Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Suntikan dana rangsang SME harungi cabaran baru

Masyarakat peniaga rata-rata menyokong kenyataan belanjawan kali ini yang mengandungi pelbagai inisiatif untuk menyokong perniagaan termasuk syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME).

Anggaran Waktu Membaca:
Suntikan dana rangsang SME harungi cabaran baru

Gambar fail kilang penghasilan di Singapura. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Diterbitkan : 25 Mar 2016 09:44PM Dikemas Kini : 25 Mar 2016 09:48PM

SINGAPURA: Masyarakat peniaga rata-rata menyokong kenyataan belanjawan kali ini yang mengandungi pelbagai inisiatif untuk menyokong perniagaan termasuk syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME).

Pelbagai bentuk sokongan itu turut menyuntik semangat untuk SME mengharungi cabaran niaga dalam sekitaran ekonomi yang lemah.

Dalam membentangkan kenyataan belanjawan semalam, Menteri Kewangan Heng Swee Keat menggariskan enam langkah untuk menangani kebimbangan jangka pendek syarikat-syarikat tempatan terutamanya SME, di samping membolehkan penyusunan semula dilakukan.

Satu skim baru yang diperkenalkan ialah Skim Pinjaman Modal Kerja SME.

Di bawah skim ini, setiap syarikat boleh meminjam sehingga $300,000.

Disediakan selama tiga tahun, ia dijangka menjana lebih $2 bilion pinjaman sepanjang tempoh tersebut.

Tujuannya untuk membantu SME yang menghadapi masalah aliran tunai atau mahu mengembangkan perniagaan.

Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) mengalu-alukan skim baru itu yang dapat digunakan syarikat-syarikat SME Melayu dalam operasi harian atau automasi di samping usaha meningkatkan kilang dan peralatan.

Presiden DPPMS, Zahidi Abdul Rahman berkata: "Belanjawan kali ini menumpukan perhatian untuk dapat membaiki apa yang ada sekarang. Untuk anggota kami, banyak yang baru sahaja sedar bahawa ini adalah geran yang baik untuk mereka dan kebanyakan mereka adalah syarikat SME. Jadi ini adalah sesuai untuk mereka memanfaatkannya."

Walau bagaimanapun, Encik Zahidi berharap kriterianya dapat dilonggarkan supaya syarikat kecil juga dapat memanfaatkannya.

Satu lagi skim baru yang mendapat sambutan ialah Pakej Sokongan Automasi bagi menggalak syarikat menggunakan automasi, meningkatkan daya penghasilan dan meluaskan perniagaan.

Skim ini dianggarkan membiayai dana sehingga $400 juta bagi tempoh selama tiga tahun.

Pakar ekonomi yang juga Anggota Jawatankuasa Ekonomi Masa Depan Encik Saktiandi Supaat menganjurkan syarikat-syarikat Melayu tempatan khususnya industri pengilangan untuk merebut peluang ini.

"Melakarkan program transformasi industri itu amat penting kerana ia mempertingkatkan keupayaan industri buat masa jangka panjang. Buat jangka pendek, ada juga skim-skim yang dipertingkatkan untuk menolong SME dan juga korporat," menurut Ahli Jawatankuasa Ekonomi Masa Depan, Saktiandi Supaat, yang juga merupakan AP GRC Bishan-Toa Payoh. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan