Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dr Yaacob: Sektor media S'pura terima rangsangan bagi persiap masa hadapan

Penguasa Pembangunan Media (MDA) akan memperluaskan usaha untuk membantu mempersiapkan sektor media tempatan untuk masa hadapan.

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Yaacob: Sektor media S'pura terima rangsangan bagi persiap masa hadapan

Menteri Perhubungan dan Penerangan Dr Yaacob Ibrahim (tengah). (Gambar: MDA/Twitter)

Diterbitkan : 11 Apr 2016 04:01PM Dikemas Kini : 11 Apr 2016 06:16PM

SINGAPURA: Penguasa Pembangunan Media (MDA) akan memperluaskan usaha untuk membantu mempersiapkan sektor media tempatan untuk masa hadapan.

Demikian diumumkan oleh Menteri Perhubungan dan Penerangan Dr Yaacob Ibrahim, di Parlimen hari ini (11 Apr) sewaktu membahaskan peruntukan belanjawan bagi kementeriannya.

Menurut Dr Yaacob, MDA akan membantu mempertingkat keupayaan sektor media Singapura bagi mewujudkan kandungan bagi wadah-wadah baru.

Dalam ucapan beliau, Dr Yaacob turut menyentuh tentang Ruang Pencipta yang terletak di one-north yang pernah diumumkannya sebelum ini, yang menurut beliau akan mula beroperasi menjelang hujung tahun ini.

Dr Yaacob menambah, inisiatif-inisiatif lain seperti pembangunan kandungan akan dijalankan di Ruang Pencipta.

Salah satu inisiatif itu adalah Story Lab, yang membantu dalam pengembangan jalan cerita.

Lebih banyak program seperti Makmal Penulis - yang membantu penulisan skrip televisyen - akan dilancarkan pada hujung tahun ini, menurut Dr Yaacob.

Pusat Penghuraian Pembangunan Permainan Video (GSC) juga akan ditempatkan di Ruang Pencipta, kata Dr Yaacob, sambil menambah, dalam tempoh lima tahun, pusat itu sudahpun memanfaatkan hampir 50 syarikat permainan tempatan, lima daripadanya kini sudah menerima dana permulaan dari $100,000 kepada $2 juta.

Lokasi yang dikongsi antara Story Lab dan GSC dengan Ruang Pencipta akan membantu syarikat-syarikat media menjadi lebih inovatif dan berdaya saing, menurut Dr Yaacob.

"Ini akan memudahkan lagi kerjasama antara pelbagai sektor media bagi mewujudkan pengalaman pengguna yang lebih menarik," tambah beliau.

"Misalnya, para pembuat permainan hari ini menggunakan data untuk lebih memahami para pengguna mereka. Keupayaan ini boleh dikongsi dengan lebih meluas bersama para karyawan media lain, supaya mereka dapat menghasilkan lebih banyak cara inovatif untuk memasarkan kandungan mereka," katanya.

SKILLSFUTURE BAGI SEKTOR MEDIA INFOKOM DAN REKA BENTUK

Pemerintah juga akan memperuntukan lebih 300 Anugerah Pendidikan SkillsFuture menjelang tempoh sama pada tahun depan untuk menyokong aspirasi dalam sektor media infokom dan reka bentuk.

Penguasa Pembangunan Infokom (IDA) akan memberikan 150 anugerah, MDA pula 70 anugerah dan Majlis Reka Bentuk Singapura memberikan 90 anugerah pada tahun kewangan 2015 dan 2016.

Para penerima anugerah akan menerima ganjaran kewangan sebanyak $5,000, yang boleh digunakan untuk membiayai kursus yang ditampung sendiri.

Sumber : CNA/ag
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan