Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lim Hng Kiang: Kepimpinan bervisi bagi tingkatkan keupayaan dewan niaga

Kepimpinan persatuan dan dewan perdagangan (TAC) akan diperkukuh sebagai sebahagian daripada usaha pemerintah bagi merangsang TAC di bawah Pembangunan Syarikat dan Persatuan Tempatan Yang Dipertingkat (LEAD-Plus).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 07 Apr 2016 09:26PM Dikemas Kini : 07 Apr 2016 10:03PM

SINGAPURA: Kepimpinan persatuan dan dewan perdagangan (TAC) akan diperkukuh sebagai sebahagian daripada usaha pemerintah bagi merangsang TAC di bawah Pembangunan Syarikat dan Persatuan Tempatan Yang Dipertingkat (LEAD-Plus).

Demikian menurut Menteri Perdagangan dan Perusahaan (Perdagangan) Lim Hng Kiang di Parlimen hari ini (7 Apr).

LEAD-Plus, yang merupakan sebahagian daripada Program Perubahan Industri yang diumumkan oleh Menteri Kewangan Heng Swee Keat dalam Kenyataan Belanjawan 2016, bertujuan menggalak TAC supaya memainkan peranan yang lebih besar dalam ekonomi, "memacu perubahan di peringkat industri" dan "mencari huraian bagi cabaran-cabaran yang dihadapi".

Menurut Encik Lim, pemerintah mahu mempertingkat keupayaan TAC menerusi empat cara:

- Mengukuhkan kepimpinan di dalam TAC, seperti menerusi sokongan runding cara bagi pembangunan pelan strategik

- Membangunkan keupayaan dalam sekretariat TAC, termasuk latihan bagi menguruskan fungsi-fungsi korporat. Pemerintah juga bersedia untuk meminjamkan sehingga 20 pegawai Perkhidmatan Awam sepanjang tempoh lima tahun akan datang kepada TAC di bawah LEAD-Plus.

- Membangunkan proses-proses berdaya tahan, dalam bidang-bidang seperti sumber manusia, teknologi maklumat dan kewangan dan mengukuhkan penjenamaan TAC

- Memperhebat keupayaan TAC dalam menyediakan khidmat kepada syarikat-syarikat, seperti penyelidikan pasaran dan penggunaan teknologi

Sebagai respons kepada pertanyaan para Anggota Parlimen (AP) berhubung keadaan ekonomi yang mencabar, Encik Lim juga berkata, pemerintah sedang memantau dan jika perlu, mengambil tindakan lanjut.

Beliau menekankan tentang pelbagai langkah sokongan yang diumumkan dalam Belanjawan 2016, termasuk skim Pinjaman Modal Kerja SME dan Pakej Bantuan Penggunaan Mesin.

MENGEMBANGKAN EKSPORT NEGARA

Menyentuh tentang keprihatinan Singapura dalam mengimbangi khidmat perdagangan negatif, Encik Lim menegaskan bahawa defisit negara "secara amnya semakin mengecil sepanjang 10 tahun lalu".

Beliau menambah: "Kelembapan pada pertumbuhan eksport Singapura bagi pekhidmatan luar negara pada tahun 2015 adalah selaras dengan kelemahan yang dialami oleh iklim perdagangan global. Meskipun begitu, di tengah-tengah kelembapan itu, kami mendapati bahawa pertumbuhan eksport bagi khidmat-khidmat kewangan serta sektor khidmat telekomunikasi, komputer dan informasi masih kukuh."

Encik Lim juga bercakap mengenai pentingnya kerjasama perdagangan seperti Masyarakat Ekonomi ASEAN (AEC), Kerjasama Rentas Pasifik (TPP) dan Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau.

Menggunakan sektor khidmat kejuruteraan sebagai contoh bagi menggambarkan bagaimana syarikat-syarikat Singapura boleh memanfaatkan AEC, beliau berkata syarikat-syarikat Singapura kini boleh memiliki sepenuhnya khidmat nasihat dan reka bentuk kejuruteraan Indonesia dan sektor khidmat kejuruteraan dan binaan Myanmar.

"Sebagai sebahagian daripada persetujuan sedemikian, ia membolehkan kami untuk mempengaruhi dan jika perlu, ia juga membolehkan kami untuk mempertingkat permintaan bagi khidmat dan barangan buatan Singapura," tambah Encik Lim. 

Sumber : CNA/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan