Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA EKSTRA: Karyawan Melayu, Kahar Hassan, yang disebut-sebut mungkin bertanding di GRC Aljunied

Beberapa bakat Melayu yang dikatakan berpotensi menjadi calon kini semakin 'diteropong' oleh pihak media mahupun orang ramai.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Beberapa bakat Melayu yang dikatakan berpotensi menjadi calon kini semakin 'diteropong' oleh pihak media mahupun orang ramai.

Antara mereka yang dikatakan bakal masuk gelanggang pilihan raya ialah Encik Kahar Hassan, seorang Timbalan Pengarah Infrastruktur, di syarikat SMRT.

Encik Kahar yang sebelum ini bergiat dalam kegiatan akar umbi di kawasan Tampines, kini aktif di kawasan Kaki Bukit. Kaki Bukit terletak di dalam GRC Aljunied yang dikuasai parti pembangkang, iaitu Parti Pekerja.

Beliau, yang berusia berusia 47 tahun, sekarang ini merupakan Pengerusi Cawangan PAP di Kaki Bukit.

Sebagai seorang aktivis politik, Encik Kahar sebenarnya bukan orang baru dalam politik. Beliau pernah bergiat aktif dalam kegiatan akar umbi pada lewat tahun 90-an, sebelum memutuskan untuk bekerja di luar negara.

Sejak beberapa tahun lalu, beliau mula dilihat kembali aktif dalam kegiatan akar umbi, dan tahun lalu mula rancak dan 'muncul' di kawasan GRC Aljunied.

KAHAR ANTARA CALON AWAL 'DIDEDAHKAN'

Boleh dikatakan, beliau antara bakal-bakal calon yang diperkenalkan lebih awal oleh PAP kepada para penduduk, di kawasan yang mungkin mereka tandingi - iaitu Encik Kahar mula dilihat bergerak di Aljunied tahun lalu.

Sebelum ini, PAP lebih berahsia dalam memperkenalkan bakal-bakal calonnya.

Profil Facebook Encik Kahar tertulis bahawa beliau gemar membaca dan berlari.

Dan secara falsafah, Encik Kahar menulis dalam 'description' ringkas tentang diri beliau, iaitu: "It's not about doing different things, but doing things differently."

Dalam klip BERITA EKSTRA ini, kami bawakan ucapan penuh beliau di majlis perjumpaan Hari Raya bagi GRC Aljunied dan Hougang, yang beliau anjurkan.

Dengarkan suara, pemikiran dan personaliti Encik Kahar menerusi ucapan ini, yang boleh disifatkan sebagai sebahagian kempen beliau untuk memenangi hati dan minda penduduk GRC Aljunied. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ag
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan