Skip to main content

Iklan

Iklan

BERITA EKSTRA - Hawazi Daipi bersara daripada politik

Anggota Parlimen GRC Sembawang yang juga Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan merangkap Tenaga Manusia, Hawazi Daipi, akan bersara daripada politik.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 07 Aug 2015 10:20PM Dikemas Kini : 07 Aug 2015 10:26PM

SINGAPURA: Anggota Parlimen GRC Sembawang yang juga Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan merangkap Tenaga Manusia, Hawazi Daipi, akan bersara daripada politik.

Menteri Pembangunan Negara yang juga seorang lagi AP GRC itu, Khaw Boon Wan mengumumkannya dalam majlis jamuan sambutan Hari Kebangsaan di GRC tersebut malam ini.

Encik Khaw berkata Encik Hawazi meminta Perdana Menteri Lee Hsien Loong supaya membenarkan beliau bersara daripada politik.

Encik Hawazi sudah mengurus kawasan Marsiling dalam GRC Sembawang selama 20 tahun.

Dalam ucapannya itu, Encik Khaw menyifatkan pengunduran rakan AP-nya dari arena politik, sebagai satu berita sedih.

"Jika Pilihan Raya Umum diadakan sebelum Hari Kebangsaan 2016, ini merupakan jamuan sambutan Hari Kebangsaan terakhir bagi Encik Hawazi, sebagai AP tersayang anda," ujar beliau.

Encik Khaw turut memberikan penghormatan panjang lebar kepada rakan AP-nya itu dalam ucapannya, dan menggariskan pelbagai pencapaian Encik Hawazi sepanjang beliau berkhidmat, termasuk mengendalikan Bazar Raya Utara, dan peranannya dalam pembinaan Masjid Yusof Ishak.

Encik Khaw turut mengucapkan terima kasih kepada Encik Hawazi - selama 10 tahun, mereka berdua menerajui GRC Sembawang, dan menang dalam dua pilihan raya umum bersama.

Pada akhir ucapannya itu, Encik Hawazi naik ke pentas dan mereka berdua berpelukan.

Marsiling - yang diterajui Encik Hawazi - dikeluarkan dari GRC Sembawang untuk membentuk sebahagian GRC Marsiling-Yew Tee yang baru, dalam semakan sempadan kawasan undi.

HALIMAH AMBIL ALIH?

Speaker Parlimen, Halimah Yacob, yang turut hadir dalam majlis jamuan tersebut, disebut-sebut akan mengambil alih tempat Encik Hawazi itu dan bertanding di GRC Marsiling-Yew Tee.

Dua lagi AP PAP yang tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum akan datang ialah dari GRC Tampines, Encik Mah Bow Tan dan Cik Irene Ng.

Saksikan lebih banyak sedutan penghormatan dan pengumuman Encik Khaw tentang pencapaian Encik Hawazi sebagai AP Sembawang, dalam klip video BERITA EKSTRA ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan