di situ. Kami sarankan alternatif, dalam erti kata lain, kami tidak membangkang hanya untuk kepentingan pembangkang," tegas Dr Chee. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ aw
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan