Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Para AP sambut baik Belanjawan 2016, gesa syarikat lakukan penyusunan semula

Para Anggota Parlimen (AP) sambut baik Belanjawan tahun ini yang memberi pendekatan khusus bagi membantu firma-firma mempertingkat, melakukan pembaharuan dan membuat penyesuaian.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 04 Apr 2016 07:55PM Dikemas Kini : 04 Apr 2016 09:38PM

SINGAPURA: Para Anggota Parlimen (AP) sambut baik Belanjawan tahun ini yang memberi pendekatan khusus bagi membantu firma-firma mempertingkat, melakukan pembaharuan dan membuat penyesuaian.

Seramai 26 AP berucap pada hari pertama perbahasan mengenai Belanjawan.

Dan kesemuanya menekankan tentang perlunya syarikat-syarikat melakukan penyusunan semula dan menyelamatkan pekerjaan.

Ia, kata mereka adalah satu-satunya cara untuk terus kekal bertahan dalam landskap ekonomi dan tenaga buruh yang baru.

Anggota Parlimen Liang Eng Hwa memulakan perbahasan dengan berkata Belanjawan 2016 adalah satu peringatan bahawa Singapura mempunyai persiapan yang menyeluruh untuk mengharungi cabaran-cabaran mendatang.

Langkah-langkah terbaru seperti Program Perubahan Industri bernilai $4.5 bilion menjurus kepada perniagaan-perniagaan yang ingin mempertingkat, melakukan perubahan dan mengembangkan sayap ke arena antarabangsa.

Namun seperti para AP lain yang berucap selepas beliau, Encik Liang menekankan tentang perlunya syarikat-syarikat melakukan peningkatan dan perubahan.

Sementara tumpuan diberikan kepada SME, para AP juga turut menyentuh tentang nasib pekerja.

Menyuarakan sokongannya, Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh, Saktiandi Supaat berkata belanjawan 2016 memastikan Singapura mampu menahan keadaan tidak menentu dan memacu ekonomi negara ke fasa baru pembangunan.

Oleh itu, beliau berharap golongan pekerja akan lebih berdaya tahan dalam menghadapi masa-masa sukar serta bersedia membuat penyesuaian.

"Ramai di kalangan masyarakat kita tahu tentang Skillsfuture tetapi masih kurang pasti bagaimana dan apakah kursus yang mereka boleh ambil. Kita perlu mempertingkatkan usaha untuk memberitahu masyarakat tentang perubahan ekonomi masa depan, kemahiran yang diperlukan serta juga bagaimana memanfaatkan pergerakan nasional SkillsFuture," kata Encik Saktiandi.

AP Heng Chee How berkata, syarikat-syarikat yang tidak memberi tumpuan kepada golongan pekerja matang sedang mereka mempersiapkan diri bagi ekonomi masa depan, akan menanggung sendiri risikonya.

Ini kerana menurut beliau tiada guna melepaskan pekerja matang semata-mata untuk mengambil pekerja lebih muda dengan kemahiran serupa yang mungkin tidak wujud.

AP Foo Mee Har pula sekali lagi menyeru agar pemerintah menyemak dasar-dasar berkaitan pengambilan pekerja asing agar mereka juga tertakluk kepada peruntukan pasaran buruh, sama seperti pekerja asing yang berkemahiran rendah.

AP pembangkang Sylvia Lim pula memuji langkah-langkah seperti inisiatif "Suai-Maju" dan Pemacu Kemahiran Teknologi yang bertujuan membantu tenaga kerja mempertingkat kemahiran mereka dan melakukan tugas baru.

Namun beliau melahirkan keprihatinan terhadap mereka yang memegang pekerjaan yang tidak setanding dengan kelayakan mereka.

Beliau menggesa agar satu kajian terperinci dijalankan ke atas golongan ini. 

Sumber : CNA/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan