Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pendekatan "tegas, berani dan pragmatik" perlu untuk laksana saranan CFE, kata PM Lee

Pemerintah akan mengambil pendekatan "tegas dan pragmatik" untuk melakar strategi bagi pertumbuhan ekonomi seterusnya.

Anggaran Waktu Membaca:
Pendekatan "tegas, berani dan pragmatik" perlu untuk laksana saranan CFE, kata PM Lee

Gambar fail Perdana Menteri Lee Hsien Loong (Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 09 Feb 2017 03:06PM Dikemas Kini : 20 Feb 2017 11:46AM

SINGAPURA: Pemerintah sudah menerima saranan-saranan yang diusulkan oleh Jawatankuasa Ekonomi Masa Hadapan (CFE) seramai 30 anggota yang ditugaskan untuk melakar strategi bagi pertumbuhan ekonomi seterusnya dan Pemerintah akan mengambil pendekatan "tegas dan pragmatik" untuk melaksanakannya.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata demikian pada Khamis (9 Feb) dalam surat beliau kepada kedua-dua pengerusi bersama CFE, Menteri Kewangan Heng Swee Keat dan Menteri Perdagangan dan Perusahaan (Perusahaan) S Iswaran.

PM Lee berkata Pemerintah akan melaksanakan semua strategi yang diusulkan dalam laporan tersebut dan para menteri akan memberikan respons yang sewajarnya apabila Belanjawan 2017 dibentangkan dan semasa pelbagai jawatankuasa membahaskan peruntukan bagi setiap kementerian.

Dalam suratnya itu, PM Lee menarik perhatian bahawa dunia sedang melalui tempoh yang tidak menentu, dengan peralihan struktur berlaku di banyak negara dan industri, dan pekerjaan juga berubah dengan begitu pantas.

"Di tengah-tengah gangguan itu, akan terdapat juga peluang," kata PM Lee. "Kita tidak pasti industri mana yang akan maju dan yang mana pula, bakal dirundung nasib yang berbeza. Namun apa yang pasti ialah Singapura mesti bersikap terbuka kepada perdagangan, idea dan membangunkan kemahiran yang tinggi agar rakyat dan majikan dapat merebut peluang-peluang baru itu."

Menurut PM Lee, melakar strategi-strategi itu hanyalah langkah pertama saja, tetapi yang lebih penting ialah bagaimana saranan-saranan itu akan dilaksanakan bagi mengubah ekonomi negara. Beliau menegaskan bahawa pelaksanaannya mungkin memerlukan pengorbanan di tengah-tengah sumber yang terbatas. Maka itu, pendekatan "tegas dan pragmatik" diperlukan untuk melaksanakannya.

"Jika hasilnya memberangsangkan, kita akan terus melaksanakan saranan-saranan itu. Jika ia tidak membuahkan hasil yang diharapkan, kita mesti berani untuk menggugurkannya. Itulah caranya bagaimana kita dapat bertahan sepanjang 50 tahun lalu dan ia juga adalah satu-satunya cara untuk terus maju pada masa akan datang," tegas PM Lee.

Menurut PM Lee lagi, penerbitan laporan itu menandakan "satu bab baru dalam kisah Singapura" dan sekarang masanya untuk "memulakan kerja keras itu". PM Lee turut menegaskan bahawa setiap rakyat berperanan untuk membantu mencapai visi tersebut dan seluruh rakyat Singapura digesa supaya bersatu padu sebagai sebuah negara untuk meraih kejayaan dan kemakmuran secara bersama.

Sumber : CNA/aw
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan