Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pasukan bertindak ditubuhkan bagi 'perangi kencing manis'

 "Kita perlu tangani cabaran kencing manis. Maka itu, saya isytiharkan 'perang terhadap kencing manis', kata Menteri Kesihatan Gan Kim Yong semasa mengumumkan penubuhan Pasukan Bertindak bagi Pencegahan dan Jagaan Kencing Manis.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 13 Apr 2016 03:09PM Dikemas Kini : 13 Apr 2016 11:18PM

SINGAPURA: "Kita perlu tangani cabaran kencing manis. Maka itu, saya isytiharkan 'perang terhadap kencing manis'", kata Menteri Kesihatan Gan Kim Yong semasa mengumumkan penubuhan Pasukan Bertindak bagi Pencegahan dan Jagaan Kencing Manis.

"Kami ingin membantu rakyat Singapura hidup bebas dari bahaya kencing manis dan bagi mereka yang menghidap penyakit itu, kami akan membantu untuk mengawal keadaan mereka supaya tidak menjadi bertambah teruk," kata beliau di Parlimen hari ini (13 Apr).

Pasukan bertindak itu dipengerusikan bersama oleh Encik Gan dan Pemangku Menteri Pendidikan (Sekolah) Ng Chee Meng dan terdiri daripada para wakil daripada agensi pemerintah, sektor privet dan kumpulan-kumpulan yang memperjuangkan kebajikan pesakit dan penjaga mereka.

Selain melaksanakan pelan bertindak bagi melawan kencing manis, pasukan bertindak itu juga akan melibatkan orang ramai dan bekerjasama dengan sektor jagaan kesihatan, di samping memantau dan menilai keberkesanan usaha setiap pihak.

Ini selepas penyakit kencing manis semakin meningkat di Singapura, kata MOH.

Menurut kementerian itu, sekitar 440,000 penduduk yang berusia 18 tahun dan ke atas menghidap kencing manis pada 2014. Pada tahun yang sama, separuh kes serangan jantung melibatkan pesakit yang menghidap kencing manis; dua daripada tiga kes baru bagi kegagalan ginjal disebabkan oleh kencing manis dan dua daripada lima kes angin ahmar adalah pesakit kencing manis.

MOH menambah terdapat lebih 1,500 amputasi setiap tahun disebabkan oleh komplikasi kencing manis - dengan sekitar empat kes setiap hari.

Sekolah Kesihatan Awam saw Swee Hock juga meramalkan jumlah pesakit kencing manis di Singapura mungkin meningkat kepada 670,000 menjelang 2030 dan hampir 1 juta menjelang 2050.

LIMA CARA PENCEGAHAN

MOH menyatakan Pasukan Bertindak bagi Pencegahan dan Jagaan Kencing Manis yang baru ditubuhkan akan disokong oleh tiga kumpulan kerja: Gaya Hidup Sihat dan Pencegahan Awal, Pengurusan Penyakit dan Pendidikan Awam dan Pelibatan Pihak Berkepentingan.

MOH juga akan menerajui strategi serampang lima mata dalam usaha menangani penyakit itu, bermula dengan langkah-langkah pencegahan, termasuk menggalak gaya hidup sihat bagi mengelakkan penyakit itu.

"Kami akan mempertingkat mutu diet di sekolah, masyarakat dan tempat kerja, di samping belajar dari strategi kawalan antarabangsa. Bagi menggalak lebih ramai orang supaya bersenam, kami akan memperluaskan program-program yang sedia ada, termasuk memperkenalkan program-program baru dan membawanya ke sekolah, tempat kerja dan masyarakat.

"Risiko menghidap kencing manis adalah 30 hingga 40 peratus lebih tinggi di kalangan perokok berbanding mereka yang tidak merokok dan kami akan melakukan lebih lagi untuk mengurangkan jumlah perokok sebagai sebahagian daripada pelan tersebut."

Kedua, MOH akan menggalak ujian kesihatan dan program pencegahan bagi para individu bersiko atau mereka yang belum menyedari bahawa mereka menghidap kencing manis, menasihati mereka supaya jangan mengabaikan rawatan susulan," kata Encik Gan.

MOH juga akan mempertingkat protokol pengurusan penyakit bagi mencegah atau melengahkan komplikasi. "Bagi pesakit kencing manis, kita perlu melakukan yang terbaik untuk membantu mereka mempunyai mutu kehidupan yang baik, di semua peringkat, dengan mengawal penyakit itu," ujar Encik Gan lagi.

Di samping itu, MOH akan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai pencegahan dan penjagaan kencing manis, dengan usaha di peringkat nasional diperhebat bagi menyokong perubahan di sekeliling kita. "Kunci utama dalam memerangi kencing manis ialah dengan melibatkan semua rakyat untuk sama-sama memerangi penyakit itu. Kita juga boleh memainkan peranan dalam menggalak orang lain untuk melakukan perkara yang sama," kata Encik Gan.

"Memerangi kencing manis memerlukan usaha yang berterusan," menurut beliau. "Hasilnya hanya dapat dilihat dalam jangka panjang, kita mesti terus berusaha, dan kalau kita berjaya mengubah minda dan tabiat, kita bukan saja dapat mencegah kencing manis, tetapi juga penyakit-penyakit kronik yang lain seperti penyakit jantung dan secara keseluruhannya kita dapat memperbaiki mutu kehidupan rakyat Singapura dan membantu meringkan bebas keluarga mereka," kata Encik Gan.

Sumber : CNA/ag
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan